Pernahkah kamu tanya pastor atau guru sekolah minggu kamu, “Siapakah penulis Alkitab?” Kebarangkalian besar kamu mendengar salah satu daripada jawapan berikut:
“Allah penulis Alkitab.” Roh Kudus yang menggerakkan nabi seperti Musa dan rasul seperti Paulus untuk menulis tentang hubungan Allah dengan dunia (1 Tim. 3:16; 2 Pet. 1:20–21).
“Lebih kurang 40 orang yang menulis Alkitab.” Kitab-kitab individu ditulis oleh banyak orang melintasi jangkamasa ribuan tahun, dan juga di serata tempat kepada pelbagai puak.
Kedua-dua jawapan adalah benar, tetapi kemungkinan besar kamu ingin mendapat lebih banyak informasi tentang manusia yang diilhamkan oleh Roh Kudus untuk menyumbang kepada penulisan Alkitab. Apabila kamu belajar daripada Alkitab, ia sangat penting untuk mengetahui siapakah penulis kitab tersebut.
Marilah kita mendekati senarai penulis-penulis Alkitab. Sebelum itu, terdapat beberapa perkara yang perlu ditegaskan:
Senarai ini terdiri daripada penulis yang telah disahkan oleh Alkitab sendiri. Tambahan pula, terdapat beberapa nama lain yang dikaitkan kepada kitab-kitab yang tidak jelas siapakah penulis asal. Alkitab ditulis oleh lebih daripada 35 orang. Contohnya, tiada sesiapapun yang mengetahui siapakah penulis kitab Hakim-Hakim. Kemungkinan besar terdapat kira-kira 40 orang penulis Alkitab secara keseluruhan, tetapi Alkitab dan tradisi hanya menyatakan 35 orang.
Terdapat perbezaan antara tanggapan kuno dan tanggapan moden yang perlu dipertimbangkan sewaktu mengumpul senarai penulis Alkitab. Sebagai contoh, sebahagian daripada kitab Yesaya mungkin ditulis oleh nabi Yesaya sendiri dan yang lain ditulis oleh muridnya, serta diaturkan sekian lama lepas kematian ia. Walaupun begitu, penulis-penulis Perjanjian Baru masih merujuk kepada kitab Yesaya dengan tanggapan bahawa seluruh kitab tersebut ditulis oleh ia.
Sampai hari ini, tiada siapa boleh nyatakan dengan yakin siapakah penulis kitab Ibrani.
35 penulis Alkitab
1. Musa (Kejadian, Keluaran, Imamat, Bilangan, Ulangan, Mazmur)
Musa adalah nabi yang memimpin Israel daripada kebelengguan hamba abdi di Mesir ke pinggir Tanah Perjanjian. Dia juga menulis kira-kira 20% daripada Alkitab. Tiada nabi seperti Musa di kalangan nabi-nabi Perjanjian Lama yang muncul selepas kematian ia. (Ulangan 34:10–12).
Musa seorang Ibrani yang lahir di Mesir dan dibesarkan sebagai kerabat diraja Firaun. Selepas membunuh seorang Mesir yang menganiaya hamba yang sebangsa dengan Musa, Musa melarikan diri ke padang belantara kerana dijatuhkan hukuman mati. Di sana, dia berkahwin dan bekerja sebagai gembala. Selepas 40 tahun, Allah memanggil Musa melalui semak yang bernyala.
Allah mengarah Musa: beritahu Firaun untuk melepaskan orang Israel. Musa berbuat demikian tetapi Firaun menentang. Oleh itu, Allah menghakimi Mesir dengan bencana, dan akhirnya orang Israel dilepaskan. Musa memimpin bangsa ini ke Gunung Sinai di mana Tuhan berjanji dengan mereka: dari saat tersebut, Israel adalah umat Allah, dan Allah adalah Tuhan Israel. Musa menulis butir-butir berkaitan hubungan antara Allah dan Israel. Butir-butir tersebut dikenali sebagai Taurat dan terdiri daripada majoriti kitab-kitab yang ditulis oleh Musa.
