
Terdapat pelbagai aspek tentang doa, di mana ia sangat indah, ringkas serta kompleks dalam masa yang sama. Setiap orang berdoa dalam cara tersendiri, dan Allah tetap mendengar semua doa. Adakah kamu sedang menunggu jawapan kepada doa kamu? Ada kalanya doa kita dijawab dengan segera, dan terdapat masa di mana kita perlu menunggu. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara doa yang pasti dikabulkan Allah. Mengapa Dia akan mengabulkan doa-doa tersebut? Ini kerana kerinduan kita untuk bertumbuh di dalam Kristus serta membiarkan-Nya membentuk kehidupan kita.
“Aku memuji Allah, kerana Dia tidak menolak doaku, dan tidak berhenti mengasihi aku.” – Mazmur 66:20
Berikut adalah 10 doa yang senantiasa dikabulkan Allah.
- “Pakailah aku untuk memuliakan-Mu.”
Salah satu rencana Allah adalah memakai kita untuk memuliakan-Nya. Terdapat detik di mana ia sangat susah untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan atau ke manakah Dia inginkan kita pergi. Berseru kepada-Nya, dan Dia akan menjawab. Mungkin situasi kamu amat rumit seperti memulakan pertubuhan tanpa untung untuk sesuatu tujuan yang tertentu, ataupun sesuatu yang kecil tetapi meninggalkan kesan yang mendalam seperti membeli makanan untuk pengemis. Ataupun memakai talenta istimewa yang Dia anugerahkan kepadamu supaya kamu boleh menjangkau orang lain.
- “Ampunilah dosa saya.”
Setiap orang telah berdosa walaupun kami menyembah Allah yang penuh kasih serta berbelas kasihan. Tiada istilah Kristian yang sempurna, kerana kita seringkali terjerumus ke dalam dosa. Namun demikian, apabila kita membuka hati kepada Dia serta mengakui dosa masing-masing, kita akan diselamatkan. Tuhan mati untuk menebus dosa kita bukan sahaja pada hari Yesus disalibkan, tetapi untuk sepanjang umur kita.
- “Nampakkan Engkau dalam hidup aku.”
Di dalam kesibukan hidup, adalah lebih sukar untuk melihat dan mendengar arahan daripada Tuhan. Jika kita berhenti seketika dan menanya Dia untuk menampakkan Diri, Dia akan melakukan itu. Kebanyakan kali, ini akan berlaku dalam cara yang ajaib. Dia menampakkan Diri kepada setiap peribadi dalam cara yang berbeza. Ada antara kita yang mengalami-Nya melalui bisikan suara yang lemah lembut, ada yang menerima penglihatan dan visi. Dia juga akan berbicara dengan membuka pintu kepada peluang ataupun pekerjaan tepat pada waktunya.
Jika kamu memang bergelut dalam hal ehwal kehidupan, ambil masa untuk bersendirian dan meminta Dia supaya mendedahkan Diri dalam hidupmu. Kemudian, cuba memupuk tabiat memperhatikan segala perkara, termasuk yang terkecil, yang berlaku di sekelilingmu sepanjang hari. Dia kadang kala menampakkan Diri melalui cara yang kecil.
- “Beri aku hikmat-Mu”.
Seperti yang Alkitab nyatakan, jangan bergantung kepada pengertian sendiri. Ini mungkin sesuatu yang sukar pada waktu yang mencabar. Apabila kamu menghadapi situasi di mana kamu tidak tahu apa yang perlu dilakukan, mintalah hikmat daripada Dia. Mungkin kamu boleh berbicara dengan pastor atau seorang kawan yang boleh dipercayai. Ada kalanya apabila kamu dilanda badai, Dia akan berbicara denganmu melalui gembala yang boleh dipercayai tentang langkah yang seterusnya, ataupun Dia akan berbicara secara terus kepadamu.
- “Kuatkanlah ketaatan aku.”
Kita tahu apabila Tuhan memanggil kita melakukan sesuatu, kita perlu taat. Namun demikian, terdapat detik di mana mengikuti arahan Tuhan sangat sukar. Contohnya, apabila kita menunggu untuk sesuatu berlaku, ia sangat susah membiarkan keadaan begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa. Apabila kamu berasa cemas dan kurang yakin, mintalah kekuatan daripada Allah untuk memperkasakan ketaatan kamu. Seru kepada-Nya untuk menolong kamu melaksanakan apa yang diarahkan. “Berhentilah berperang, ketahuilah bahawa Aku ini Allah” adalah ayat Alkitab yang memperingatkan saya supaya berhenti dan patuh kepada-Nya, kerana Dia sedang bekerja di dalam situasi saya walaupun saya tidak boleh melihat.
