Mula-mula Dia berkata, “Korban dan persembahan bakaran, dan persembahan untuk menebus dosa, tidak Kau ingini dan tidak Kau redai” (iaitu persembahan menurut Hukum).
Kemudian Dia berkata, “Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah.” Dia menyingkirkan yang pertama untuk mengasaskan yang kedua.
– Ibrani 10: 8-9
Dalam bab 10:1, penulis kitab Ibrani menggunakan kata ‘bayang-bayang’ menunjukkan bahawa Hukum Tuarat dan ritual Musa adalah suatu jenis bayangan kepada keImaman Besar Yesus di Tempat Maha Suci syurgawi, dan bukannya tempat maha suci buatan tangan manusia (Ibrani 8:5; 9:23-28). Ini juga menunjukkan kepada pembaca pada masa kini dan penerima pertama surat Ibrani bahawa pengorbanan Hari Pendamaian yang dilakukan setiap tahun sebenarnya tidak dapat menghapuskan dosa kerana perayaan ini adalah bayangan masa hadapan tentang Yesus yang mengorbankan diri-Nya sebagai korban penghapus dosa manusia (Ibrani 9:11). Tidak ada aktiviti sepanjang Hari Pendamaian di dalam tradisi Israel mahupun Yudaisme yang dapat menghapuskan dosa manusia secara sempurna. Ayat 8-9 sebenarnya mengejutkan apabila dinyatakan Allah tidak mengingini persembahan binatang sebagai kurban penebus dosa manusia kerana dalam Imamat 1:13; 3:5; 3:16, Allah dikatakan meredai kurban-kurban persembahan ini. Tetapi konteks lebih tepat untuk memahami penolakan oleh Allah boleh difahami di dalam Yesaya 1:11-13; Hosea 6:6; Amos 5:21-22; Mikha 6:6-8, apabila orang Israel memberikan kurban tetapi tidak mentaati Allah dalam kehidupan mereka. Samuel juga berkata kepada Saul agar lebih baik mentaati Tuhan daripada mempersembahkan korban (1 Samuel 15:22). Allah bermaksud untuk mengutus Anak-Nya yang Tunggal untuk menjadi korban sempurna sekali untuk selama-lamanya (ayat 10).
Bulan Disember merupakan bulan yang penuh dengan kemeriahan kerana seluruh dunia tanpa mengira agama akan meraihkan perayaan Natal. Natal berkisar kepada kisah kelahiran seorang bayi dari wanita perawan yang dikandung secara penuh mukjizat dan bertumbuh besar sehingga akhirnya menjadi tokoh sejarah dunia. Yesus Kristus adalah bayi yang dikandung oleh Maria, seorang wanita perawan tanpa proses hubungan kelamin. Ini kerana Yesus Kristus yang dikandungkan oleh Maria melalui kuasa Roh Kudus adalah penjelmaan Allah sebagai manusia yang akan menebus manusia dan seluruh dunia daripada dosa agar tidak dihukum ke api neraka tetapi sesiapa yang beriman sungguh kepada-Nya akan mendapat keselamatan kekal (Yohanes 3:16). Bagi ramai manusia, perayaan Natal sekadar sebuah perayaan untuk bercuti dan mendengar lagu-lagu berkaitan kelahiran seorang bayi penuh mukjizat. Tetapi bagi umat Kristian di seluruh dunia, bulan Disember adalah masa untuk merayakan sukacita terbesar dunia ini, Penyelamat telah lahir ke dunia dan telah menebus mereka daripada dosa. Namun, bukan sekadar merayakan sukacita ini tetapi lebih jauh lagi mempelajari semula berkat keselamatan yang telah digenapi oleh Yesus Kristus.
