“Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa terhadap syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah aku ini sebagai salah seorang gaji ayah.”
Dia pun kembali kepada bapanya. Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya.
– Lukas 15: 18-20
Perumpamaan yang menceritakan betapa besarnya kasih bapa kepada anak-anaknya. Namun si anak menjadi sangat tamak dan menuntut harta bahagiannya dan apabila dia mendapatkannya, lalu berfoya-foya dan akhirnya segala harta miliknya habis. Kemudian si anak mulai hilang kewarasan berfikir sehingga sanggup menjadi hamba abdi kepada peniaga binatang peliharaan. Malangnya si anak selalu kelaparan dan terpaksa mengambil makanan sisa dari makanan binatang untuk mengisi perutnya sendiri. Masa berlalu, si anak kemudian berputus asa dengan usahanya sendiri lalu mengambil keputusan untuk kembali ke rumah bapanya dnegan harapan agar bapanya boleh menerimanya sebagai hamba di rumah sendiri. Tetapi, sebaliknya adalah si bapa menerima anak ini dengan penuh kasih dan mengembalikan statusnya sebagai anak serta meraihkan kepulangan semula anaknya dengan pesta yang meriah. Demikianlah kasih Allah kepada manusia, kasih yang tidak terbatas oleh kesalahan atau kebaikan manusia kerana kasih-Nya adalah kasih tanpa syarat.
Betapa luas dan dalam serta tingginya kasih Allah kepada semua orang berdosa sehingga setiap orang yang datang kepada-Nya, bertekuk lutut dan memohon pengampunan kepada-Nya akan menikmati rahmat kasih dari-Nya. Rahmat yang memberikan kehidupan baharu yang penuh berkelimpahan, malah rahmat kehidupan kekal kepada semua yang mendapatkannya. Pernahkah saudara saudari fikirkan bahawa rahmat Allah sahaja yang telah menjadikan anda dan saya menikmati kehidupan di dunia ini? Jika bukan kerana Tuhan mahu mengasihi setiap orang yang berdosa, maka kita tidak akan memperoleh kehidupan yang kekal (Mazmur 51:15). Masihkan anda mahu menafikan bahawa Yesus adalah satu-satunya Penyelamat yang akan memberikan kehidupan kepada anda? Yohanes 3:16 berkata bahawa kasih Allah begitu besar kepada dunia ini sehingga Dia datang sendiri menebus kita melalui inkarnasi-Nya (Allah memilih menjadi manusia), kita dapat ditebus dan dipulihkan dari kerosakan total kita iaitu mati kekal di neraka. Allah memilih menjadi manusia dan segala-galanya yang terjadi di dunia ini adalah dalam kekuasaan Allah sehingga tidak ada satupun manusia di dunia ini dapat diselamatkan jika tidak melalui Dia (Yohanes 1:1-4). Jika anda berkata bahawa ada tuhan selain Yesus Kristus, maka anda sedang menuju kepada kehancuran kerana hanya ada satu Tuhan iaitu Tuhan kita adalah Yesus Kristus!
Bagaimana dengan kita yang sudah percaya dan memiliki Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat tetapi memilih untuk murtad lalu memilih tuhan-tuhan lain? Yehezkiel 3:20-21 mengingatkan bahawa meskipun kita kelak akan (atau sedang) meninggalkan iman tetapi setelah sedar dan bertaubat lalu kembali kepada beriman sungguh kepada Yesus, maka kita akan tetap hidup dan kehidupan yang kita nikmati juga adalah kehidupan kekal bersama Yesus di syurga. Betapa dalam dan luasnya kasih Allah kepada kita sehingga ketika kita hilang iman dan kembali kepada-Nya, kita masih diangkat menjadi anak-anak kesayangan-Nya. Tetapi, janganlah kita menjadikan tabiat melakukan dosa lalu bertaubat sebagai satu hobi, kerana kita sesungguhnya tidak tahu bila kita akan mati. Jika anda sempat bertaubat lalu mati, bersyukurlah. Tetapi, jika anda tidak sempat bertaubat dan mati, penyeksaan api neraka akan menanti anda. Maka itu, peliharalah iman percaya kita kepada Yesus. Jangan mengambil kesempatan melakukan dosa dengan sengaja hanya kerana mengetahui Yesus adalah penuh kasih dan sentiasa memberikan peluang kepada kita untuk bertaubat. Hidup ini umpama wap, bila masa sahaja akan lenyap lalu tidak akan berulang lagi. Bertaubatlah selagi engkau masih hidup, bertekunlah dalam iman sementara masih memiliki kesempatan.
Apakah gambaran hidup kita di hadapan Allah Bapa pada masa ini? Adakah kita adalah anak yang masih terhilang dan hidup dengan penuh dosa? Mahukah engkau menyesal dan bertaubat lalu kembali kepada Allah Bapa? Bertaubatlah dan kembalilah kepada Allah Bapa kerana Dia setia menunggu kepulangan anak-anak-Nya. Sentiasa ada peluang kedua diberikan oleh Allah Bapa kepada anak-anak yang terhilang (ayat 20). Bapa sentiasa menunggu anak-anak terhilang untuk kembali kepada-Nya dan Dia akan menyambut mereka dengan penuh kasih (ayat 20; Roma 5:15; Matius 9:36). Jika kita menyesal dan bertaubat, kita perlu datang kepada Bapa melalui doa lalu Allah Bapa akan mendapatkan kita semula kerana Dia lebih dahulu mengasihi kita (ayat 20; Kejadian 3:9; Roma 5:8). Musa seorang pembunuh tetapi diangkat Allah menjadi pemimpin Israel (Keluaran 2:11-12, 3:1-4:17); Daud membunuh suami lalu mengambil isteri si mati, tetapi diangkat menjadi raja Israel yang diberkati (2 Samuel 11:1-27; Mazmur 78:70); Simon Petrus menyangkal Yesus namun dipulihkan menjadi rasul besar (Matius 26:69-76; KRR 2:14-40). Demikian juga anda dan saya, terjatuh sekali, bangunlah dan capailah tangan kasih Allah yang sentiasa dihulurkan-Nya kepada kita. Kasih teragung dari Allah kepada dunia dan seluruh manusia tiada batasnya. Selama Tuhan berkenan kepada kita, selama itu juga anda dan saya memiliki kesempatan untuk menjadi anak-anak kesayangan-Nya. Selama kasih-Nya nyata di dunia ini, selama itu juga kasih-Nya akan dihulurkan kepada semua manusia yang masih terhilang di dunia ini. Kembalilah kepada Bapa dan tinggallah tetap di dakapan kasih-Nya. Haleluyah!
– HT Ram Jonathan®