Kitab pertama (Kejadian) membuka tirai untuk empat kitab yang menyusulinya. Ia menerangkan sejarah bangsa Yahudi serta bagaimana mereka bertempat di Mesir. Keempat kitab selepas itu membabadkan perjalanan jasmani dan rohani umat Israel dari Mesir ke Tanah Perjanjian.
Karya Musa bukan sahaja berakhir di Ulangan, tetapi dia juga penulis Mazmur 90.
2. Ezra (1 & 2 Tawarikh, Ezra)
Ezra dilahirkan beratus-ratus tahun selepas Musa. Seperti Musa, Ezra juga memimpin sekumpulan orang Israel dari tempat pembuangan pulang ke Tanah Perjanjian. Ezra seorang pakar taurat Allah (Ezra 7:6). Dia juga dari keturunan Musa yang berasal daripada zuriat Harun, abang Musa. Ini bermaksud dia layak untuk melayan sebagai imam (Ezra 7:1-5). Walaupun Ezra membesar di Babilonia tetapi dia bertekad untuk menjadi misionari kepada bangsa sendiri di halaman Israel. Justeru itu, dia telah membawa sekumpulan Yahudi balik ke Yerusalem dan mula mengajar mereka tentang Taurat Allah.
Ezra seorang yang sangat penting di dalam kitab Ezra and Nehemia. Dia pemimpin rohani di Yerusalem yang menyeru orang untuk kembali kepada Allah. Menurut Talmud Yahudi, Ezra menulis 1 & 2 Tawarikh serta kitab Ezra.
3. Nehemia (Nehemia)
Nehemia adalah pengurus minuman raja Persia. Sewaktu dia menerima laporan bahawa orang senegara di Yerusalem hidup dalam keadaan sengsara dan tembok Yerusalem masih runtuh. Nehemia mendapat kelulusan daripada Raja Artahsasta untuk membina semula tembok dan pintu gerbang Yerusalem lalu berangkat ke sana.
Nehemia dengan sifat kepimpinannya mampu membina semula tembok Yerusalem dalam masa 52 hari!
Peranan Nehemia jauh lebih daripada seorang pembina tembok. Raja Artahsasta melantik dia sebagai Gabenor Yehuda (Neh. 5:14), dan Nehemia menggunakan jawatannya untuk kembalikan bangsa Israel menurut perintah Allah. Dialah yang mengutus bala tentera serta kumpulan penyanyi di bait Allah serta memastikan bait Allah terus berada di dalam keadaan yang suci. Tambahan pula, dia bekerjasama dengan Ezra untuk mentahbis semula bangsa Israel kepada Allah (Neh. 10:28-39) dan memastikan bahawa mereka terus mentaati segala perintah Allah (Neh. 13:4-31).
Tidak ragu-ragu lagi bahawa Nehemia penulis kitab tersebut, dan corak dia menulis adalah dari suara orang pertama. Nehemia menggunakan corak penulisan yang jujur. Seringkali dia membabadkan doa yang ditujukan kepada Allah di tengah-tengah ceritanya (Neh. 4:4, 13:22).
4. Daud (Mazmur)
Nama Daud memang termasyhur. Sewaktu dia masih seorang gembala remaja, dia membunuh Goliat. Daud adalah kesateria agung dan raja yang menyelamatkan Israel daripada musuh-musuh mereka serta menubuhkan Yerusalem sebagai ibu kota Israel. Dia juga membunuh Uria untuk menutup perzinaan dia dengan Batsyeba. Tidak kurang penting juga adalah lambang Daud sebagai sejenis mesias: seorang yang ditahbiskan oleh Allah untuk memerintah rakyat dengan penuh hikmah dan saksama.
