Kamu sahabat-sahabat-Ku, jika kamu melakukan apa yang Aku perintahkan. Aku tidak lagi memanggil kamu hamba, kerana hamba tidak mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku, kerana Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah Aku dengar daripada Bapa-Ku.
– Yohanes 15:14-15

Ungkapan yang ada di dalam dua ayat kutipan ini merupakan kata-kata jaminan daripada Yesus sendiri kepada para murid-Nya. Selain itu, konteks seluruh perikop bab 15 ini berdasarkan ajaran Yesus agar para pengikut-Nya memiliki kasih yang tidak berpura-pura. Yesus mahu mereka menjadi carang yang tidak sepatutnya dicantas daripada pokoknya; Yesus sebagai pokok dan orang Kristian adalah carang-carang-Nya. Carang yang tidak hidup dengan dasar kasih adalah carang yang selayaknya dicantas lalu dibuang ke pembakaran sampah. Tetapi carang yang tetap sihat dan melekat baik kepada pokok, maka carang itu akan dipelihara oleh tukang kebun agar sihat dan menghasilkan buah yang lebat. Manusia yang menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat sepatutnya menjadi carang yang sihat dan berbuah lebat. Lalu dalam ayat 9, Yesus menyatakan bahawa Dia sangat mengasihi para pengikut-Nya sama seperti Bapa yang mengasihi-Nya. Yesus mahu para pengikut-Nya juga tinggal tetap dalam-Nya dengan sikap kasih. Kata ‘tinggal tetap’ yang diungkapkan dalam ayat 9 adalah sama tuntutannya dengan ‘tetap pada pokoknya’; yang digunakan dalam ayat 4. Kunci kepada hidup sebagai orang Kristian adalah KASIH. Yesus mahu mengajarkan bahawa hidup orang Kristian itu didasari oleh sikap KASIH. Yohanes 3:16 adalah bukti bahawa Yesus datang ke dunia ini demi menyelamatkan dunia serta manusia. Semuanya Dia lakukan atas dasar kasih. 1 Petrus 4:8 juga mengajarkan hal yang sama apabila manusia diajarkan supaya saling mengasihi dengan sepenuh hati kerana pengampunan yang murni datang dari kasih yang tidak bersyarat.

Yesus bukan sekadar Tuhan dan Penyelamat, tetapi Yesus seorang sahabat; mahu bersahabat dengan kita. Ungkapan kasih yang digunakan oleh Yesus dalam perikop ini saling bertindih maksud antara ‘agape’ dan ‘phileo’. ‘Agape’ adalah kasih yang Yesus telah tunjukkan kepada manusia dan seluruh isi dunia ini. Yesus tidak meletakkan syarat sebelum Dia memberikan nyawa-Nya sebagai ganti menebus dosa manusia. ‘Phileo’ adalah kasih yang sama iaitu kasih terhadap sesama sebagai saudara dan sahabat. Seharusnya kasih di antara sahabat dan saudara adalah tanpa syarat juga. Demikianlah Yesus mahu mengajarkan kepada kita bahawa hidup sebagai orang Kristian adalah berlandaskan kasih tanpa syarat. Kita boleh sahaja berhati-hati dalam mempraktikkan kasih kepada sesama manusia. Mungkin sahaja kita berhati-hati kerana kita mungkin diambil kesempatan demi kepentingan orang yang menerima huluran kasih, mereka mahu menjerat kita dengan tindakan kasih kita atau juga kasih yang kita tunjukkan bukanlah kasih yang mereka harapkan. Semua ini menjadi antara pertimbangan untuk kita tetapi ianya bukanlah syarat untuk mengasihi atau tidak mengasihi orang lain. Yesus sendiri mengingatkan kita bahawa di tengah-tengah pelayanan kasih kita, sentiasa ada kelompok manusia yang cuba untuk menganiaya. Kerana itu, Matius 10:16-18 menjadi peringatan kepada kita agar tulus seperti merpati dalam pelayanan kasih tetapi bijak seperti ular dalam menilai situasi sekeliling kita.

Malaysia masih berhadapan dengan ancaman holistik akibat pandemik Covid-19. Masih ramai yang berhadapan risiko dijangkiti virus ini meskipun kerajaan dan organisasi berwajib berusaha mencadangkan berbagai kaedah standard prosedur pencegahan. Emosi rakyat masih sangat rapuh sehingga kadar gangguan emosi dan risiko jenayah masih meningkat termasuk kadar keinginan bunuh diri masih mempengaruhi mereka. Apakah peranan kasih dalam suasana ini? Mudah untuk mengatakan, 'tunjukkan kasih' tetapi sebenarnya tindakan kasih itu adalah pergumulan setiap kita termasuk orang Kristian. Kita mahu membantu meringankan beban hidup mereka yang terkesan negatif dari segi ekonomi dan mental, tetapi kita sendiri mengalami beban ini. Lalu, kepada siapa sebenarnya kita mahu memohon kekuatan agar kita dapat mempraktikkan kasih ini? Mohonlah kepada Roh Kudus agar kasih yang tidak bersyarat itu dapat kita tunjukkan kepada sesama meskipun kita sendiri mengalami beban yang sangat berat. Bukan kerana kita lebih baik daripada orang lain atau bukan juga kerana lebih memerlukan sokongan orang lain, tetapi kerana Tuhan yang kita sembah adalah sumber kasih itu sendiri. Mustahil untuk Tuhan yang penuh kasih menolak untuk menyalurkan sikap kasih kepada kita ketika kita benar-benar mahu menunjukkannya demi kemuliaan nama-Nya. Bersikap jujurlah kepada Tuhan dan memohon kepada-Nya agar kasih yang kita mahu tunjukkan itu adalah ikhlas demi kemuliaan nama-Nya dan kerajaan-Nya. Imani dengan benar bahawa Tuhan Yesus, sumber kasih akan mencukupi segala keperluan kita. Sama seperti yang Yesus jaminkan dalam Yohanes 15:7 bahawa Kristian yang benar-benar menghidupi kasih dan mahu bertumbuh dengan kasih akan mudah menerima jawapan doa mereka dihadapan Tuhan. Kerana Yesus lebih dahulu mengasihi kita, maka kita juga harus saling mendahului dalam menunjukkan kasih terhadap sesama. Haleluyah!

– HT Ram Jonathan®