Oleh yang demikian, kerana kita telah diperbenar melalui iman, kita telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus.
Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang. Dan kita bersukacita dengan harapan akan kemuliaan Allah.
– Roma 5:1-2

Roma 5 dimulai oleh Paulus dengan kata hubung ‘Oleh yang demikian’ untuk menunjukkan bahawa ayat ini merupakan sambungan pengajaran dari ayat sebelumnya iaitu 4:25 iaitu Yesus yang mati untuk dosa dan dibangkitkan untuk manusia. Lalu, Paulus menyambung semula dalam ayat 2, “Melalui-Nya kita telah mencapai dengan iman kasih kurnia yang meliputi kita sekarang.” Dan ayat ini membuktikan bahawa Kristus sahaja yang telah menjadi jalan penyelamatan kepada manusia di dunia ini, tanpa Kristus maka tidak ada jalan masuk kepada kasih kurnia dan damai sejahtera kepada Allah. Tanpa izin daripada Kristus, maka kita tidak akan dapat masuk ke dalam hadirat Allah bahkan sebenarnya kita tidak akan pernah berdamai dengan Allah. Selain daripada itu, kita juga menikmati kemuliaan ilahi dengan penuh sukacita. Kata ‘bersukacita’ itu adalah respon manusia yang menerima anugrah yang sangat besar dalam hidupnya iaitu perdamaian dengan Allah sehingga menikmati kemuliaan-Nya.

Perdamaian dengan Allah merupakan perkara paling penting dalam hidup orang-orang berdosa di dunia ini. Tanpa perdamaian dengan Allah, maka manusia akan hidup dalam kutukan dosa dan berada di dalam kerajaan iblis. Ketika menjadi hamba kepada iblis, maka hidup manusia tidak akan pernah bahagia meskipun mereka merasakan bahawa mereka bahagia. Sebenarnya kebahagiaan itu didatangkan oleh iblis untuk membawa manusia hanyut lebih dalam lagi dalam lembah dosa sehingga akhirnya akan masuk ke dalam neraka. Tiada cara lain untuk memiliki kebahagiaan sejati melainkan berdamai dengan Allah. Jika kita memiliki Allah, maka kita akan memiliki segala yang Allah miliki termasuk kebahagiaan dan kehidupan kekal. Kerana di mana Allah berada, maka di sana umat-Nya akan berada. Bagaimana cara hidup Allah, maka demikian juga cara hidup umat-Nya yang bersama-sama dengan-Nya.

Namun, kebahagiaan kekal itu tidak bermakna bahawa kita akan sentiasa memiliki keselesaan hidup selama masih berada di dunia ini. Ayat 3 dan 4 berkata, “…tetapi kita juga akan bersukacita dengan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan membina ketabahan. Ketabahan membina budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan.” Benar bahawa apabila kita diperdamaikan dengan Allah, maka kita akan memiliki tahap iman yang teruji kerana Roh Kudus sentiasa menguatkan kita, malahan kita juga akan berbahagia kerana memiliki harapan dalam kemuliaan Allah. Tetapi, kita juga akan memiliki ujian-ujian dalam hidup sebagai manusia di bumi ini. Bahkan, sebenarnya bumi dan isinya yang memberikan ujian penderitaan kepada kita termasuk penyakit, masalah ekonomi dan struktur sosial yang menindas. Kerana iman kita kepada Kristus juga akan membawa kita kepada cabaran kerana iblis tidak senang hati dengan orang-orang yang menyembah Allah. Oleh itu, iblis akan menggunakan banyak cara lain untuk menyusahkan hidup kita. Namun, tetaplah berpegang teguh kepada iman kita, kerana kita berada di pihak yang benar. Daud sendiri mengakui kekuasaan Tuhan dalam hidupnya apabila dia menyanyikan bait ini dalam Mazmur 23:1, “TUHAN ialah gembalaku, aku tidak akan kekurangan apa-apapun.

Ini harus dilihat dalam konteks penulisan surat Roma, jemaah Kristian pada masa kekuasaan Rom dianiaya bahkan dibunuh jika berani menyebut Kristus adalah Tuhan, kerana selain Kaisar Rom sebagai tuhan, tidak harus ada tuhan lain. Dalam konteks inilah Paulus menuliskan bahawa hidup mereka harus berdamai dengan Allah dan mereka akan mendapat kemuliaan hidup tetapi dalam masa yang sama mereka akan sengsara akibat tindasan dan penderitaan. Demikianlah hidup kita di dunia moden ini; kita pasti akan berhadapan dnegan kuasa iblis dalam berbagai sudut. Oleh itu, jangan berputus asa dalam menghadapi cabaran-cabaran iman itu, sebaliknya Paulus berkata ‘bersukacitalah dalam penderitaan, kerana penderitaan akan membina ketabahan.’ Kita harus bertahan sebagai orang beriman kepada Kristus. Mungkin kita tidak akan dapat bertahan sendirian, tetapi usahakanlah agar kita tertanam di dalam sebuah gereja atau persekutuan orang-orang beriman agar kita saling menguatkan di antara satu sama lain.

Sebagai murid Yesus Kristus, kita tidak boleh hanya berhenti di konsep anugrah, tetapi terus berlanjut pada tanggungjawab terhadap anugrah Allah iaitu dengan menjalankan perintah-Nya. Dalam keadaan apa sekalipun, marilah kita tetap bersikap teguh iman, sehingga iman kita bertumbuh subur dan menghasilkan buah lebat yang akhirnya akan menjadi berkat kepada orang lain di sekitar kita. Kita harus menjadi teladan kepada orang di sekitar kita bahawa perdamaian dengan Allah itu adalah sangat penting kerana melalui perdamaian dengan Allah, manusia akan memperoleh kehidupan kekal dan menikmati kemuliaan Allah. Menjadi orang Kristian atau murid Yesus tidak akan menjadikan kita kebal dan bebas dari derita dan sengsara, melainkan menjadikan kita berbuah, bahkan dalam kesengsaraan sekalipun.

Janganlah kita melepaskan keyakinan iman kita kepada Kristus hanya kerana kita mahukan kebahagiaan sementara bahkan kebahagiaan palsu yang dunia tawarkan kepada kita. Pandemik Covid-19 mengajarkan kita bahawa selama kita bertahan dan mengikuti SOPs yang dicadangkan, maka risiko jangkitan juga adalah sangat rendah. Demikian juga iman kita kepada Kristus, selama kita menjaga hidup damai dengan Allah, maka Allah akan setia danadil untuk berperang bagi pihak kita. Allah sendiri akan menghapuskan penderitaan serta ancaman dari iblis untuk kita. Allah juga akan berperang bersama-sama kita dengan menjadi panglima utama yang memimpin peperangan iman yang kita lalui. Hanya kita yang perlu tetap berdamai dengan Allah kerana apabila kita berdamai dengan-Nya, kita akan aman di dalam-Nya. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®