Daud memainkan peranan sebagai watak utama di dalam kitab 1 & 2 Samuel serta 1 & 2 Tawarikh. Selain daripada itu, kitab-kitab Rut dan Raja-Raja mengandungi kisah tentang keluarganya. Daud sangat penting kerana Allah telah membuat perjanjian yang istimewa kepada dia: dari keturunan Daud akan datang seorang yang akan bertakhta untuk selama-lamanya dan kerajaannya tidak akan berakhir.
Daud menulis kira-kira setengah daripada kitab Mazmur – 73 daripada 150 bab. Senarai bab-bab yang ditulis oleh Daud dalam kitab Mazmur adalah 3-9, 11-41, 51-65, 68-70, 86, 101, 103, 108-110, 122, 124, 131, 133, dan 138-145.
5. Salomo (Mazmur, Amsal, Pengkhutbah, Kidung Agung)
Apabila Salomo menaiki takhta untuk mengganti ayahnya Daud sebagai Raja Israel, Tuhan menampakkan Diri kepada dia di dalam sebuah mimpi. Tuhan memberi peluang kepada Salomo untuk minta apa-apa sahaja, dan permintaan itu akan ditunaikan. Salomo tidak minta kekayaan, kemasyhuran ataupun kebinasaan semua musuh-musuh Israel, tetapi permintaan dia satu sahaja: kebijaksanaan.
Tuhan mengabulkan permintaan Salomo dengan cara yang luarbiasa. Tiada seorang yang memperoleh kebijaksanaan Salomo sebelum dan selepas dia sehingga hari ini. Kebijaksanaan dia diketahui oleh semua bangsa lain di sekeliling yang jauh mahupun dekat.
Salomo menulis 3,000 kata-kata pepatah dan 1,005 lagu (1 Raja 4:32), di mana kebanyakan daripada kata-kata hikmahnya menjadi sebahagian daripada Alkitab kita. Mengikut tradisi, Salomo adalah pengarang ditentu kitab Pengkhutbah dan Kidung Agung. Di dalam Pengkhutbah, dia bertanya, “Apakah tujuan kewujudan manusia?” Dalam kitab Kidung Agung pula, dia merayakan cinta, perkahwinan, dan kebahagiaan di antara seorang lelaki dan perempuan yang baru berkahwin.
Sumbangan Salomo termasuk kitab Amsal yang mengandungi banyak prinsip-prinsip untuk membimbing seseorang di dalam hidup dan membuat keputusan dengan penuh hikmah dan saksama. Salomo juga penulis bab 72 dan 127 di dalam kitab Mazmur.
6. Asaf and keluarga (Mazmur)
Sewaktu Daud mengumumkan hal bait Allah di Yerusalem, dia melantik Asaf sekeluarga untuk memimpin penyembahan (1 Taw. 16:5). Selain daripada itu, tidak banyak yang kita tahu tentang Asaf kecuali dia seorang penyanyi dari suku Lewi (2 Taw. 5:12). Asaf sekeluarga kemungkinan besar pencipta lagu yang sangat berbakat kerana 12 bab di dalam kitab Mazmur ditulis olehnya (Mazmur 50; 73–83).
7. Puak Korah (Mazmur)
Apabila Musa memimpin Israel melalui padang belantara, seorang dari suku Lewi bernama Korah mencabar pimpinan Musa. Lewat daripada pemberontakannya, Korah dan pengikutnya ditelan hidup-hidup oleh bumi. Keturunan Korah dilepaskan daripada hukuman, dan mereka meninggalkan legasi di dalam Alkitab melalui muzik mereka. Puak Korah menulis 11 bab dalam kitab Mazmur: 42, 44-49, 84-85, dan 87-88.
8. Heman (Mazmur)
Heman adalah seorang yang bijaksana dan dia mengambil bahagian menulis Mazmur 88 bersama puak Korah. Kebijaksanaan dia luas tersebar sehingga dibandingkan dengan Salomo, tetapi tidak melebihi kebijaksanaan Salomo (1 Raja 4:31).
9. Ethan (Mazmur)
Ethan adalah saudara Heman, dan dia juga dianggap sebagai salah seorang yang sangat bijaksana. Ethan adalah penulis Mazmur 89.
