“Saudara-saudaraku, kita seperti Ishak, iaitu anak perjanjian. Tetapi sebagaimana anak yang dilahirkan menurut jasad telah menganiaya anak yang dilahirkan menurut Roh, begitulah yang berlaku sekarang.”
– Galatia 4:28-29

Dalam surat Galatia, Paulus menitikberatkan kata-kata “hidup” kerana dia mahu menunjukkan kepada jemaah di Galatia dan pembaca kitab ini bahawa sumber kehidupan bagi orang benar adalah Yesus Kristus, dan kita hidup dibenarkan oleh Yesus Kristus. Surat Galatia membawa pembaca kepada kebebasan sebagai Kristian. Paulus sering menyatakan jawapan-jawapan terhadap erti kehidupan di dalam surat kepada Galatia dan Paulus selalunya akan menekankan kebebasan dalam Yesus Kristus. Paulus mahu menerangkan kepada kita bahawa orang Kristian menemukan kebebasan sebagai anak-anak Tuhan menurut rancangan keselamatan oleh Allah. Jika di lihat dalam Galatia 4, maka kita dapat simpulkan bahawa penyelamatan adalah oleh iman, bukan oleh perbuatan oleh Taurat. Dalam bab 2-4, Pualus juga menekankan bahawa Injil adalah tentang penyelamatan oleh iman, dan bukan oleh perbuatan; penyelamatan adalah janji dan bukan hukum. Allah lebih awal telah berjanji kepada Abraham empat ratus tahun sebelum Musa lahir dan keselamatan orang Israel di Mesir adalah melalui Musa. Status orang-orang yang diselamatkan adalah sebagai anak-anak Tuhan dan bukan hamba abdi. Jika di lihat daripada kisah Sarah dan Hagar, maka kita juga tahu bahawa kebenaran penyelamatan adalah berasal daripada janji yang diberikan kepada Abraham dan Sarah, bukan kepada Hagar. Ishak daripada rahim Sarah adalah anak perjanjian yang dijanjikan oleh Allah, sedangkan anak kepada Hagar adalah anak hasil nafsu manusiawi sahaja. Sehingga itulah Paulus mengutip semula kisah dari Kejadian 21 mengenai kelahiran Ishak, anak Abraham. Allah sudah berkata kepada Abraham bahawa Ishak adalah anak yang dijanjikan-Nya kepada Abraham (Kejadian 21:12), tetapi dalam masa yang sama Ismael iaitu keturunan Hagar juga akan menjadi suatu bangsa yang besar. Kedua-dua keturunan daripada mereka akhirnya saling bermusuhan di antara satu sama lain bukan sahaja kerana isu bangsa tetapi agama; bukan sahaja pada zaman itu, tetapi sehingga kini.

Walaupun bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita membenarkan tindakan Abraham untuk mengusir anak dan isterinya sendiri, tetapi perintah Allah harus dipatuhi kerana Allah sudah berjanji kepada Abraham dan Sarah, bukan kepada Hagar dan anaknya. Kisah keluarga Abraham ini akhirnya menjadi sebuah kisah alegori (memberikan makna terhadap sesuatu kisah kepada makna bukan asli) dalam pengajaran Paulus mengenai keselamatan adalah berdasarkan apa yang dijanjikan oleh Allah dan tidak dipengaruhi oleh tindakan logik manusiawi. Paulus mahu menunjukkan kepada kita dua kisah kehidupan manusia iaitu menjadi anak-anak perjanjian atau menjadi hamba. Jika kita memilih untuk menjadi anak-anak perjanjian maka kita harus menyedari hanya ada satu cara sahaja mendapatkan status kerakyatan ini, iaitu dengan menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat kita. Jika kita akhirnya menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat, maka kita secara langsung akan menjadi keluarga Allah dan semua orang percaya kepada Allah dipanggil sebagai anak-anak Allah. Anak-anak yang diangkat masuk ke dalam kerajaan kekal oleh darah Yesus Kristus yang tercurah dan menyucikan hidup mereka. Sementara bagi mereka yang menolak Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat, mereka adalah golongan hamba; menjadi hamba kepada iblis dan terkurung oleh belenggu dosa yang akhirnya akan membawa mereka ke jurang neraka!

