Bersinar untuk Yesus

1943

Avengers: Endgame adalah salah satu filem yang boleh diklasifikasikan sebagai peristiwa utama di dunia perfileman. Lebih daripada 10 tahun dan 22 filem kemudian, Avengers: Endgame adalah puncak serta bab yang terakhir buat masakini di dalam dunia filem Marvel. Tayangan paling awal di Malaysia bermula pada 23 April, di mana terdapat peminat yang sudi bangun seawal 5.30 pagi untuk sampai di panggung wayang sambil mengelakkan kesesakan lalu lintas yang berlaku setiap pagi di kawasan bandar.

“Saya memang tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton Avengers: Endgame untuk apa-apapun,” kata seorang peminat semasa diwawancara. Persoalannya, adakah kami sebagai murid Yesus menampilkan tahap semangat dan minat yang sama apabila ia melibatkan hal ehwal rohani? Cuba perhatikan suasana rohani di sekelilingmu: di tempat kerja, di sekolah (untuk para pelajar), kenalan kamu, dan juga kawasan kediaman. Berapa banyak daripada mereka yang masih belum pernah mendengar Berita Baik tentang Yesus dan pengorbanan-Nya di atas kayu salib untuk menyucikan dosa kita supaya kita diberikan “…hak menjadi anak Allah” (Yohanes 1:12)?

Yesus berkata, “Sesiapa yang hendak mengikut Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib tiap-tiap hari dan mengikut Aku. Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mendapat hidup yang sejati. Apa gunanya jika seorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati ataupun dihukum?” (Lukas 9:23-25)

Selagi kamu dan saya berada di dalam dunia ini, kita masih memakai “khemah” (2 Korintus 5:1) yang fana untuk mengalu-alukan Kerajaan Allah kepada semua orang di sekeliling kita. Oleh itu, kita tidak dikeluarkan dari dunia, tetapi mempunyai keyakinan bahawa Tuhan Yesus yang menjadi perantara di atas pihak kita dengan Allah Bapa sambil melindungi kita daripada yang jahat (Lukas 17:15).

Terdapat dua “tiang” di dalam disiplin rohani setiap orang Kristian yang tidak harus diabaikan setiap hari: doa dan membaca Alkitab. Seorang Kristian yang berdoa dan tidak membaca Alkitab akan kurang keberkesanannya, sama seperti seorang yang hanya membaca Alkitab tetapi tidak berdoa. Kalau kamu sudah tekun membaca Firman Tuhan setiap hari dan meluangkan masa dengan-Nya dalam doa, apakah langkah yang seterusnya?

Imamat Agung yang dinyatakan oleh Yesus Kristus di dalam Matius 28:18-20 juga menjadi mandat dan tanggungjawab setiap murid Kristus, dan bukan untuk golongan paderi sahaja. Selain daripada itu, adakah kamu siap sedia untuk “…mengkhabarkan berita daripada Allah dan sentiasa bertekun untuk mengisytiharkannya, baik masanya tepat atau tidak” (2 Timotius 4:2)?

Semoga Tuhan Yesus menolong kamu dan saya melakukan kehendak-Nya dalam setiap detik hidup kita. Tuhan berkati.