10. Agur (Amsal)
Tidak banyak yang diketahui tentang penulis Amsal 30. Kebarangkalian besar dia cukup bijaksana untuk hasil penulisannya diselitkan dalam kitab Amsal. Boleh dikatakan bahawa Agur seorang yang rendah hati, kerana dia tahu bahawa kebijaksanaannya tidak dapat dibandingkan dengan Allah.
“Aku bodoh seperti binatang; aku tidak mempunyai pengertian. Aku tidak pernah memperoleh hikmat, dan aku sama sekali tidak mengenal Allah.” (Amsal 30:2-3).
11. Lemuel (Amsal)
Seperti Agur, pengetahuan kita tentang Lemuel sangat terhad. Lemuel seorang raja, dan mungkin dia memerintah daerah Masa (Amsal 31:1). Sesetengah Alkitab merujuk kepada Lemuel sebagai “Raja Masa”, tetapi kita tidak pasti di mana letaknya Masa.
Karya Lemuel di dalam Alkitab juga sejenis penghormatan kepada bondanya. Bonda Lemuel mengajarnya dengan betul, dan sekarang dia ingin menyampaikan hikmah dan kebijaksanaan bondanya kepada pembaca.
12. Yesaya (Yesaya)
Yesaya adalah nabi yang paling awal dan teragung di antara nabi-nabi besar. Pelayanan dia merentasi pemerintahan empat raja, dan dia juga ditugaskan untuk merekodkan hal-hal kerabat diraja (2 Tawarikh 26:22, 32:32). Yesaya mengahwini seorang nabi perempuan (Yesaya 8:3) dan dikurniai dengan dua orang putera.
Selain daripada menyampaikan firman Tuhan kepada bangsa sendiri, Yesaya juga menjadi penasihat peribadi kepada raja-raja Yehuda. Dia memberitahu Raja Ahas untuk tabahkan diri apabila menerima berita bahawa angkatan tentera Israel dan Syria sudah berkumpul dan bersedia untuk menawan kota Yerusalem (Yesaya 7:3-4). Dia juga meyakinkan Raja Hizkia bahawa Tuhan akan melindungi Yehuda daripada angkatan tentera Asyur (2 Raja-Raja 19:1-7; Yesaya 37:1-7), tetapi juga memberi amaran bahawa satu hari nanti kota Yerusalem akan ditawan oleh Babilonia (Yesaya 39:5-7).
Secara tradisi, kitab Yesaya ditulis oleh Yesaya sendiri walaupun kebarangkalian besar murid-muridnya juga buat sumbangan mereka sendiri. Antara nubuatan Yesaya yang terjadi termasuk kemunculan Raja Kores di Persia, kelahiran, kematian dan kebangkitan Yesus, serta kedatangan Kerajaan Allah pada waktu depan.
13. Yeremia (Yeremia, Ratapan)
Yeremia seorang imam yang terkenal kerana kasihnya terhadap bangsa sendiri. Dia berasal daripada wilayah Benyamin (Yeremia 1:1) dan mula melayani dari usia yang muda (Yeremia 1:6). Kebanyakan pesanannya terdiri daripada amaran tentang penghakiman yang bakal melanda Yehuda, termasuk bilangan serangan Babilonia. Malangnya, raja-raja Yehuda menolak amaran-amaran tersebut dan terus berdosa. Yeremia akhirnya melihat dengan mata sendiri nubuatan yang digenapi dan menjadi orang buangan ke negara lain. Walaupun keadaannya terdesak, dia masih memberi bimbingan kepada pembuangan dari Yerusalem dan kawasan-kawasan lain tanpa sebarang sambutan.
Kitab Yeremia adalah kitab yang terpanjang di dalam Alkitab. Dia juga dianggap sebagai penulis kitab Ratapan. Selain daripada itu, Yeremia juga mengarang lagu ratapan apabila Raja Yosia meninggal di dalam pertempuran (2 Tawarikh 35:25).
