Allah Sempurna Layak Disembah

518

Pada mulanya, ketika Allah mula menciptakan alam semesta, bumi belum berbentuk dan masih kacau-bilau. Samudera yang bergelora, yang menutupi segala sesuatu, diliputi oleh kegelapan yang pekat, tetapi kuasa Allah bergerak di atas permukaan air. Allah berfirman, “Hendaklah ada cahaya,” lalu cahaya pun ada. Allah berpuas hati melihat hal itu. Kemudian Dia mengasingkan cahaya daripada kegelapan. Dia menamakan cahaya itu “Siang” dan kegelapan itu “Malam”. Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang pertama.
– Kejadian 1:1-5

‘Bereshith’ merupakan judul kitab Kejadian dalam Bahasa Ibrani, sedangkan kata ‘kejadian’ merupakan terjemahan daripada kitab bahasa Septuaginta. Meskipun kitab ini bermula sebagai buku tentang penciptaan oleh Allah, tetapi sebenarnya ia merujuk kepada kisah yang dinyatakan dalam kitab Kejadian sahaja. Ini kerana permulaan sejarah aktiviti Allah adalah jauh sebelum kisah yang ada dalam kitab Kejadian. Injil Matius 25:34 menjelaskan bahawa Allah sudah menciptakan Kerajaan-Nya sebelum dunia diciptakan, telah merancang untuk mengutus Yesus sebelum dunia dijadikan (Yohanes 17:5), menetapkan syarat hidup bersama-sama di dalam kerajaan-Nya adalah melalui kesatuan di dalam Yesus (Efesus 1:4), menawarkan hidup sejati kepada manusia sebelum dunia diciptakan (Titus 1:2), malahan telah memilih orang-orang kudus dan dituliskan nama mereka di dalam Kitab Orang Hidup sebelum dunia diciptakan (Wahyu 13:8). Tetapi, maksud daripada penggunaan kata ‘Pada mulanya’ adalah untuk menunjukkan bahawa ada entiti berkuasa yang memulakannya iaitu Allah. Dalam bahasa Ibrani, Allah dalam perikop Kejadian 1 dipanggil Elohim yang merujuk kepada kata nama Allah berbentuk majmuk. Allah yang dikatakan di dalam perikop ini adalah Allah sebagai pencipta, penyedia dan pemelihara kepada segenap kehidupan di planet bumi ini (Mazmur 19:1-6; 104). Sementara kata kerja ‘menciptakan’ dalam bahasa Ibrani digunakan kata ‘bara’ adalah kata kerja yang diletakkan secara esklusif untuk aktiviti penciptaan oleh Allah. Ini menunjukkan bahawa Allah sendiri merupakan Allah yang menciptakan segala sesuatu di planet bumi, kecuali diri-Nya sendiri wujud tanpa diciptakan oleh sesiapa; kerana Dia adalah Allah! Apa sahaja objek atau kuasa yang diciptakan oleh manusia lalu disembah oleh manusia atau pusat penyembahan mereka berpaksi kepada arah-arah tertentu, maka anutan agama mereka itu adalah salah kerana mereka mencipta allah yang mereka ingin sembah!

Ketika Allah menciptakan segala sesuatu di langit dan di bumi, Allah menciptakannya dengan sempurna sehingga tidak ada satupun kecacatan di antara ciptaan-Nya. Meskipun demikian, kerana manusia terus menerus memperhambakan diri kepada allah-allah serta tuhan-tuhan yang tidak benar, maka ciptaan Allah itu semakin lama semakin tercemar. Manusia yang seharusnya memiliki hubungan intim dengan Allah telah melanggar (dan sentiasa melanggar) perintah Allah seumur hidup mereka. Akhirnya, Allah sendiri turun menyucikan manusia dan menebus manusia daripada dosa dengan cara mengorbankan diri-Nya sebagai ganti dosa manusia (proses ‘inkarnasi’ Allah). Ketika alam semesta dicemarkan oleh manusia akibat sikap dosa mereka, Allah sendiri memulihkan alam semesta dengan pelbagai cara: melalui air bah di zaman nabi Nuh; melalui pembantaian suku pada zaman nabi Lot, nabi Musa dan zaman-zaman kegelapan manusia; memberikan peraturan-peraturan yang mengikat hubungan antara manusia dan Allah dalam pematuhan peraturan tersebut bahkan menggunakan kejadian-kejadian alam untuk menyedarkan manusia betapa mereka telah memusnahkan alam semesta dengan sangat teruk. Allah yang sempurna meninginkan dunia yang diciptakan-Nya kembali pulih dan terus menerus menjadi tanda kebesaran-Nya agar manusia menyembah-Nya sebagai Allah; satu-satunya Allah dalam hidup mereka. Segala sesuatu yang baik telah dimulakan oleh Allah dengan sangat sempurna dan manusia yang dilindungi oleh Allah dari zaman ke zaman seharusnya menyembah Dia sahaja sebagai satu-satunya Allah yang berdaulat dalam hidup mereka.

Manusia tidak mampu mengawal keadaan dunia, jika Allah telah menetapkan siang dan malam, maka terjadilah siang dan malam di dunia ini. Jelas menunjukkan kepada kita bahawa dunia ini didalam kekuasaan Allah. Tetapi, manusia tetap merasakan bahawa mereka adalah ketua, pemerintah bahkan ‘tuhan’ yang layak diagungkan oleh manusia lain di dunia ini. Pernyataan ‘Setelah malam dan pagi berlalu, itulah hari yang pertama’ dalam ayat 5 menunjukkan dengan jelas kepada kita bahawa sesungguhnya segala sesuatu itu bermula dengan kegelapan apabila Allah mulai menciptakan alam semesta. Ini secara langsung menolak teori ‘Big Bang’ yang dipopularkan oleh pakar-pakar kosmologi, mengatakan bahawa segala sesuatu bermula dari pecahan-pecahan elemen secara bergantung di alam semesta. Allah sendiri yang memulakan segalanya dan siang serta malam adalah bukti bahawa Allah menjadikan semuanya dari kosong kepada segala yang ada sekarang. Kegelapan juga memberikan gambaran kepada kita bahawa hidup manusia ini telah bermula dan berkembang dengan sikap kejatuhan dosa (perlambangan lain adalah ‘kegelapan hidup manusia’) sebelum diberikan cahaya oleh terang ajaib itu sendiri (Yohanes 8:12) iaitu Yesus. Jika kita masih berada di dalam ruang kegelapan hidup kita, ambillah peluang untuk datang kepada Yesus kerana hanya di dalam Yesus hidup kita mendapatkan terang yang mulia. Manusia boleh sahaja menciptakan banyak keajaiban di dunia dengan kuasa politik dan kecerdikan mereka, tetapi tidak ada satupun manusia dapat membawa manusia lain masuk ke dalam kerajaan Syurga melainkan Yesus Kristus. Jika Allah yang sempurna telah menciptakan dunia ini dengan sungguh baik, manusia yang penuh kejahatan telah mencemarkannya. Tetapi, Yesus adalah Allah yang turun ke dunia untuk menebus kita daripada dosa. Datanglah kepada Yesus; terimalah Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat anda, dan anda akan menikmati kesempurnaan hidup bersama-Nya. Haleluyah!

– HT Ram Jonathan®