Allah Tidak Pernah Berubah

776

Allah melihat perbuatan mereka; Dia nampak bahawa mereka tidak lagi berbuat jahat. Oleh itu Dia mengubah fikiran-Nya dan tidak melaksanakan hukuman yang dirancangkan-Nya terhadap mereka.
– Yunus 3:10

Dalam Yunus 1:2, Allah melihat penduduk di kota Niniwe sangat jahat. Niniwe merupakan ibu kota kepada Asyur dan bangsa ini sentiasa bermusuhan dengan bangsa Israel. Nahum 1:11 menceritakan bahawa seorang pemimpin yang sangat jahat muncul di Niniwe dan penduduk Niniwe merancang untuk menentang Allah. Dalam Yunus bab 1 juga diceritakan kisah Allah mengutus Yunus untuk memberi amaran daripada Allah kepada bangsa Niniwe. Yunus tidak mendengar perintah Allah, sebaliknya dia melarikan diri sehingga pada satu titik pelariannya, dia dibuang dari kapal yang ditumpanginya lalu ditelan oleh seekor ikan besar selama tiga hari. Lalu dalam bab 2, kisah Yunus diperut ikan menjelaskan kepada kita bahawa Yunus bertaubat daripada sikap memberontaknya terhadap Allah sehingga Allah menerima doa Yunus dan memerintahkan ikan untuk memuntahkan Yunus ke daratan. Sehingga akhirnya Yunus menerima serta melaksanakan perintah Allah buat kali kedua (3:1-4). Penduduk di kota Niniwe akhirnya mendengar perintah Allah dan mereka bertaubat di hadapan Allah (3:5-9). Akhirnya, pada bab 3:10, dinyatakan bahawa Allah melihat perbuatan penduduk Niniwa itu sebagai benar dan Allah mengubah fikiran-Nya untuk tidak menghukum mereka.

Demikianlah kisah Yunus menjadi hamba Allah yang membawakan amaran dan perintah kepada penduduk Niniwe untuk bertaubat dari kesombongan mereka di hadapan Allah. Kisah dalam Nahum 1:11 menjelaskan kepada kita bahawa penduduk Niniwe sangat jahat tetapi dalam kisah di kitab Yunus, kita telah menikmati satu lagi tindakan kasih daripada Allah terhadap bangsa penuh dosa ini. Allah yang mereka ingin musuhi menjadi Allah sama menyelamatkan mereka daripada akibat dosa mereka sendiri. Allah yang mereka musuhi tetapi Allah sama yang mengampuni mereka meskipun mereka tidak menyedari bahawa Allah berkuasa mengampuni mereka sebelum itu. Allah yang mereka kutuki adalah Allah yang sama memberikan kehidupan baharu kepada mereka, hidup baharu yang penuh dengan harapan dan kehidupan kekal. Allah yang mereka singkirkan daripada hidup mereka tetapi Allah yang sama mengutip mereka dan menjadikan mereka anak-anak kesayangan-Nya.

Allah yang telah membentuk Adam dan Hawa sebagai manusia pertama, melindungi mereka; Allah yang memberkati Abraham dengan keturunan yang membentuk bangsa Israel; Allah yang melindungi bangsa Israel sehingga masuk ke tanah Kanaan, bahkan Allah yang sama telah menebus dosa seluruh manusia di bumi ini melalui pengorbanan-Nya menjadi manusia di dalam peribadi Yesus. Allah yang sentiasa melihat segala kejahatan dan kekejian yang kita lakukan tetapi sentiasa memberikan peluang kepada kita untuk kembali ke jalan-Nya. Itulah Allah yang turut memberkati penduduk kota Niniwe. Allah yang tidak berubah dalam kasih dan keadilan-Nya. Ramai yang beranggapan bahawa Allah berubah apabila Dia tidak melaksanakan hukuman yang sepatutnya diterima oleh penduduk di Niniwe. Yunus sendiri sangat tidak suka dengan tindakan Allah membatalkan hukuman terhadap penduduk di Niniwe (Yunus 4:1-2) sehingga Yunus rasa ditipu oleh Allah dan mengugut Allah supaya membunuhnya sahaja (4:3). Lalu Allah berkata bahawa Yunus tidak ada alasan menjadi marah. Ini merupakan penyataan Allah bahawa bangsa Niniwe juga berhak mendapat peluang bertaubat seperti bangsa Israel dan juga seperti Yunus yang pada mulanya menentang Allah. Kasih dan keadilan Allah seperti inilah yang menjadikan-Nya Allah yang tidak pernah berubah. Allah yang sama dari dulu, kini dan selama-Nya; mengasihi dan melindungi manusia dalam segala keadaan.

Berapa ramai diantara kita pada saat ini merasakan seolah-oleh ditinggalkan oleh Allah? Melihat kepada berita-berita di media elektronik, ramai yang bunuh diri akibat berputus asa dengan keadaan yang menimpa susulan pandemik Covid-19. Bahkan, ramai yang mengalami gangguan mental dan rohani akibat daripada pandemik ini. Tetapi, pandemik ini telah (dan masih) menyerang seluruh dunia tanpa melihat status rohani dan mental manusia. Ini bermakna bahawa pandemik ini tidak memiliki kuasa melainkan manusia sendiri yang menularkannya kepada manusia lain. Ini juga menunjukkan bahawa pandemik ini sebenarnya dapat dipatahkan penyebarannya jika seluruh penduduk memiliki motivasi sama iaitu menghapuskan rantaian penularan. Tetapi, terlalu ramai yang masih bersikap sambil lewa dan melanggap aturan pencegahan yang disarankan oleh kerajaan. Lalu dijangkiti oleh virus dan menjangkiti orang lain tanpa mereka sedari. Ketika Allah memberikan kita akal dan pancaindera yang sihat normal, kita seharusnya menggunakan akal dan pancaindera kita untuk menentang pandemik ini.Ā Ketika Allah sudah memberikan kuasa-Nya kepada kita untuk menentang pandemik ini melalui diri kita, kita tidak harus sombong dan melanggar undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan. Allah tidak pernah meninggalkan kita dalam pandemik ini.

Allah sentiasa bersama-sama dengan kita dalam hidup kita; dalam akal dan hati kita, dalam pancaindera kita, dalam komuniti pemimpin negara kita. Tetapi, satu perkara yang Allah ingin daripada semua kita adalah kembali kepada iman yang benar. Jika hari ini kita dijangkiti dan akhirnya berhadapan dengan maut, adakah kita sudah sedia bertemu muka dengan Allah dan diadili-Nya? Satu-satunya cara untuk menikmati Syurga adalah menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat kita. Allah yang melindungi bangsa-bangsa seperti yang diceritakan di dalam Alkitab adalah Allah yang sama melindungi anda dan saya pada hari ini. Bezanya, adakah kita memiliki iman percaya yang sama bahawa hanya Yesus yang layak disembah sebagai Tuhan dan Penyelamat kita? Carilah Tuhan selama Dia masih berkenan kepada anda! Haleluyah!

– HT Ram JonathanĀ®