Paulus melarang kita menjadi orang yang berada di luar Yesus Kristus, sama seperti dia mencontohkan Hagar dan Ismael sebagai ‘gunung Sinai’ yang hidup di luar anugerah keselamatan, iaitu mereka yang hidup bergantung penuh kepada Hukum Taurat sahaja. Peribadi Hagar dijadikan contoh alegori oleh Paulus untuk mewakili kelompok manusia yang hidup sebagai penganut agama sahaja dan hidup masih duniawi (ayat 25), sedangkan Sarah melambangkan hidup kasih kurnia. Ini kerana meskipun Sarah mandul, namun oleh anugerah Allah maka dia mengandung dan berkat keselamatan kekal adalah daripada keturunannya (ayat 26-27). Paulus menggambarkan kehidupan anak-anak perjanjian sebagai sebuah kebahagiaan; ‘’bergembiralah, hai perempuan mandul…’’ dan “bersorak-sorailah, wahai yang tidak pernah merasa sakit melahirkan anak…” (ayat 27; silang Yesaya 54:1). Oleh kerana anak-anak yang dilahirkan dari rahim Sarah adalah anak-anak perjanjian, iaitu perjanjian antara Allah dan Abraham (Kejadian 26:3-5), maka wajarlah Paulus menggunakan gambaran perasaan ‘bergembira’ dan ‘bersorak-sorai’ dalam ayat 27 kerana sememangnya Sarah diberikan anak meskipun secara manusiawi dia adalah mandul. Sarah bukannya mengandung kerana kemampuannya dan Abraham dalam proses tertentu, tetapi ianya sepenuhnya adalah kerana rahmat kasih Allah terhadap mereka. Nyatalah kepada anda dan saya bahawa mereka yang diberkati oleh Allah pasti akan bahagia! Buktinya, Ishak menjadi jambatan keturunan kepada Allah untuk membawa Penyelamat dunia iaitu Yesus Kristus! (Matius 1:1-16)

Firman Tuhan di dalam Galatia 4:21-30 jelas menggambarkan kepada kita bahawa keselamatan yang datang daripada Allah merupakan keselamatan yang kita perolehi hasil daripada iman kepada Yesus Kristus, bukan atas usaha kita mematuhi hukum Taurat atau hukum beragama menurut aliran gereja masing-masing. Dalam erti kata lain, keselamatan yang dianugerahkan oleh Allah melalui Yesus Kristus telah menjadikan kita memegang status sebagai anak-anak perjanjian kerana. Kita merupakan anak-anak Tuhan yang telah diselamatkan hasil daripada perjanjian antara Allah kepada Abraham. Kita adalah anak-anak Tuhan yang dijanjikan dengan kehidupan kekal yang tidak mungkin dapat dirampas lagi oleh si iblis. Selama kita tetap beriman dan setia kepada Yesus Kristus, kita akan tetap dipelihara dan di jaga erat oleh kuasa Tuhan sehingga meskipun kita berjalan dalam lembah kegelapan, bahaya sedang menunggu masa menerpa atau ancaman menanti di hadapan, kita tidak takut kerana kuasa Tuhan bersama-sama dengan kita. Oleh itu, marilah kita menjadi anak-anak perjanjian yang setia kepada janji iman kepada Allah. Marilah kita tetap berdiri teguh terhadap iman kita, meskipun kita tahu dunia akan menentang kita kerana iman kita terhadap Allah Bapa. Semoga hari-hari yang kita lalui akan tetap dijalani dengan patuh kepada firman Tuhan dan teguh berpegang kepada kuasa pimpinan oleh Roh Kudus-Nya. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®