14. Yehezkiel (Yehezkiel)
Yehezkiel salah seorang buangan di Babilonia (Yehezkiel 1:1) dan melayani sebagai seorang imam dari suku Lewi (Yehezkiel 1:3). Tanggungjawab Yehezkiel jauh lebih daripada mempersembahkan korban sahaja, tetapi Allah melantik Yehezkiel sebagai penjaga untuk bangsa sendiri. Walaupun keadaan orang Israel di zaman Yehezkiel agak teruk sekarang, ia akan merosot lagi pada waktu depan.
Yehezkiel dipanggil untuk membuat pelbagai jenis pengorbanan di dalam pelayanannya. Perkara jijik seperti memakai najis sebagai bahan api memasak (4:12-15), berbaring di satu sisi sahaja untuk 430 hari (4:4-6), dan tidak dibenarkan meratapi isterinya yang meninggal (24:15-24).
Namun demikian, nubuat-nubuat Yehezkiel semuanya luar biasa. Penglihatan dia termasuk Tuhan bertakhta di atas kerub-kerub (10:1-2). Dia juga melihat bait Allah dimusnahkan dan dibina semula. Selain daripada itu, dia juga melihat tulang kering bersambung antara satu sama lain, diikuti dengan urat dan otot.
15. Daniel (Daniel)
Cerita Daniel dibuang di dalam gua singa sangat terkenal di kalangan sekolah minggu. Dia seorang bangsawan dari Yehuda, ditawan dan dibawa ke Babilonia. Dia melebihi daripada semua pemuda lain dalam segala bidang kerana Allah telah memberkatinya. Daniel juga salah satu orang di dalam Alkitab yang boleh mentafsir mimpi dengan tepat dan betul. Akhirnya, Daniel memegang jawatan yang tertinggi di dalam empayar Babilonia dan Persia.
Selain daripada itu, dia juga diberi penglihatan dari masa ke semasa dan nubuat-nubuatnya menyentuh dua tema utama. Pertama, masa depan kerajaan-kerajaan duniawi seperti Babilonia, Persia, Yunani dan Roma serta Kerajaan Allah yang tiada kesudahannya. Kedua, masa depan jemaah Allah, Mesias, bait Allah, dan peranan Israel di dalam pelan jangka masa panjang Allah. Sesiapa yang ingin belajar tentang nubuatan di dalam Alkitab tidak boleh mengabaikan kitab Daniel.
16. Hosea (Hosea)
Hosea terkenal sebagai watak Alkitab yang dipanggil Allah untuk mengahwini perempuan sundal. Isteri Hosea bekerja sebagai seorang pelacur, dan Hosea mendirikan rumahtangga dengannya serta diberkati dengan 2 orang anak. Setiap kali isteri Hosea meniduri lelaki lain, Allah memanggil Hosea supaya mengampuni isterinya serta menerimanya kembali.
Mengapa begitu? Kerana Israel telah berpaling daripada Allah dan menyembah berhala. Oleh kerana itu, Israel perlu menerima hukuman akibat dosanya, tetapi Tuhan ingin mengampuni Israel dan menerima bangsa tersebut kembali, sama seperti yang dilakukan oleh Hosea.
17. Joel (Joel)
Tiada banyak yang kami ketahui tentang Yoel, tetapi nama bapanya adalah Petuel. Kitab Yoel sangat ringkas sahaja, di mana ia mengandungi beberapa nubuatan. Antaranya adalah kawanan belalang yang merosakkan semua tumbuhan serta kedatangan Hari Tuhan.
18. Amos (Amos)
Amos seorang gembala dari kota Tekoa, sebuah kota yang kecil di selatan Yehuda. Tuhan memberinya penglihatan serta mengutuskan Amos untuk berhijrah ke kawasan utara untuk membuat nubuatan tentang Raja Israel. Tidak hairan apabila para imam palsu di Israel menolak nubuatan Amos dan memanggil dia untuk berdiam diri.
