“Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah nenek moyang kamu di Mesapotamia, atau kepada tuhan-tuhan orang Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada TUHAN.”
“Jika kamu meninggalkan Dia lalu mengabdi kepada tuhan-tuhan bangsa asing, Dia akan menentang kamu dan menghukum kamu. Dia akan membinasakan kamu, walaupun dahulu Dia baik terhadap kamu.”
– Yosua 24:15, 20
Kedua-dua ayat ini dapat difahami sebagai usaha terakhir Yosua untuk membawa umat Israel bersatu dalam iman mereka di tanah Kanaan. Yosua telah mewarisi generasi baharu yang dibenarkan oleh Allah untuk masuk ke tanah Kanaan dan mereka merupakan generasi yang dipilih oleh Allah untuk menjadi sebuah kerajaan di bawah taklukan-Nya. Tetapi, mereka sentiasa berhadapan dengan cabaran kerana dikelilingi dengan tuhan-tuhan yang disembah oleh bangsa asing lain. Yosua tidak mahu bangsa Israel dimurkai oleh Allah kerana Yosua tahu bahawa Allah sangat melarang umat-Nya menyembah tuhan-tuhan lain. Keluaran 20:1-5 menunjukkan bukti bahawa Allah melarang umat-Nya memiliki tuhan lain, menyembah tuhan lain dan mencipta tuhan dari apa bentuk sekalipun. Allah tidak mahu disamakan dengan tuhan lain bahkan Allah sangat membenci orang yang menyembah tuhan lain selain Dia dan Allah akan menghukum orang yang menyembah tuhan lain selain Dia! Maka, atas kesedaran itu Yosua mahu umat Israel yang menduduki tanah Kanaan memiliki ketetapan untuk menyembah Allah atau menyembah tuhan-tuhan lain yang ada di sekeliling mereka.
Ketika umat Israel menjawab, “Tidak, kami akan tetap mengabdi kepada TUHAN.” dalam ayat 20, Yosua mengingatkan mereka bahawa mereka sendiri menjadi saksi kepada ketetapan yang mereka pilih. Dalam erti kata lain, umat Israel bersetuju bahawa setiap kali mereka menyembah tuhan lain, maka Allah berhak menghukum mereka kerana melanggar perjanjian mereka dengan Allah. Namun, sejarah membuktikan bahawa umat Israel sentiasa gagal mengabdikan diri kepada Allah dengan sepenuh hati. Mereka sentiasa sombong dan ego dengan taraf istimewa mereka sebagai umat pilihan Allah sehingga mereka sewenang-wenangnya mempermainkan penyembahan mereka kepada Allah dengan cara menyembah tuhan lain dan melakukan kejahatan demi kejahatan. Namun, lebih malang adalah apabila setiap kali mereka ditimpa musibah demi musibah atas kebodohan mereka sendiri, mereka selalu mempersalahkan Allah dan memberontak terhadap Allah. Kasih Allah sentiasa mendahului mereka dan Allah sentiasa memulihkan mereka bahkan mengampuni kesalahan mereka. Demikianlah Allah yang disembah oleh umat Israel, Allah yang tidak luput dalam kasih tetapi Allah yang penuh dengan keadilan unggul!
Berapa lama lagi manusia di dunia ini mahu mencurangi Allah dengan menyembah tuhan-tuhan lain? Bukankah jelas bahawa hanya ada satu Allah? Bukan allah atau tuhan yang diwar-warkan oleh bangsa dan agama lain tetapi Allah yang dikenal di dalam nama Yesus Kristus! Hanya ada satu Allah, iaitu Allah yang telah menciptakan manusia, menebus manusia daripada dosa bahkan memberikan manusia kehidupan kekal; semuanya itu telah dibuktikan oleh satu Peribadi sahaja iaitu Yesus Kristus. Jika hari ini kamu masih mendua hati dan tidak mahu mengabdikan diri kepada Yesus Kristus, kamu harus sedar bahawa keadilan-Nya akan menguasai kamu! Yesus sendiri berkata bahawa (Matius 25:31-33), “Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan duduk di atas takhta-Nya yang mulia. Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan dihadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala domba memisahkan domba daripada kambing. Anak Manusia akan mengumpulkan orang yang melakukan kehendak Allah di sebelah kanan-Nya dan yang lain di sebelah kiri-Nya.” Sedarlah bahawa Yesus sahaja yang disembah sebagai TUHAN sehingga akhirnya bagi mereka yang tidak menyembah Yesus sebagai TUHAN dan Penyelamat mereka, seperti yang Yesus katakan (Matius 25:41), “Pergilah dari sini hai kamu yang dikutuk Allah! Pergilah ke dalam api yang tidak dapat padam yang telah disediakan oleh Allah untuk Iblis dan malaikat-malaikatnya!”.
Yosua sendiri menyedari betapa dahsyatnya hukuman daripada Allah ketika dia melihat bangsa Israel dan Musa sendiri dihukum oleh Allah kerana sikap dosa mereka terhadap Allah. Kerana itulah Yosua memiliki ketetapan peribadi bahawa dia dan seluruh kelaurganya hanya akan mengabdi kepada satu Allah sahaja iaitu Allah yang disembahnya dari awal sehingga akhir hidupnya (Yosua 24:15). Kita boleh sahaja berdebat banyak perkara mengenai agama yang sesat, agama yang menyeleweng bahkan pemimpin agama yang munafik di sana sini. Tetapi, hanya ada satu kebenaran yang tiada tolok bandingnya iaitu Yesus adalah satu-satunya TUHAN dan Penyelamat manusia. Sesiapa sahaja yang tidak menyembah Yesus sebagai TUHAN dan Penyelamat, maka hukuman maut akan menanti mereka! Ia bukan sekadar sebuah kenyataan tetapi ia sudah dibuktikan oleh tindakan Yesus sendiri yang sudah menang dari kematian. Dia bangkit dan hidup serta memerintah sebagai TUHAN di bumi dan di Syurga pada masa ini. Jika hari ini engkau mendengar berita ini, maka berilah dirimu dijamah oleh kuasa TUHAN dan milikilah iman percaya hanya di dalam Yesus. Sembahlah Allah yang dikenal hanya di dalam Yesus Kristus. Tiada TUHAN selain YESUS. Tiada Penyelamat jiwa selain YESUS! Haleluyah!
Yesus Kristus,
Mencuci aku dari lumpur dosa,
menebus aku dari hutang maut,
memungut aku dari sampah dunia.
Sungguh nyata kasih-Mu memberikan aku hidup yang baharu.
Mengikuti Mu seumur hidup ku, itulah kerinduanku.
Amin.
– HT Ram Jonathan®