Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri. Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu.
Roh Allah telah memberikan hidup baru kepada kita; oleh itu, Dia harus menguasai hidup kita.
– Galatia 5:22-23, 25
Sentiasa wujud pergumulan dalam hidup orang Kristian sejak awal, bahkan semenjak Allah memilih bangsa Israel menjadi umat pilihan-Nya. Umat Israel sentiasa tergoda dengan tawaran dunia di luar pimpinan Allah yang kelihatan kaya raya, senang lenang dan menguasai dunia tetapi dengan cara salah. Bangsa Yahudi juga bergelut dengan keinginan daging mereka selama berusaha mentaati hukum-hukum Taurat. Namun, mereka ternyata gagal dalam mentaati kehidupan rohani sesuai perintah Allah. Ketika Yesus datang ke dunia, manusia juga menolak Yesus kerana mereka lebih percaya kedatangan Mesias yang mereka mahu sebagai wira politik dan pahlawan perang menentang musuh. Ini kerana semua kerajaan di sekitar mereka memiliki wira dan pahlawan yang merajai kerajaan masing-masing. Demikian juga Paulus menyedari bahawa jemaah di Galatia memiliki risiko untuk terjerumus dengan keinginan daging yang sia-sia sehingga Paulus menuliskan surat kepada mereka. Dalam bab 5, Paulus menekankan bahawa orang percaya tidak harus hidup menurut kedagingan lagi seperti yang dijelaskannya dalam ayat 19-21, kerana orang seperti itu bukan terdiri daripada keluarga Allah. Paulus memohon agar jemaah di Galatia lebih fokus kepada kehidupan yang bersifat ilahi dan dipimpin oleh Roh Kudus seperti yang disarankan dalam ayat 22-23. Dengan memiliki keinginan yang dipimpin oleh Roh, maka Paulus meyakinkan mereka bahawa mereka akan terus dikuasai oleh Tuhan (ayat 25). Dikuasai bermaksud dipimpin, dilindungi, diberkati, dipelihara dan pasti diselamatkan dalam segala suasana. Itulah saranan yang Paulus ingin berikan kepada jemaah di Galatia, bukan untuk kemegahan mereka tetapi kerana nilai kerendahan hati serta sikap mengasihi Allah dan mengasihi sesama manusia.
Melatih diri untuk hidup sesuai kehendak Roh Kudus bukan sesuatu yang mudah untuk dipraktikkan. Terlalu banyak pertimbangan yang dilakukan oleh manusia dan umat Kristian sendiri ketika membuat keputusan untuk menyerahkan diri dikuasai Roh Kudus. Keinginan daging yang memberikan kekayaan, keinginan daging yang memberikan kepuasan tanpa membentuk kerohanian yang kukuh, keinginan daging yang menuntut balasan demi kehormatan dan banyak lagi pertimbangan manusia sebelum mengambil keputusan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan. Sebab itu, majoriti manusia di dunia ini masih belum menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi mereka kerana mereka membuat pertimbangan ‘baik buruk’ menerima Yesus Kristus. Tetapi, masih ramai juga orang Kristian, termasuk anda dan saya yang sedang bergumul dalam mempertahankan kesucian rohani kita daripada dikuasai oleh keinginan daging yang sia-sia. Kita berjuang mempertahankan keegoan sehingga bertangguh dalam meningkatkan pengawalan diri dalam segala hal.
Sebagai orang Kristian yang sentiasa bertumbuh secara fizikal, emosi dan rohani, marilah kita berjuang bersama-sama dalam mempertahankan kerohanian kita daripada dicemari oleh tawaran kedagingan yang sia-sia. Marilah kita menjadi sebuah keluarga yang mencintai karakter ilahi seperti yang disarankan oleh Paulus dalam ayat 22-23. Marilah kita menjadi orang Kristian yang sentiasa mencari pimpinan Roh Kudus dalam kehidupannya setiap masa. Banyak tragedi yang sedang menimpa keluarga dan individu di lingkungan kita pada masa ini. Mampukah kita menghulurkan bantuan dengan sikap kasih ilahi kepada mereka? Ketika pandemik Covid-19 masih membelenggu seluruh dunia, kita memiliki peranan untuk memberikan impak positif kepada orang disekeliling kita. Kita mungkin terpalit sama dalam permasalahan ekonomi akibat pandemik ini, tetapi kita memiliki Yesus yang mencukupi segala keperluan kita. Filipi 4:19-20 berkata, “Allahku dengan kekayaan-Nya yang berlimpah-limpah, akan memenuhi segala keperluan kamu melalui Kristus Yesus. Terpujilah Allah dan Bapa kita selama-lamanya! Amin.” Firman Tuhan ini jelas membuktikan kepada kita bahawa kekayaan Allah itu tiada tandingannya dengan apa yang ada di dunia ini. Jika sehingga hari ini kita belum mati meskipun sedang mengalami tekanan ekonomi dan mental akibat pandemik, itu semua dimungkinkan oleh satu kuasa sahaja iaitu kuasa Allah yang telah kita alami melalui metertai darah Yesus dan disekutukan oleh Roh Kudus setiap masa.
Ambillah masa kita membuka mata luas-luas, melihat orang disekeliling kita; selidiki keperluan mereka dan bertindaklah sesuai kemampuan kita. Mintalah hikmat daripada Roh Kudus untuk anda mengambil tindakan sewajarnya kepada orang sekeliling. Ingat nasihat Paulus, orang yang hidup dalam Kristus memiliki sikap mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati dan dapat mengawal diri. Sikap-sikap ini sangat penting untuk kita tonjolkan dalam kehidupan kita sebagai orang Kristian. Dalam masa genting seperti ini, sikap-sikap tersebut juga sangat diperlukan. Lihatlah keperluan material dan mental orang sekeliling kita; adakah mereka memerlukan sokongan kasih daripada kita, adakah mereka perlu dihiburkan atau adalah kita perlu berbudi kepada mereka. Bukakan hati kita untuk dikuasai dan diperintah oleh Roh Kudus, sehingga kita mampu memiliki kesabaran dalam suasana ketika ini, setia kepada keluarga dan kepada Tuhan meskipun ditawarkan pulangan wang jika kita menipu dalam menghasilkan pendapatan dan mampu mengawal diri daripada menyakiti pihak lain dari segala segi kehidupan mereka. Jika kita mahu terus bertumbuh dalam kerohanian kita, maka saranan daripada Paulus kepada jemaah di Galatia adalah antara yang harus kita teladani. Semoga rahmat dan sejahtera Allah yang melampau kekuasaan manusia menyertai kita selama-lamanya! Haleluyah!
“Kita sekarang bebas, kerana Kristus telah membebaskan kita!
Oleh itu pertahankanlah kebebasan kamu dan janganlah biarkan diri kamu
diperhamba lagi.” – Paulus kepada jemaah di Galatia.
– HT Ram Jonathan®