“Jika ada sesiapa antara kamu kurang bijaksana, hendaklah dia berdoa kepada Allah supaya Allah memberikan kebijaksanaan kepadanya; kerana Allah memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang.” – Yakobus 1:5
- “Tolonglah aku meneybarkan kasih-Mu.”
Dunia ini semakin dilandai pelbagai pendapat, pemikiran dan idea. Kita tahu bahawa cara yang terbaik berinteraksi dengan orang lain adalah menunjukkan kasih sayang Tuhan kepada mereka, tetapi ada kalanya ia sangat sukar untuk melakukan demikian. Apabila kamu berdoa kepada-Nya untuk menunjukkan kasih sayang kepada orang lain, Dia akan menjawab doa tersebut. Mungkin kamu akan mendapat peluang untuk menolong pertubuhan Kristian secara sukarela, ataupun memberkati ibu tunggal dengan keperluan harian dan perkara-perkara lain.
- “Tunjukkanlah aku jalan yang lurus.”
Jalan kehidupan setiap orang kadang kala dipenuhi dengan kekaburan. Tuhan tidak mahu kamu dan saya melalui jalan yang salah atau membuat keputusan yang memudaratkan. Ia mungkin mengambil lebih banyak masa dan kesabaran, tetapi Tuhan sentiasa menjawab doa mencari jalan yang lurus dalam hidup.
“Allah yang berfirman, “Daripada kegelapan, cahaya akan bersinar.” Allah itu juga yang menyebabkan cahaya-Nya bersinar di dalam hati kamu, sehingga kita dapat memahami kemuliaan Allah yang bersinar pada wajah Kristus.” – 2 Corinthians 4:6
- “Saya inginkan kedamaian hati.”
Kehidupan masing-masing mungkin berkecelaru, apatah lagi apa yang berlaku di dalam dunia ini. Dengan semua yang berlaku di sekeliling kamu, kedamaian hati mungkin sangat susah untuk dicari. Tuhan tidak mahu kamu dan saya hidup di dalam keadaan yang senantiasa cemas dan berbahaya, Dia akan memastikan kita mencari kedamaian hati.
“Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan menjawab doa kamu. Kamu akan mencari Aku dan kamu akan menemui Aku, kerana kamu mencari Aku dengan sepenuh hati.” – Yeremia 29:12-13
- “Selarikan hati saya dengan hati-Mu.”
Dunia ini boleh dikatakan sangat kejam dan ini boleh cepat menyebabkan kita menghakimi atau berasa dengki terhadap orang lain. Dengan berdoa kepada Tuhan untuk menyelarikan hati kita dengan hati Dia serta bertaubat dan meminta ampun untuk dosa masing-masing, Dia akan membersihkan hati kita supaya kita akan lebih menyerupai-Nya kerana kasih sayang-Nya yang besar.
- “Selarikan minda saya dengan minda-Mu.”
Minda kita seringkali dilanda imej, pemikiran, idea, pendapat dan maklumat yang baru setiap hari. Secara umum, hasil pemikiran kita banyak bergantung kepada apa yang merangsangkannya. Namun demikian, kita tidak boleh menjadi pertapa dan jauhkan diri daripada masyarakat serta media. Di dalam situasi demikian, marilah kita berdoa kepada-Nya untuk menyelarikan minda kita dengan minda Tuhan.
Marilah kita berdoa.
Ya Tuhan,
Saya mahu bertumbuh besar di dalam-Mu setiap hari. Saya berdoa untuk kekuatan dalam penggunaan anugerah-Mu di dalam hidup saya untuk memuliakan-Mu. Saya bersyukur kerana Engkau mengasihi saya serta mengampuni dosa saya setiap hari. Saya berdoa supaya Engkau menampakkan diri di dalam hidupku. Berikanlah kepadaku pengertian supaya saya tahu jalan mana yang harus kupilih di dalam setiap situasi, serta kuatkanlah ketaatanku dalam melaksanakan arahan-Mu.
Tunjukkan jalan yang lurus kepadaku, dan perbetulkan jalanku apabila saya menyeleweng. Bukalah hati dan mata saya untuk menunjukkan kasih-Mu kepada mereka disekelilingku. Biarkan minda saya menerima apa yang Engkau ingin sampaikan kepadaku. Biar minda serta hatiku selari dengan kehendak-Mu.
Terima kasih kerana Engkau telah mendengar dan menjawab semua doaku dengan sempurna tepat mengikut masa-Mu, walaupun ada kalanya saya tidak memahami cara-Mu. Di dalam nama Yesus saya berdoa, Amin.