Aku akan memuji-Mu, ya Tuhan, dalam kalangan bangsa-bangsa;
aku akan menyanyi untuk-Mu dalam kalangan umat manusia.
Kerana kasih-Mu menjangkau langit;
dan kesetiaan-Mu mencapai awan.
Maha Tinggi Engkau, ya Allah, memerintah langit;
dan kemuliaan-Mu di atas seluruh bumi.
– Mazmur 57:9-11

Ayat 9 merupakan ungkapan sukacita oleh Daud ketika dia dalam usaha melarikan diri daripada Saul. Daud sedar bahawa bahaya sedang mencarinya ketika Saul yang sangat cemburu akan hubungan Tuhan dengan Daud jauh melebihi kekuasaannya sendiri di atas kerajaan Israel. Saul ingin mengejar, menangkap bahkan bertujuan untuk membunuh Daud. Namun, Tuhan sentiasa memilih untuk melindungi Daud bahkan membawa Daud ke tempat persembunyian yang selamat; ketika Daud menyanyikan mazmur ini di dalam gua. Meskipun dalam hal perlindungan daripada Tuhan, selalunya melibatkan belas kasihan-Nya terhadap bangsa Israel, tetapi dalam ayat 9, Daud menggunakan kata nama ‘bangsa-bangsa’ dan ‘umat manusia’ yang memiliki makna bahawa Tuhan sesungguhnya adalah Tuhan seluruh manusia dan satu-satunya Tuhan kepada seluruh umat manusia, yang pada mulanya memperkenalkan diri-Nya kepada bangsa Israel. Oleh itu, Daud juga ingin menyatakan bahawa Tuhan yang dia puji dan sembah adalah Tuhan yang bertakhta di atas bangsa Israel namun dalam masa yang sama merupakan Tuhan kepada seluruh umat manusia di bumi ini. Daud juga membuat perbandingan Tuhan yang melindunginya dengan Tuhan yang dianggap sebagai dewa dewi di atas langit (ayat 10) tetapi kasih dan kesetiaan Tuhan jauh melebihi tuhan-tuhan (dewa dewi) lain yang ada di bumi ini. Begitu hebatnya pujian dan sembah oleh Daud kepada Tuhan kerana menyedari bahawa tiada Tuhan selain YHWH, Tuhan yang sama yang telah turun ke dunia lalu menjelma di dalam bentuk manusia dan memperkenalkan diri-Nya sebagai Yesus Kristus! Selain itu, gelaran “Maha Tinggi” oleh Daud untuk Tuhan yang berkuasa di seluruh bumi sama ada di dalam bumi atau di atas langit!

Tiada tuhan yang lebih tinggi di atas langit bahkan di bawah bumi yang dapat menentang kekuasaan Tuhan kita, Yesus Kristus. Jika ada manusia lain yang mendirikan agama dan berkata bahawa ada tuhan yang lebih berkuasa selain daripada Tuhan Yesus, maka tuhan yang mereka anuti itu adalah peribadi yang cuba meniru kekuasaan Tuhan yang kita miliki. Jika mereka berkata bahawa tuhan mereka mampu memberikan lebih daripada apa yang Tuhan kita mampu lakukan, percayalah bahawa tuhan mereka itu adalah dari si iblis, sang peniru perbuatan Tuhan Yesus untuk menghancurkan kepercayaan umat manusia kesayangan Tuhan. Kasih yang Tuhan kita miliki jauh melebihi kasih yang dimiliki oleh tuhan-tuhan yang ada di dunia ini. Buktinya adalah, Tuhan kita iaitu Yesus Kristus rela menyerahkan nyawa-Nya untuk disalibkan, mati dan dikuburkan; darah-Nya tercurah dan menyucikan seluruh dosa manusia; bahkan ketika Dia di dalam kubur, Dia telah bangkit dan membuktikan bahawa hanya Dia satu-satunya Tuhan. Tiada tuhan yang dapat mengalahkan maut, bahkan kasih oleh tuhan-tuhan yang lain di dunia ini sering menuntut syarat-syarat yang rumit sebelum penganutnya mendapat perkenaan kasihnya. Tetapi, Tuhan kita iaitu Yesus Kristus tidak menuntut tindakan rumit daripada kita dalam usaha mendapatkan kasih kurnia-Nya. Cukup hanya percaya dengan iman, menjemput Yesus Kristus masuk dalam hati dan hidupilah kehidupan baharu sesuai firman-Nya (Yohanes 3:16). Ramai orang yang berkata bahawa bahagian menghidupi kehidupan sesuai firman Tuhan adalah yang paling sukar tetapi syurga dihuni oleh orang-orang percaya kepada Yesus Kristus dan hidup sesuai dengan firman-Nya. Melakukan sesuai kehendak firman-Nya bukanlah usaha kita sendiri, melainkan kekuatan dari Roh Kudus yang menguatkan kita.

