“Dahulu kamu seperti domba yang sesat, tetapi sekarang kamu telah dibawa pulang untuk mengikuti Gembala dan Pemelihara jiwa kamu.”
– 1 Petrus 2:25
Ketika Petrus menulis surat ini, Yesus telahpun kembali ke Syurga dan Roh Kudus yang dijanjikan Yesus sudah melayani para orang percaya seperti yang Yesus janji sebelum Dia kembali ke Syurga (Kisah Rasul-rasul 1:6-11). Dalam 1 Petrus 2, penekanan yang diberikan oleh Petrus adalah mengenai pemantapan karakter orang percaya dengan menekankan hal pentingnya kemurahan hati, menanggalkan keinginan daging yang sia-sia, taat kepada pemerintah dunia, saling menghormati sebagai tuan dan hamba, menjadi dasar teladan kepada orang sekeliling dan akhirnya mengingatkan pembaca untuk sentiasa sabar menahan penderitaan kerana mengikuti teladan Yesus. Hal-hal yang ditekankan oleh Petrus ini merupakan antara dasar kehidupan orang percaya dalam mempertahankan kehidupan rohani mereka sebagai pengikut Yesus. Ayat 25 menjadi peringatan kepada orang percaya bahawa mereka semua adalah seperti domba sesat sebelum Gembala menemukan mereka dan merawat mereka. Ia adalah gambaran bahawa semua mereka adalah orang sesat dan berhadapan dengan hukuman dosa iaitu maut. Pernyataan ini selari dengan pernyataan Paulus di dalam Roma 3:23-24, “Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka.” Tiada manusia (domba) yang tidak berdosa (tersesat), tetapi oleh rahmat Allah, maka Yesus (Gembala) telah datang ke dunia ini dan menyelamatkan kita. Petrus mahu jemaah Kristian untuk terus meningkatkan kerohanian mereka seperti yang diajarkannya dalam ayat-ayat sebelumnya, sehingga ayat 25 dijadikan peringatan kepada mereka bahawa dalam melakukan semua hal tersebut, mereka harus tetap hidup sesuai jalan yang Gembala mereka sudah tunjukkan dan bawakan kepada mereka.
Begitu hebatnya cabaran dunia sepanjang masa, bahkan seluruh dunia berhadapan dengan cabaran yang sama iaitu Covid-19. Pandemik ini telah menghancurkan hampir seluruh negara di dunia ini dengan kejatuhan ekonomi, pergolakan moraliti bahkan lebih berbahaya lagi kehilangan lebih dari 1.2 juta nyawa! Selain daripada cabaran Covid-19, dunia masih dicemari dengan kejahatan manusia dengan pembunuhan kerana pengaruh perkauman, pelampau agama dan penguasaan negara-negara lemah. Keadaan ekonomi keluarga dan individu juga menjadi sangat rumit sehingga terjadinya kehancuran keluarga dan jenayah-jenayah yang disebabkan oleh masalah mental dan emosi. Keadaan dunia tidak akan pernah menjadi lebih baik, tetapi adakah manusia harus dipengaruhi dengan kehancuran dunia ini? Bagaimana dengan orang Kristian yang sedang berhadapan dengan situasi-situasi sukar seperti ini?
Nasihat Petrus dalam 1 Petrus 2 boleh menjadi saranan relevan untuk kita pelajari bersama-sama dalam situasi masa kini. Kawal emosi dan mental kita apabila kita kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan. Mungkin saja pengurangan gaji dan pengurangan pekerja mencabar emosi dan mental kita daripada mengutuk, mengancam atau bahkan berdendam dengan majikan. Tetapi Petrus mengingatkan kita supaya tetap menghormati tuan (majikan) kita dan bertimbang rasa, termasuk mereka yang kejam terhadap kita. Ini kerana Allah yang akan memberkati kita dan mengadili orang yang kejam terhadap kita. Mungkin dalam masa yang lama dan masa ini anda benar-benar rasa perlukan pengadilan wajar, anda tidak mendapat pengadilan tersebut. Tetapi ayat 20 mengingatkan kita bahawa jika kita masih hidup melakukan kebenaran selama ditindas kerana hidup benar, Allah akan memberkati kita!
Selain itu, Petrus juga menasihatkan pembaca untuk menjalani kehidupan dengan mengikuti teladan yang Yesus telah tunjukkan kepada dunia ini. Petrus memberikan contoh teladan Yesus seorang yang telah dicerca, dihina, dipinggirkan dan bahkan dibunuh. Dia sabar menanggung kutukan dan penghinaan, teguh dalam pendirian untuk tetap menjaga kekudusan dan setia dalam panggilan-Nya. Kita tidak mungkin dapat menjadi seperti Yesus kerana Dia memang ditentukan untuk mengalami semua itu demi membebaskan manusia dan dunia daripada belenggu dosa. Tetapi, teladan yang Dia tunjukkan dalam karakter-Nya masih perlu diteladani oleh semua orang Kristian! Jika sebelum mengenal Yesus, kita bebas membalas kejahatan dengan kejahatan tanpa rasa bersalah dalam hati, tetapi selepas menerima Yesus sebagai Tuhan dan Gembala hidup kita, maka kita harus sentiasa mengingat Yesus sebagai teladan hidup kita.
Jika hari ini anda sedang mengalami pergumulan hidup, datanglah kepada Yesus kerana Dia sudah berjanji akan sentiasa menyertai anda selama-lamanya seperti yang Dia lakukan kepada saya dan orang percaya yang lain. Jika selama ini anda sedang mengalami kekeliruan hidup kerana dikhianati, bertemulah dengan Yesus dalam doa dan komunikasi dengan-Nya, maka anda akan disembuhkan oleh-Nya. Jika selama ini anda hilang sumber pendapatan kerana dipecat atau perniagaan tidak lagi mendatangkan keuntungan, mohonlah kepada Yesus agar menguatkan semangat anda dan mohonlah hikmat daripada-Nya untuk memulihkan keadaan ekonomi anda. Selama kita menjadi domba yang berjalan dalam kumpulan yang dipimpin oleh Gembala iaitu Yesus, kita pasti menang dari segala cabaran ini. Helaluyah!
Gembala ku, Yesus;
menuntun aku ke air yang tenang dan aku disegarkan-Nya.
Gembala ku, Yesus;
membimbing aku ke jalan yang benar dan aku dimenangkan-Nya.
Gembala ku, Yesus;
menemukan aku di persimpangan jalan dan aku dipulihkan-Nya.
Gembala ku, Yesus;
membaringkan aku di padang hijau dan aku dikuatkan-Nya.
Gembala ku, Yesus;
aku tidak akan takut berjalan kerana aku di dalam jagaan-Nya.
Amin.
– HT Ram Jonathan®