Saudara-saudaraku, aku meminta kepadamu, berwaspadalah terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan menyesatkan orang daripada ajaran yang telah kamu terima. Berpalinglah daripada mereka.
Orang demikian bukanlah hamba Tuhan Kristus tetapi hamba kepada hawa nafsu mereka sendiri. Mereka memperdaya hati orang yang lurus dengan kata-kata yang manis.
Semua orang telah mengetahui ketaatamu. Oleh itu, aku bergembira tentangmu. Aku mahu kamu bijak dalam kebaikan serta bersih daripada kejahatan.
Allah, sumber kesejahteraan, akan segera membuat Iblis hancur di bawah kakimu. Semoga kasih kurnia Tuhan kita, Yesus Kristus menyertai kamu semua.
– Roma 16:17-20

Paulus dalam suratnya kepada jemaah bukan Yahudi mengingatkan mereka agar berhati-hati dengan guru-guru palsu yang berusaha memuaskan hawa nafsu mereka sendiri dengan kata-kata manis. Paulus mahu jemaah di Roma sedar bahawa penyesatan yang dilakukan oleh guru-guru palsu akan menyebabkan perpecahan di antara sesama jemaah Kristian, menghalang orang datang kepada Kristus dan membawa jemaah berpaling daripada kebenaran kepada kesesatan. Maka itulah Paulus mengingatkan mereka untuk berwaspada terhadap mereka dan jangan layani mereka. Selain peringatan untuk berhati-hati dengan guru palsu, Paulus juga memuji iman mereka yang terkenal di seluruh dunia (Roma 16:19, 1:8) dan ia membuatnya sangat diberkati dan terus menerus memberikan dorongan kepada mereka untuk tetap bijak dalam melakukan kebaikan dan suci dari kejahatan. Bukan sekadar memberikan peringatan dan pujian, Paulus juga menyatakan sumber kesejahteraan mereka dalam menjalani hidup sebagai orang Kristian adalah Allah dan melalui kuasa Tuhan kita, Yesus Kristus maka akan menghancurkan kuasa Iblis. Inilah inti daripada bahagian terakhir surat Paulus kepada jemaah di Roma yang terdiri daripada bangsa bukan Yahudi dan berkerja di kota asing itu. Bahkan, ajaran-ajaran serta peringatan yang Paulus tuliskan dalam kitab Roma sentiasa berfokus kepada ajaran benar daripada Yesus yang mereka perlu patuhi dan pembongkaran ajaran sesat dari guru-guru palsu harus dihindari.

Hampir semua hamba Tuhan yang tercatat di dalam Alkitab, sama ada dari Perjanjian Lama sehingga Perjanjian Baru, bahkan dari zaman Bapa-Bapa Gereja Awal akan menceritakan kepada jemaah mengenai kesusahan yang mereka alami dalam mempertahankan iman kepada Kristus Yesus. Dalam masa yang sama, mereka juga akan menceritakan kesusahan yang didatangkan oleh para guru-guru palsu yang sentiasa muncul di setiap abad kekristianan di dunia ini. Harus diakui bahawa Kristian sering menjadi musuh utama Iblis berbanding agama lain. Jika difahami secara benar makna kenyataan oleh Kristus Yesus yang dicatatkan dalam Yohanes 14:6-7 yang berkata, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudah pun melihat-Nya.” maka kita tahu bahawa satu-satunya Tuhan yang benar di dunia ini adalah Yesus Kristus! Selain daripada Yesus Kristus, tidak ada jalan menuju ke syurga; selain daripada Yesus Kristus; tidak ada kebenaran ajaran agama lain; selain daripada Kristus Yesus, tidak akan sumber hidup kekal. Itulah sebabnya Iblis tidak senang duduk dengan kebenaran fakta mengenai Kristus Yesus dan iman Kristian sehingga sentiasa membawa kesusahan kepada jemaah Kristian di seluruh dunia.

Kita harus berwaspada terhadap si jahat yang sentiasa mencuri peluang untuk menyelinap masuk ke dalam hati, mata, telinga, dan minda kita. Si jahat tidak akan pernah berputus asa dalam memporak-perandakan kesejahteraan keluarga Allah kerana sifat semulajadi si jahat adalah menentang Allah dalam segala tindakannya. Bahkan dalam kebanyakan waktu, si jahat selalunya akan meniru berkat-berkat yang Allah berikan kepada umat-Nya tetapi kesannya berbeza iaitu, apa yang diberikan Allah akan menjadi berkat sementara yang diberikan oleh si jahat adalah kutuk. Contohnya, jika kita mahukan kesembuhan dan Allah mahu berikan kepada kita maka ia adalah berkat kerana ia membuatkan iman kita bertumbuh terhadap Allah. Sebaliknya jika kita meminta kesembuhan daripada si jahat dan kita sembuh, kita akan dikejar-kejar oleh kutuk daripada si jahat kerana dia mahu kita hidup bersamanya di api neraka. Jangan sampai kita tertipu oleh si jahat yang sentiasa aktif 24 jam untuk menggodai kita. Demikian juga dalam hal pengajaran-pengajaran firman Tuhan, kita akan berhadapan dengan ramai guru-guru palsu yang mengajarkan firman Tuhan demi kepentingan perut mereka sendiri. Mereka memilih untuk menggunakan firman Tuhan sebagai modal berniaga dari rumah ke rumah, gereja ke gereja, media sosial ke media sosial bahkan dari peribadi ke setiap peribadi. Guru-guru palsu akan mengelabui kita dengan kata-kata ‘canggih’ mereka, sehingga membuat kita terkagum dengan mereka. Mereka mungkin menggunakan kemampuan bahasa asli Alkitab untuk menyesatkan kita dengan memberikan makna yang menuju kepada kepentingan peribadi mereka sahaja.

Kita tidak punya cara lain untuk mengelak daripada berhadapan dengan guru-guru palsu dan si jahat di setiap langkah hidup kita. Di mana sahaja kita berada, kita mungkin akan berhadapan dengan mereka tanpa kita sedari. Malahan, lebih menyedihkan lagi adalah apabila kita tidak sedari kita terjebak dengan penyesatan mereka. Oleh itu, usahakanlah untuk belajar firman Tuhan dengan guru-guru Alkitab yang bertauliah dan diakui benar oleh majoriti gereja dan guru-guru Alkitab lainnya. Berusaha juga bertanya kepada orang-orang rohani lain apabila kita diajarkan sesuatu pengajaran oleh seseorang yang mendakwa ajarannya sahaja yang benar. Jangan meninggalkan persekutuan orang-orang kudus di dalam ibadah di gereja kerana persekutuan orang kudus akan memperkaya pertukaran idea serta saling dikuatkan dalam doa bersama. Waspadalah terhadap si jahat kerana kita adalah mangsa utama penyesatan. Jika kita leka dan lalai dalam hubungan peribadi kita dengan Tuhan, maka si jahat akan mudah mempengaruhi kita supaya terjebak di dalam lembah kejahatan. Semoga sejahtera daripada Allah akan menyertai kita sentiasa dan selama-lamanya. Amin.

– Jonathan Nafesy El Ram®