Watak Amos sangat menarik kerana dia tidak menunjukkan sebarang kecenderungan di dalam pelayanan awam. Apabila nabi palsu Amazia menghalau Amos untuk bernubuat di tempat lain, Amos membalas, “Aku bukan seperti nabi-nabi lain yang bernubuat untuk mendapat upah. Sebenarnya aku seorang penternak dan pemelihara pokok ara.”
19. Obaja (Obaja)
Obaja diutus membuat nubuatan yang pendek terhadap Edom. Orang Edom akan dihukum dan ditaklukkan seperti bangsa-bangsa lain yang memusuhi Israel.
20. Yunus (Yunus)
Yunus terkenal sebagai manusia yang ditelan seekor ikan besar kerana dia tidak mahu menurut arahan Allah. Seorang nabi kepada kerajaan Israel, Allah mengutusnya ke kota Niniwe untuk memberi amaran kepada orang Niniwe tentang perkhabaran Allah bahawa Niniwe akan dihancurkan kerana dosa-dosanya. Yunus mengambil keputusan untuk pergi di dalam arah yang bertentangan. Di tengah-tengah perjalanan, satu ribut yang kencang melandai kapal tersebut sehingga Yunus dicampak ke dalam laut untuk menyelamatkan anak-anak kapal. Allah menghantar seekor ikan besar untuk menelan Yunus dan meluahkan dia di kota Niniwe. Selepas perkara itu berlaku, Yunus menyampaikan perkhabaran Allah kepada warga kota Niniwe dan para pendengar bertaubat. Perkara tersebut membuat Yunus marah. Secara tradisi, Yunus dianggap sebagai penulis kitab ini.
21. Mikha (Mikha)
Mikha seorang nabi yang berasal daripada kerajaan Yehuda, tetapi dia berkhutbah kepada mereka yang berada di utara dan selatan. Mikha dianggap sebagai seorang nabi oleh pemimpin-pemimpin jemaah pada zaman nabi Yeremia lebih kurang seratus tahun kemudian. Orang ramai memetik kata-kata Mikha untuk menyelamatkan Yeremia daripada hukuman maut. Sewaktu Yeremia bernubuat tentang kemusnahan Yerusalem serta harta-harta di dalam Bait Allah dirampas, para imam dan nabi palsu cuba membunuhnya. Namun demikian, para pegawai dan rakyat Yerusalem masih ingat akan nubuatan Mikha terhadap Yerusalem dan menghentikan para imam daripada membunuh Yeremia.
22. Nahum (Nahum)
Nabi Nahum berasal dari kawasan Elkos, dan dia juga menerima perkhabaran daripada Allah tentang kemusnahan kota Niniwe.
23. Habakuk (Habakuk)
Kita kekurangan informasi tentang nabi Habakuk, kecuali dia berbakat dalam menggubah lagu. Bab ketiga di dalam kitab Habakuk sangat istimewa kerana ia adalah salah satu contoh ‘shiggaion’, atau doa-mazmur, di dalam Alkitab.
24. Zefanya (Zefanya)
Zefanya berasal daripada kerabat diraja dimana moyangnya adalah Hizkia
25. Hagai (Hagai)
Pelayanan Hagai merentasi kira-kira 3 bulan dan 24 hari. Di dalam kitab Hagai, dia mendorong bangsa Israel supaya mereka habis membina bait Allah. Nabi Ezra juga menganggap dia sebagai seorang yang cukup penting dengan merujuk kepadanya di dalam kitab Ezra. Hagai seorang yang sangat teliti di antara kumpulan para nabi kecil: dia mencatatkan hari serta bulan setiap perkhabaran yang Allah memberinya.
26. Zakharia (Zakharia)
Zakharia melayan kira-kira sewaktu dengan Hagai, dan dia juga menggalakkan bangsa Israel supaya menyiapkan bait Allah. Seperti Yeremia, Zakharia mula memberitahu perkhabaran Tuhan dari usia yang muda lagi. Dia menulis semua penglihatan dan perkhabaran di dalam kitab Zakharia. Selain daripada seorang nabi, Zakharia juga termasuk dalam golongan para imam. Kemungkinan besar dia salah satu anggota suku Lewi.
