
Terdapat pelbagai jenis watak di dalam Alkitab di mana kehidupan mereka menjadi pengajaran kepada kamu dan saya hari ini. Jelas nyata sekali semua nabi-nabi, raja-raja dan tokoh-tokoh iman di dalam Alkitab mempunyai dua persamaan yang sangat ketara :-
- Mereka adalah manusia
- Mereka pernah berdosa
– Roma 3:23
“Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka.”
Mungkin saudara berfikir bahawa manusia tidak mampu menyampaikan Firman Tuhan dengan sempurna kerana dia bejana yang berdosa. Mungkin saudara diajar dari kecil lagi bahawa inilah cara Allah bekerja, tetapi pernahkah saudara berfikir bahawa tiada yang mustahil dengan Allah? Kalau Allah ingin memakai orang yang dipandang rendah, yang dilukai, yang berdosa, untuk menyampaikan pesanan-Nya kepada manusia sejagat, siapakah kamu dan saya untuk menghalang-Nya?
Sama seperti Allah ingin menjangkau umat manusia dengan menjelma sebagai Yesus Kristus. Adakah kamu dan saya meletak batas terhadap apa yang Allah boleh serta tidak boleh lakukan? Pastinya TIDAK!
Mungkin sesetengah pihak bertanya, “Jika orang Kristian menyatakan bahawa Yesus Kristus adalah 100% Allah dan 100% manusia, bukankah Roma 3:23 membuktikan bahawa Yesus juga berdosa? Dan kalau Dia berdosa, Dia tidak dapat menjadi korban yang sempurna untuk dosa manusia!”
Menjawab tohmahan dan omong-omong kosong tersebut sangat senang sahaja. Konteks. Konteks semasa pembacaan Alkitab sangat penting supaya seseorang yang ikhlas mencari kebenaran (ingat, Yesus menyatakan bahawa Dia adalah Kebenaran dan bukannya menunjukkan arah kepada kebenaran) akan menemui Yesus (Yeremia 29:13). Yesus Kristus bukan sekadar nabi sahaja, tetapi Dia jauh lebih daripada itu: Dia adalah Allah dan Tuhan juga!
Ini kerana sesiapa yang membaca Roma 3:23 harus melihat konteks petikan tersebut. Roma 3:22 menyatakan, “Allah memungkinkan orang berbaik semula dengan Dia, hanya melalui kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Allah melakukan hal itu untuk semua orang yang percaya kepada Kristus, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi.”
Disusuli Roma 3:24-25, “Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka. Allah mempersembahkan Yesus sebagai korban supaya dengan kematian Yesus, dosa orang diampunkan apabila mereka percaya kepada-Nya.“
– Yesaya 45:11
TUHAN, Allah Israel, Allah yang suci, TUHAN yang menentukan masa depan berfirman, “Kamu tidak berhak menyoal Aku tentang anak-anak-Ku, ataupun memberitahu Aku apa yang harus Aku buat.”
Alkitab tidak membuat alasan untuk sesiapapun yang berdosa. Tiada istilah maksum mahupun membuat kesilapan dan tidak dikira sebagai berdosa walaupun kamu seorang nabi, seorang raja atau seorang imam di dalam pandangan Allah. Seperti yang rasul Paulus menulis, “Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka.”
Nuh mabuk (Kejadian 9:21), Abraham berbohong bukan hanya sekali, malah mengulangi dosa tersebut (Kejadian 12:11-14, 20:2), Ishak mengulangi dosa ayahnya (Kejadian 26:7), Musa seorang pembunuh (Keluaran 2:12) serta panas baran dan mengingkari perintah Allah (Bilangan 20:11-12), Raja Daud berzina dengan Batsyeba serta merancangkan pembunuhan suami Batsyeba (2 Samuel 11), Petrus menyangkal Yesus tiga kali (Lukas 22:54-62), Paulus menganiayai umat Kristian (Kisah Para Rasul 9), dan banyak lagi.
Namun demikian, Allah masih memakai setiap insan tersebut untuk memuliakan Nama-Nya dan menyampaikan nubuatan serta pesanan kepada semua orang yang ingin menyembah-Nya. Allah juga mengampuni dosa mereka kerana mereka bertaubat dan percaya kepada Allah.
Tokoh-tokoh iman pada zaman dahulu juga berdarah daging seperti kamu dan saya. Mereka manusia fana yang berdosa, dan mereka juga meminta ampun daripada Allah serta bertaubat. Alkitab tidak berbelit-belit pasal dosa, sama seperti juga mengapa orang Kristian tidak boleh bercakap bohong di bawah mana-mana keadaan jua. Kalau nyawa kamu terancam apabila kamu mengakui kepercayaan kamu kepada Yesus Kristus, ataupun nyawa orang Kristian lain terancam sewaktu kamu memberi maklumat tentang mereka, ataupun kamu ingin menyenangkan hati suami/isteri kamu dengan menjawab persoalan mereka, semuanya bukan alasan untuk berbohong kerana inilah piawai Allah untuk manusia. Tidak ada ruang untuk pembohongan (walaupun dari segi duniawi, alasannya munasabah) ataupun berputar belit dalam hal dosa.
– Yesaya 45:9
“Malangnya orang yang membantah Penciptanya; orang itu seperti periuk yang melawan pembuatnya. Adakah tanah liat bertanya kepada tukang periuk, “Apakah yang engkau buat?” Bolehkah periuk mengadu bahawa pembuatnya itu tidak pandai?”
Jawapan pendek kepada soalan “Pernahkah nabi-nabi di dalam Alkitab berdosa?” adalah “Ya.” Inilah sebabnya kita sebagai manusia tidak boleh memperoleh keselamatan dengan perbuatan baik, doa yang panjang lebar, mengikut tradisi dan adat manusia, berpuasa, dan sistem mengumpul pahala. Tepuk dada tanya selera, berapa banyak perbuatan baik yang kamu mampu lakukan serta jumlah pahala yang kamu boleh kumpul untuk menebus dosa diri sendiri? Hanya Allah yang Maha Adil, jadi sesiapa yang mengikuti corak pemikiran tersebut tidak ada keyakinan untuk memperoleh kehidupan yang kekal, kecuali mereka yang percaya kepada Yesus Kristus.
“Hal itu demikian, kerana dengan Rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu.” – Efesus 2:8-9
Orang Kristian melakukan perbuatan baik bukan untuk mengumpul pahala, kerana “…Allah telah menjadikan kita untuk mengamalkan perbuatan baik, yang sudah disediakan-Nya untuk kita lakukan” (Efesus 2:10). Orang Kristian diberi diamanahkan mengikut Perintah yang Terutama kerana mereka sudah percaya kepada Yesus sebagai Juruselamat mereka, dan bukan kerana mereka sedang mengejar pahala untuk memperoleh keselamatan yang kekal.
Memandangkan Allah mampu menggunakan pembunuh, penzina serta pembohong untuk menyampaikan Firman-Nya, apatah lagi kemampuan-Nya untuk mengubah hidup kamu dan saya supaya kita boleh “…mengkhabarkan berita baik kepada orang miskin, untuk memulihkan orang yang hancur hati, untuk mengumumkan kemerdekaan kepada orang tawanan, dan pembebasan kepada orang di dalam penjara” (Yesaya 61:1).
Tuhan memberkati kamu.