Yesus menjawab, “Aku jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.”
– Yohanes 14:6
Dalam tiga edisi renungan ke depan bermula edisi ini, kita akan sama-sama mempelajari penyataan kebenaran dari Yesus yang dipetik daripada Yohanes 16:6, iaitu merujuk kepada pengakuan Yesus sendiri menunjukkan ketuhanan-Nya. Yesus adalah jalan, Yesus adalah kebenaran dan Yesus adalah kehidupan. Minggu-minggu ke depan ini seluruh umat Kristian akan meraihkan kedatangan Allah untuk menyelamatkan manusia melalui wujud-Nya sebagai manusia yang dikenali sebagai Yesus Kristus. Perayaan yang sangat indah untuk diraihkan bersama sebagai Krismas atau Natal.
Dalam petikan Yohanes 14:6, Yesus menyampaikan kebenaran ini kepada murid-murid-Nya sebelum Dia kembali ke Syurga. Kebenaran ini merupakan kebenaran mutlak yang tidak akan pernah berubah meskipun wujud agama-agama dan ajaran-ajaran mengenai wujudnya tuhan selain Tuhan Yesus. Kata ‘jalan’ di dalam penyataan ini bukan merujuk kepada sebuah objek mati yang dibina oleh manusia seperti jalan raya ataupun kemudahan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lainnya. ‘Jalan’ yang dimaksudkan di dalam pernyataan ini adalah seorang Peribadi, iaitu merujuk kepada Yesus. Ini membawa maksud bahawa Yesus adalah satu-satunya Peribadi yang membuka dan membina hubungan kekal manusia dengan Allah. Selain daripada Yesus, tidak ada agama, tidak ada tuhan, tidak ada nabi, tidak ada ajaran atau tidak ada cara lain untuk masuk Syurga! Menjadi orang beragama tidak akan pernah menjamin kita masuk Syurga, tetapi mengenal Yesus dan menerima Yesus sebagai satu-satunya jalan; Peribadi yang menyelamatkan pasti membawa kita kepada keselamatan kekal.
Terlalu ramai manusia yang cuba menyampaikan ajaran melalui agama masing-masing dengan alasan bahawa mengikuti agama mereka akan membawa mereka masuk Syurga. Tetapi, Yesus tidak muncul di dunia untuk dikenali sebagai pendiri agama(Kristian), sebaliknya Yesus menjadikan diri-Nya sebagai teladan kehidupan Peribadi yang datang dari Syurga sendiri. Yesus menunjukkan bahawa hanya Dia yang tahu kebenaran dari Allah kerana Dia sendiri adalah Allah yang datang dari Syurga tetapi turun ke dunia dalam peribadi manusia. Jika Yesus datang dalam peribadi keilahian-Nya, tiada satupun manusia di dunia ini layak berdamping dengan-Nya kerana sinar kemuliaan-Nya sahaja mampu membutakan mata manusia. Ketika Yesus setelah kembali ke Syurga datang kepada Paulus, sinar kemuliaan-Nya membuatkan matanya buta beberapa tempoh lamanya. Ketika Allah mendatangi Musa, semak belukar tempat Allah berada terbakar oleh kemuliaan-Nya dan jika Allah memperlihatkan Peribadinya kepada Musa, pasti Musa juga akan buta (Keluaran 33:12-23).
Tetapi, kita bersyukur kerana Allah dengan penuh hikmat memberikan kasih-Nya kepada kita yang berdosa ini satu peluang untuk hidup bersama dengan-Nya. Dia datang ke dunia dan hidup di kalangan manusia bahkan wujud sebagai manusia selama lebih 30 tahun; Yesus Kristus adalah wujud Allah di dalam misi kasih-Nya kepada manusia (Yohanes 1:1-4; 3:16-18). Sejarah membuktikan bahawa manusia membina Menara Babel kerana mereka berfikir bahawa doa dan peribadi mereka akan lebih dekat dengan Allah apabila mereka berdoa di menara tinggi mencapai awan, tetapi sebaliknya mereka menjadi sombong dan derhaka kepada Allah. Agama-agama di dunia juga menawarkan peraturan dan syarat untuk masuk Syurga dengan mengikuti agama masing-masing, tetapi semuanya tidak memiliki kepastian. Manusia moden sebaliknya bosan dengan tawaran agama-agama dan bagi manusia moden yang tidak berpanut pada agama-agama, mereka lebih suka berfikir logik iaitu melakukan kebaikan, kebajikan atau hidup teratur dan mereka akan dikasihi Allah. Tetapi, hanya ada satu Peribadi yang wujud di dunia ini membuktikan bahawa Dia adalah satu-satunya Allah dan hanya Dia yang membawa manusia kepada keselamatan bahkan hidup kekal bersama-Nya di Syurga, Yesus Kristus! Bukan kebaikan kita atau perbuatan baik maka jalan ke Syurga terbuka untuk kita. Bukan dengan harta kita dapat ke Syurga. Kita tidak dapat membeli Syurga.
Jika selama ini ada di antara anda yang mempertikaikan kekuasaan mutlak Yesus Kristus sebagai Tuhan, maka fikirkan semula kerana Yesus Kristus satu-satunya jalan kepada kehidupan kekal. Hanya Yesus Kristus jalan ke Syurga. Yesus Kristus turun dari Syurga dan telah kembali ke Syurga. PASTI YESUS TAHU JALAN KE SYURGA. Ketika Yesaya menyatakan bahawa jalan manusia bukanlah jalan Tuhan (Yesaya 55:8), sejarah membuktikan bahawa hanya satu Peribadi yang datang ke bumi dari Syurga dan kemudian kembali ke Syurga, nama peribadi itu adalah Yesus Kristus! Itulah sebabnya kegenapan daripada nubuatan Yesaya bahawa jalan Tuhan adalah untuk keselamatan, Yesus Kristus sendiri mengatakan bahawa hanya Dia satu-satunya jalan itu.
Yesus datang dan jauh mengatasi agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan yang manusia ciptakan di dunia ini. Yesus sendiri jalan yang telah seperti yang dinyatakan dalam Ibrani 9:11-12. Yesus datang ke bumi untuk mencari manusia. Bukan manusia yang datang ke Syurga untuk mencari Yesus, inilah yang kita fahami sebagai ANUGERAH ALLAH. Pemberian percuma daripada Allah melalui kelahiran Yesus dan pengorbanan Yesus disalibkan, diselesaikan melalui kematian-Nya dan akhirnya diteguhkan jaminan keselamatan itu ketika Yesus bangkit dan menyatakannya kepada para murid-Nya. Haleluyah!
– HT Ram Jonathan®