Kesetiaan Tuhan juga tidak ada tandingannya. Ketika Adam dan Hawa jatuh dalam dosa, Tuhan berjanji akan datang kembali ke dunia ini dalam kandungan seorang wanita dara dan kuasa-Nya akan meremukkan kekuasaan di iblis (Kejadian 3:15). Ternyata Tuhan itu setia pada janji-Nya! Dia sentiasa memberikan peluang demi peluang kepada umat manusia untuk bertaubat dan kembali kepada-Nya. Dari bangsa Israel kepada bangsa Yahudi sehingga kepada seluruh umat manusia di dunia ini, namun manusia seringkali menolak-Nya bahkan memilih untuk mengabdikan diri dengan kedagingan mereka sendiri dan juga menyembah si peniru yang jahat iaitu iblis! Namun, kesetiaan Tuhan tidak pernah pudar bahkan setiap hari kesetiaan-Nya bertambah-tambah dalam hidup kita. Jika bukan Tuhan setia memegang nyawa kita, nafas hidup kita sudah hilang begitu sahaja akibat daripada dosa yang kita lakukan. Bayangkan, ketika anda dan saya masih berdosa dan belum beriman kepada Yesus lalu mati; dimanakah anda dan saya akan berada? Kita pasti akan ke neraka. Tetapi,jika kita beriman kepada-Nya dan beriman kepada-Nya lalu menghidupi kehidupan sesuai firman-Nya, maka kita pasti akan bersama-sama dengan Tuhan di syurga yang kekal. Tuhan itu setia dan adil dalam tindakan-Nya, kerana itu marilah tetap berusaha setia kepada-Nya. Marilah kita meneladani tindakan Tuhan Yesus ketika Dia masih hidup di dunia ini; Dia melayani orang tanpa pilih kasih dan melindungi orang tanpa melihat untung untuk-Nya. Matius 10:41-42 menyatakan bahawa jika kita setia membantu orang di sekeliling kita, maka kita akan diperhatikan sangat istimewa oleh Tuhan sehingga akhirnya akan mendapat ganjaran daripada-Nya! Marilah kita berlumba-lumba membuat kebaikan sesuai firman-Nya kerana tindakan-tindakan sedemikian telah terlebih dahulu ditunjukkan oleh Yesus Kristus kepada para murid dan pengikut-Nya. Jangan kita berfikir ganjaran atau pujian yang kita bakal terima tetapi fikirkanlah bahawa ia adalah untuk memuliakan Tuhan kita, Yesus Kristus.

Saudara-saudari terkasih dalam Tuhan, marilah kita melihat Yesus Kristus bukan sekadar seorang tokoh dalam sejarah iman Kristian, tetapi teladanilah Dia sebagai Tuhan yang telah menunjukkan kasih dan kesetiaan-Nya kepada dunia ini. Terimalah Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat anda. Yesus Kristus telah menjadikan kita anak-anak kesayangan-Nya dan kita adalah ranting-ranting daripada diri-Nya sendiri sebagai pokok. Jika kita mahu hidup melekat dengan Yesus Kristus, siapkanlah diri untuk disemai dengan subur lalu dibaja dengan secukupnya oleh Roh Kudus. Lakukanlah yang benar, fikirkanlah kemuliaan Tuhan dan nescaya kita akan menghidupi hidup yang penuh kasih dari Tuhan. Kesetiaan-Nya akan kekal abadi untuk kita. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®