Mengapa aku dilahirkan?
Adakah hanya untuk menderita dan mengalami kesusahan?
Adakah hidupku akan berlalu semata-mata untuk mendapat malu?
– Yeremia 20:18

Jika dibaca keseluruhan bab 20, kita pasti akan mendapati bahawa hampir semua ayat dalam bab ini menceritakan kisah Yeremia seolah-olah berada di dalam kekecewaan akibat kekalahan demi kekalahan yang dia alami. Kita dapat membaca ungkapan kekecewaan, keluhan atau putus asa Yeremia untuk peristiwa-peristiwa yang menimpa hidupnya. Dia ditangkap untuk dihukum oleh imam Pashyur (ayat 1-6), diejek oleh orang ramai dan musuhnya serta sahabatnya (ayat 7-8), dan juga ditinggalkan oleh sahabat (ayat 10). Kita semua tahu bahawa Yeremia dikenali sebagai nabi yang dipilih oleh Tuhan semenjak dari kandungan ibunya, meskipun memiliki kelemahan peribadi (Yer 1:4-10) tetapi dalam bab 20 dikisahkan bahawa Yeremia mengeluh dengan keadaan yang menimpanya. Yeremia mengalami tekanan akibat kejadian demi kejadian yang menimpa dirinya. Yeremia terlupa bahawa TUHAN telah berkata bahawa bangsa-bangsa akan menentangnya sepanjang masa dia menjadi nabi, tetapi TUHAN juga telah berjanji bahawa Yeremia tidak sendirian kerana TUHAN akan sentiasa menyertainya kerana TUHAN sendiri yang mengutusnya (Yer 1:19). Lalu, Yeremia menyedari bahawa TUHAN yang mengutusnya TUHAN akan membela dia bahkan akan mempermalukan para musuhnya (Yer 20:11-12) dan dia akan memuji kebesaran kuasa TUHAN (Yer 20:13). Namun seketika, kita melihat betapa Yeremia mengalami tekanan sehingga dia berkata bahawa dia mengharapkan dia akan digugurkan saat dia masih dalam kandungan dan menyesali kelahirannya ke dunia ini (Yer 20:17-18).

Sangat wajar dan logik untuk kita mengeluh seperti Yeremia terutama apabila kita berada dalam situasi tekanan dan situasi yang sangat menyusahkan hidup kita. Sebagai manusia, kita memiliki refleksi emosi dan mental yang tidak sama antara satu dengan yang lain. Tetapi, persamaan dari emosi dan mental kita adalah sebagai manusia kita tidak akan lari daripada kenyataan untuk meresponi tekanan dan keadaan sekitar yang mengganggu hidup normal kita. Kita akan mengeluh, kita akan rasa putus asa, kita kecewa, geram dan mahu sahaja melarikan diri dari keadaan sukar yang kita hadapi. Tetapi contohilah Yeremia, perhatikan respon Yeremia dalam ayat 11-13, meskipun dia berada dalam tekanan dan keluhan tetapi dia tetap setia kepada TUHAN dan tidak meninggalkan TUHAN! Yeremia tidak pernah lupa bahawa TUHAN yang berkuasa telah memanggil dia dan TUHAN yang sama akan sentiasa berpihak kepada dia, membela dia dari kejahatan musuh, melepaskan dia dari penipuan keji musuh-musuhnya. Demikian hebat dan dalamnya tekanan yang Yeremia hadapi, tetapi dia tetap setia kepada TUHAN!

Saudara dalam TUHAN, kita harus akui bahawa dunia dan manusia sekeliling kita adalah unik dan mereka tidak akan pernah sepenuhnya menyenangkan emosi dan mental kita. Kita tidak perlu mencari seseorang untuk dijadikan musuh, kerana sentiasa ada keadaan atau individu yang akan meresponi kita dengan sikap negatif sehingga memberikan tekanan kepada kita; memberikan kekecewaan kepada kita; memberikan cabaran untuk kekal positif di dalam hidup kita. Namun, ketika kita berhadapan dengan individu atau situasi sukar seperti itu, janganlah lupa bahawa kita tidak bersendirian menghadapinya. Jika anda adalah orang Kristian yang telah menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat, maka anda sentiasa berada didalam perlindungan dan penyertaan TUHAN. Jika anda masih terlalu jauh dari mempercayai Yesus Kristus sebagai TUHAN dan Penyelamat, maka anda harus menemukan dan menerima Yesus Kristus sebagai TUHAN dan Penyelamat peribadi anda. Ketika kita memiliki TUHAN, kita tidak akan pernah bersendirian. Yesus telah berjanji bahawa DIA akan menyertai kita sentiasa dan selamanya (Mat 28:20; 2 Kor 13:14; Filipi 1:2)! Jangan pernah meninggalkan TUHAN meskipun kita berada dalam tekanan hidup.

Kovid-19 telah membawa kesan yang sangat buruk kepada seluruh manusia. Ada beberapa kes bunuh diri terjadi akibat tekanan hidup selepas hilang sumber pendapatan menyara keluarga. Tuntutan hak sama rata orang kumpulan-kumpulan tertentu di beberapa buah negara menyukarkan kerajaan membendung penularan Kovid-19 sehingga membunuh ramai manusia lain yang berusaha menjaga keselamatan mereka. Kovid-19 juga menjadi penghalang kepada pertemuan-pertemuan rohani yang sepatutnya menjadi sumber mencari sokongan moral, emosi dan mental kepada kita. Tetapi, pernahkah TUHAN meninggalkan kita selama ini? TIDAK PERNAH! Dia sentiasa menyertai kita sepanjang masa. Ketika kita lemah, TUHAN datang memberikan kekuatan. Ketika kita jatuh di hadapan musuh, TUHAN ada untuk mengangkat kita. Sehingga akhirnya kita beriman teguh menyatakan di hadapan situasi dan musuh kita bahawa “Aku dikuatkan dan dipulihkan TUHAN! Beribu dan berjuta masalah tidak akan membunuh iman ku. TUHAN ada bersamaku dan TUHAN akan membebaskan aku.”

Haleluyah!

YESUS KRISTUS,
TUHAN YANG PENUH BERKUASA.
KUATKAN AKU SETIAP WAKTU.
TEGUHKAN AKU SEPANJANG MASA.
HIDUPKU HANCUR TANPA SERTA-MU.
YESUS KRISTUS,
TUHAN YANG PENUH HIKMAT.
PULIHKAN AKU SEUMUR HIDUPKU.
SEGARKAN AKU SETIAP SAAT.
HIDUPKU BERSANDAR PENUH DALAM RAHMAT-MU.
AMIN.

– HT Ram Jonathan ®