Yesus Kristus berkata, “Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah.” (ayat 9). Saudara-saudari yang terkasih, pernah engkau melihat Yesus Kristus di dalam kehidupanmu selama ini? Masih ramai manusia di dunia ini yang belum pernah melihat Yesus di dalam kehidupan mereka. Buktinya, mereka masih mempercayai tuhan-tuhan yang lain dan menyembah tuhan-tuhan yang diciptakan oleh manusia dan sejarah bangsa mereka sendiri. Orang-orang yang belum melihat Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat akan menolak untuk mengikuti-Nya serta menolak untuk patuh kepada perintah-perintah firman-Nya. Orang-orang seperti ini memerlukan bantuan kerana mata rohani mereka masih buta sehingga kita harus menuntun mereka kepada Yesus Kristus. Yesus Kristus adalah satu-satunya Tuhan, membawa kepada kehidupan kekal kerana Dia adalah satu-satunya jalan keselamatan (Yohanes 14:6). Natal adalah Berita Baik kepada seluruh dunia, kerana Dia datang untuk melakukan kehendak Allah Bapa. Janganlah kita kalah dengan dalih manusia menolak Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat hanya dengan berkata, “Tidak ada yang menyaksikan Yesus kepada saya.” Kita adalah duta pembawa Natal kepada orang-orang seperti itu. Kita sudah melihat betapa besar dan dalamnya kasih Yesus Kristus kepada kita apabila kita telah dijanjikan keselamatan kekal. Sedangkan masih ramai manusia di dunia ini bertarung dengan iman mereka sendiri tentang hala tuju hidup mereka selepas kematian. Jadilah duta yang menyaksikan Natal kepada mereka.
Yesus juga bukan sekadar bersaksi bahawa Dia datang melakukan kehendak Allah Bapa, tetapi juga Yesus benar-benar melakukan kehendak Allah Bapa. Yohanes 8:12 menyatakan pengakuan oleh Yesus sendiri kepada para murid dan orang Farisi, “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.” Kehendak Allah Bapa kepada Yesus adalah menebus manusia daripada dosa dan Yesus menyatakan bahawa Dia adalah cahaya kepada dunia ini. Yesus datang ke dunia dan melakukan kehendak Allah Bapa, tetapi pernahkah kita mengambil masa memikirkan kehendak Yesus Kristus di dalam kehidupan anda dan saya? Yesus Kristus mahu kita meneladani kehidupan-Nya selama di dunia ini; hidup kudus, saling mengasihi dan menjadi saksi kemuliaan-Nya. Kita tidak diminta untuk memilih hidup kudus tanpa perlu mengasihi atau memilih hidup dalam kasih tetapi tidak menjadi saksi. Kita tidak diminta membuat pilihan tetapi diperintahkan agar melakukan semuanya. Natal membawakan perubahan hidup kepada manusia; kita seharusnya menjadi lebih dewasa rohani seperti bayi yang akhirnya akan bertumbuh besar, kerana Yesus juga bertumbuh dewasa dan matang dalam segala hal bahkan mati berkorban demi manusia. Kita juga harus memiliki karakter unggul iaitu sikap mengasihi dan mengampuni sesama manusia. Kedua karakter ini akhirnya akan memandu arah kita memiliki sikap-sikap lain. Tanpa kasih kepada Allah dan sesama, mustahil untuk kita memiliki iman yang teguh kepada Yesus Kristus. Tanpa sikap mengampuni, maka mustahil untuk kita menjadi saksi kebenaran firman Tuhan. Yesus Kristus sendiri menunjukkan teladan kepada kedua karakter ini. Ketika Dia lahir dan bertumbuh dewasa, Dia tidak memusuhi sesiapa tetapi sebaliknya mengasihi mereka. Ketika Dia dicerca, ditangkap, diseksa lalu di bunuh, Yesus berkata (Lukas 23:34), “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Jadilah saksi Kristus yang sejati; memiliki karakter mengasihi dan mengampuni.
Semoga Natal 2021 menjadi satu peristiwa bersejarah untuk rohani kita semua. Meyakini bahawa bayi yang lahir bernama Yesus lebih 2000 tahun lalu telah menebus kita semua daripada dosa dan membawa perdamaian di antara kita dan Allah. Kelahiran bayi bernama Yesus yang datang ke dunia untuk melakukan kehendak Allah Bapa iaitu menebus dosa anda dan saya. Bayi yang bernama Yesus ketika dewasa telah menunjukkan banyak mukjizat, memberikan teladan hidup kudus serta menebus dosa manusia. Natal adalah kisah kehidupan Yesus yang telah lahir dan hadir ke dalam hidup anda dan saya untuk menebus kita daripada dosa. Haleluyah!
– HT Ram Jonathan®