27. Maleakhi (Maleakhi)
Maleakhi adalah nabi terakhir di dalam Perjanjian Lama. Dia menyeru kepada para buangan yang telah kembali ke Yerusalem untuk membaharui kesetiaan mereka kepada perjanjian mereka dengan Allah.
28. Matius (Matius)
Matius salah satu daripada 12 murid Yesus, dan juga merupakan satu daripada empat orang penginjil yang menulis cerita Yesus. Dia seorang pemungut cukai untuk kerajaan Roma yang memerintah bangsa Israel waktu itu. Jenis pekerjaan Matius membuat dia dibenci oleh bangsa sendiri. Mahupun begitu, apabila Yesus memanggil Matius untuk mengikut-Nya, Matius dengan segera melakukan demikian. Selepas dipanggil, dia terus menganjurkan kenduri untuk mengalu-alukan Yesus. Matius juga dikenal sebagai Levi di dalam injil-injil lain.
29. Markus (Markus)
Markus mempunyai latarbelakang yang menarik di dalam Perjanjian Baru. Pembaca Alkitab diperkenalkan kepada Markus di dalam kitab Kisah Para Rasul. Apabila Petrus melepaskan diri daripada penjara melalui mukjizat Allah, dia terus berangkat ke rumah ibu Markus. Lepas itu, Markus menyertai Paulus dan Barnabas di dalam pelayanan sebagai penolong, tetapi di setengah jalan, dia meninggalkan mereka untuk pulang ke Yerusalem. Sewaktu Barnabas ingin mengambil Markus untuk pelayanan yang akan datang, Paulus menolak cadangan tersebut akibat hal yang berlaku sebelum itu. Percanggahan pendapat antara mereka tentang Markus menyebabkan Paulus dan Barnabas berpisah dalam pelayanan. Selanjut daripada itu, Barnabas mengambil Markus ke Siprus sementara Paulus memilih Silas untuk pelayanannya.
Mujurnya Markus bertumbuh secara rohani dengan matang bertahun-tahun kemudian sehingga Paulus sendiri yang menyatakan bahawa Markus boleh menolong dia di dalam pelayanannya. Petrus juga menggelar Markus sebagai anak rohaninya. Menurut tradisi, Markus adalah penulis injil Markus, di mana sumber utama dia berpunca daripada pengalaman Petrus sendiri sewaktu bersama Tuhan Yesus.
30. Lukas (Lukas, Kisah Para Rasul)
Lukas seorang pakar perubatan yang menyertai Paulus melalui suka dan duka pelayanan. Kebarangkalian kemahiran Lukas sebagai pakar perubatan dipakai kerana Paulus seringkali dicambuk, disesah, dan direjam. Lukas penulis Perjanjian Baru yang paling prolifik, dan corak penulisannya sangat teliti. Sebagai contoh, rekod kehidupan dan pelayanan Yesus ditulis mengikut turutan yang teratur, termasuk sejarah gereja yang awal. Kedua-dua karya Lukas ditulis untuk seorang Kristian yang digelar Teofilus.
31. Yohanes (Yohanes, 1 Yohanes, 2 Yohanes, 3 Yohanes, Wahyu)
Yohanes salah satu daripada 12 murid Yesus. Dia bekas nelayan dari Galilea yang menerima jemputan Yesus untuk mengikutinya. Diberi nama julukan “anak guntur” bersama-sama beradiknya Yakobus, mungkin kerana Yohanes seorang yang cepat panas baran.
Selepas kebangkitan Yesus, Yohanes menjadi salah satu tokoh gereja pada waktu itu. Penulisan Yohanes terdiri daripada pelayanan Yesus, kematian dan kebangkitan-Nya yang sangat meyakinkan. Selain daripada itu, Yohanes juga menulis 4 naskah surat kepada para jemaah. Akhirnya, Yohanes dibuang negeri ke pulau Patmos dan menemui ajalnya di situ.
