Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Allahmu.’
– Lukas 4:12
Kita semua tahu bahawa kisah lengkap untuk firman Tuhan di atas adalah mengenai kisah Yesus dicubai oleh Iblis ketika Dia sedang berpuasa. Pencubaan-pencubaan yang dicatatkan oleh Injil Lukas dapat dilihat secara penuh dalam Lukas 4:1-13 dengan beberapa jenis menuntut Yesus mengubah batu menjadi roti (ayat 3), sujud menyembah Iblis dan akan diberikan kuasa sebagai pemerintah dunia (ayat 5-7) dan menguji kedaulatan Yesus sebagai Anak Allah dengan cara terjun dari puncak Rumah Tuhan (ayat 9). Semua cubaan ini telah dipatahkan oleh Yesus dengan jawapan-jawapan yang tidak dapat dibalas oleh Iblis.
Renungan untuk sepanjang bulan ini akan berfokus kepada tiga pencubaan ini. Untuk edisi minggu ini, mari kita pelajari bersama-sama mesej firman Tuhan yang terdapat dalam ajaran Yesus yang tercatat dalam Lukas 4:12. Yesus mengutip firman Tuhan yang terdapat dalam kitab Taurat iaitu dari kitab Ulangan 6:16, “Jangan cubai TUHAN, Allah kamu seperti yang kamu lakukan di Masa”. Kejadian di Masa adalah kejadian yang dicatatkan antara sikap terburuk umat Israel terhadap TUHAN apabila mereka dengan sengaja mempertikaikan kekuasaan TUHAN dengan menuntut air minum untuk mereka dan ternakan mereka. Kisah tersebut dapat dibaca dari kitab Keluaran 17:1-7; apabila TUHAN memerintahkan Musa untuk melakukan mukjizat sehingga akhirnya mereka menikmati air. Akhirnya TUHAN memberikan amaran kepada mereka untuk tidak mencubai TUHAN.
Kembali kepada kisah Yesus dicubai oleh Iblis, maka kita mengetahui sesungguhnya Yesus pada ketika itu sangat lapar dan memerlukan makanan. Yesus yang memiliki keperluan fizikal iaitu memenuhi keinginan laparnya didatangi oleh Iblis dengan tujuan menawarkan beberapa cubaan kepada-Nya. Namun, Yesus menolak bahkan menentang tawaran Iblis dengan menggunakan firman Tuhan. Kekuatan firman Tuhan sebagai hikmat menentang si Iblis akhirnya membuat si Iblis meninggalkan Yesus (Lukas 4:13).
Melihat kepada kisah kemenangan Yesus menentang Iblis dalam ayat tersebut menjadikan kita meyakini bahawa firman Tuhan itu sangat besar kuasanya. Bukan seperti kuasa yang terlihat secara mata kasar tetapi jauh melebihi mata kasar iaitu dalam alam roh. Cubaan si Iblis seringkali mendatangi kita apabila kita benar-benar memerlukan sesuatu untuk memenuhi kedagingan kita. Tetapi ketika firman Tuhan menjadi dasar pertumbuhan kerohanian kita, maka cubaan-cubaan si Iblis dapat kita hindari. Seperti kata penulis kitab Ibrani (4:12), “Firman Allah itu hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman itu menusuk sampai ke batas antara jiwa dan roh, sampai ke batas antara sendir-sendir dan tulang sumsum. Firman Allah menghakimi fikiran dan niat hati manusia.” Bagaimana dengan anda? Adakah anda masih berdalih dalam merenungkan firman Tuhan sehingga saat ini? Apakah sumber motivasi anda adalah firman Tuhan atau sekadar kata-kata hikmat popular yang ada di media sosial? Mulailah tingkatkan disiplin anda untuk mendalami firman Tuhan kerana sesungguhnya firman Tuhan itu memberikan perlindungan kepada kita semua.
Berikanlah peluang kepada diri anda untuk menikmati berkat yang Tuhan telah sediakan di dalam firman-Nya yang tercatat dalam Alkitab. Firman Tuhan itu bukan untuk menempelak orang lain demi kepentingan peribadi tetapi firman Tuhan berperanan sebagai sumber kekuatan hidup setiap kita. Alkitab yang mencatatkan firman Tuhan bukan sekadar kumpulan kertas tebal yang dibukukan, tetapi Alkitab adalah himpunan berkat-berkat yang tidak ternilai harganya untuk kita yang memilikinya dan mempercayai-Nya. Jangan lewatkan masa kita untuk mempelajari firman Tuhan dengan teratur dan teliti. Jadikan membaca firman Tuhan sebagai gaya hidup kita seharian. Kita pasti akan diberkati melalui pembacaan kita. Haleluyah!
Yesus Kristus, Pemenang dari jerat Iblis,
Firman-Mu indah untuk kami nikmati.
Firman-Mu tulus untuk kami patuhi.
Firman-Mu berkuasa jauh melampaui semua hikmat manusia yang tertulis.
Ajarilah kami melalui hari-hari dengan firman-Mu.
Agar kami tidak terjatuh oleh cubaan si Iblis.
Firman-Mu memberikan kamu kekuatan baharu.
Kerana itu kami mahu dikuasai oleh hanya oleh firman-Mu.
Amin.