32. Paulus (Roma, 1 & 2 Korintus, Galatia, Efesus, Filipi, Kolose, 1 & 2 Tesalonika, 1 & 2 Timotius, Titus, Filemon)
Rasul Paulus menulis surat peribadi yang paling banyak di antara penulis Alkitab: 13 surat semuanya. Pada awalnya, Paulus seorang yang menentang orang beragama Kristian, menangkap dan membawa mereka ke Yerusalem untuk dihukum kerana mengufuri Allah. Kebanyakan kali, hukuman yang dilaksanakan adalah dipenjarakan atau dihukum mati.
Tetapi Yesus menukar arah haluan kehidupan Paulus dengan menunjukkan Diri kepadanya sewaktu Paulus dalam perjalanan ke Damsyik. Pengalaman tersebut telah mengubah kehidupan Paulus dengan ketara: dia menjadi seorang rasul serta wakil gereja kepada orang bukan Yahudi di empayar Roma. Paulus menjelajahi sejauh mana yang boleh dengan menanam gereja dan menyebarkan Berita Baik. Sebahagian daripada Perjanjian Baru terdiri daripada surat peribadinya kepada jemaah Kristian yang berselerak di serata dunia.
33. Yakobus (Yakobus)
Yakobus adalah adik kepada Yesus, anak kepada Maria dan Yusuf. Sepanjang pelayanan Yesus di dunia, Yakobus tidak mempercayai-Nya. Semuanya telah berubah selepas kebangkitan Yesus dari maut dan Yesus menampakkan diri kepada Yakobus. Selepas kejadian itu, Yakobus menjadi salah satu daripada tokoh di gereja awal. Yakobus sangat mengerti dalam hal-ehwal kebebasan di dalam Kristus sambil mengambil kira kekudusan Allah. Apabila para pemimpin gereja tidak tahu kalau orang bukan Yahudi perlu mengikuti hukum Taurat, Yakobus menyelesaikan masalah tersebut dengan beberapa pepatah nasihat.
Surat yang Yakobus menulis kepada orang Kristian Yahudi yang berselerak di serata dunia dikenal sebagai kitab Yakobus.
34. Petrus (1 & 2 Petrus)
Petrus adalah pemimpin 12 murid Yesus dan seorang tokoh di dalam gereja awal. Sama seperti Paulus, dia diamanahkan untuk menyebarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi. Petrus seorang yang seringkali mengikut emosinya. Misalnya, hanya dia seorang sahaja daripada murid Yesus yang berani berjalan di atas air, dia juga yang mengerat telinga seorang semasa Yesus ditahan, dan dia menyangkal Yesus tiga kali sewaktu perbicaraan Yesus. Setelah menerima Roh Kudus, kehidupan Petrus telah berubah dengan dahsyat kerana dia berani mengkhabarkan Berita Baik secara terbuka di kota Yerusalem.
Petrus penulis dua buah kitab di dalam Alkitab, iaitu 1 Petrus dan 2 Petrus. 1 Petrus menerangkan bagaimana orang Kristian perlu mengaturkan hidup mereka sebagai pengembara sahaja, menempuh dugaan dan kesusahan sambil menanti-nantikan kemuliaan yang akan terjadi apabila orang Kristian pulang ke syurga. Di dalam 2 Petrus, golongan Kristian digalakkan untuk mengingati semua yang telah diajar olehnya, termasuk waktu dia mati.
35. Yudas (Yudas)
Yudas adalah beradik Yesus juga, sama seperti Yakobus. Seperti abangnya, Yudas tidak percaya dalam Yesus sewaktu Yesus melayan di dunia ini tetapi selepas kebangkitan-Nya dari maut, Yudas mengambil keputusan untuk menjadi seorang Kristian. Kitab Yudas mendorong mereka yang percaya supaya terus berjuang untuk iman mereka.