Malaysia adalah negara yang diberkati Allah dalam pelbagai cara: kita tidak dilanda bencana alam seperti ribut taufan, gempa bumi yang serius, ataupun gunung berapi yang meletup. Yang kerap dilihat dalam saluran berita hanya banjir kilat ataupun angin yang kencang, tetapi sangat jarang. Lagipun, kebanyakan peristiwa banjir di Malaysia berpunca daripada sikap kutu sampah di kalangan masyarakat yang menyebabkan parit-parit dan saluran air awam tersumbat.

Oleh itu, Malaysia boleh dikira sebagai titik tumpuan pelbagai bangsa. Kebanyakan pengawal sekuriti di bangunan dan tempat awam sekarang terdiri daripada orang Nepal, dan anda boleh memerhati betapa banyak gerai-gerai makanan dan kedai runcit yang dikendalikan oleh orang dari pelbagai negara seperti Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Cambodia, dan lain-lain.

Untuk kalian yang sudah lama rindu mematuhi Imamat Agung seperti yang diperintah oleh Yesus, “Segala kekuasaan telah diserahkan kepada-Ku, baik di syurga mahupun di bumi. Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ajarlah mereka supaya taat akan segala perkara yang telah Kuperintahkan kepadamu. Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman” (Matius 28:18-20), tidak perlu lagi anda menabung untuk ke luar negara membawa Injil. Allah telah memberi peluang melakukan demikian di halaman sendiri, Malaysia.

Anda mungkin tidak mampu menolong setiap keluarga pendatang dan pelarian yang berada di Malaysia, tetapi anda boleh memperoleh minda dan hati untuk memberkati mereka.

Allah Sayang Pada Pelarian Dan Pendatang

Allah menyayangi semua pendatang dan pelarian kerana hal ini juga timbul kerapkali di dalam Alkitab. Dari awal, Allah mengarahkan orang Israel untuk menunjukkan belas kasihan kepada pendatang dan pelarian, iaitu mereka yang hidup di antara suku kaum Israel dan berada jauh daripada negara asal.

Golongan orang tersebut tidak dapat menikmati hak-hak di Israel sepertimana mereka akan menerima di negara sendiri. Namun demikian, umat Israel diperintah untuk menjaga golongan ini setara dengan golongan balu dan yatim piatu (Keluaran 22:21 dan Keluaran 23:9).

Allah mengingati orang Israel untuk memperingat zaman mereka berada di bawah penindasan Raja Mesir, dan mengarahkan mereka untuk menunjukkan tahap belas kasihan dan kasih sayang yang sama (Ulangan 10:19). Umat Israel tidak boleh mengikut agama orang asing yang palsu, tetapi Allah memberi amaran kepada umat-Nya supaya tidak menindas orang asing (Yeremia 7:5-7).

Di dalam sejarah gereja awal, para pemimpin Kristian mendapati bahawa terdapat banyak pendatang yang ingin memeluk agama Kristian bermula dengan Hari Pentekosta. Hal ini juga berlaku apabila orang Kristian melarikan diri dari penganiayaan untuk menyebarkan ajaran Yesus.

Berdoa Kepada Allah Untuk Memperluaskan Hati Anda

Walaupun anda tidak terlibat dalam pelayanan yang khusus untuk pendatang, ia masih penting untuk memperingati golongan pendatang. Kita tidak boleh berada di dalam zon selesa masing-masing apabila melibatkan pemberitaan Injil kepada orang lain.

Terdapat golongan orang yang mendapati bahawa ia sesuatu perkara yang senang untuk menjambatani budaya lain, dan juga ada orang yang dipanggil secara khas untuk melayani golongan pendatang. Tidak kira di mana anda berada, Allah ingin kita saling mengasihi antara sesama dan orang dari negara lain.

Berdoa kepada Allah supaya Dia menunjukkan mana-mana prasangka dan andaian buruk yang anda ada sekarang. Minta pertolongan Dia untuk menukar hati anda dan membentuk hati yang mengasihi pendatang serta pelarian. Anda hanya perlu berdoa kepada-Nya dengan ikhlas dan tidak perlu berusaha untuk menukar hati diri sendiri kerana memang mustahil hal itu berlaku tanpa pertolongan dan campur tangan Allah.

Minta Allah untuk memimpin anda menjadi kawan kepada mereka

Melalui perjalanan saya dengan Yesus, Yesus tidak pernah gagal mengabulkan doa saya apabila saya berdoa demikian: “Tuhan Yesus, tolonglah buka jalan supaya saya dapat bertemu dengan kawan yang baru dari negara lain.”

Setelah berdoa demikian, saya perlu peka kepada cara Allah menjawab doa saya. Kebanyakan kali, jawapan kepada doa tersebut sedang duduk di hadapan saya – di bas, di dalam keretapi, ataupun di kedai kopi.

Langkah yang seterusnya senang sahaja, iaitu mengikuti perintah Yesus dan berkawan dengan orang tersebut mengikut pimpinan Roh Kudus. Jangan lepaskan peluang untuk bekerja di ladang Tuhan sewaktu hari masih siang, kerana kita tidak tahu bila-bila masa sahaja peluang tersebut akan tutup.

Sudikah anda minta Tuhan memberi anda hati yang baru untuk mengasihi pelarian, pendatang dan orang asing? Sudikah anda berdoa kepada Allah untuk membawa orang dari pelbagai budaya dan negara asing untuk bertemu denganmu?

Bermula dengan pendatang di kalangan anda

Untuk menjelajah bagaimana Allah boleh menggunakan anda sebagai alat-Nya untuk menjangkau pendatang, mula dengan soalan yang mudah, “Siapakah mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan saya?”

Mungkin anda boleh bermula dengan memerhatikan orang yang bekerja di kedai runcit ataupun gerai makan. Ataupun anda boleh mengambil keputusan untuk menggunakan kenderaan awam. Mungkin juga suratkhabar ataupun media sosial yang mengiklankan pesta budaya tertentu di mana anda boleh sertai.

Terdapat orang dari pelbagai negara yang datang ke Malaysia, dan sememangnya mereka semua berbeza dari segi budaya. Di dalam hal ini, anda disyorkan meminta Allah untuk memberi anda fokus yang betul apabila melayan golongan pendatang dan pelarian. Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan bahawa terdapat 3.2 juta pendatang asing yang berada di Malaysia sekarang.

Tepuk dada, tanya selera: golongan etnik manakah yang anda paling tertarik? Golongan manakah yang Allah sedang tunjukkan kepada anda?

Belajar tentang orang lain dan adat mereka

Untuk mempelajari tentang bangsa asing, bacalah buku dan rencana tentang mereka. Anda mungkin boleh memainkan peranan sebagai keluarga angkat kepada pelajar asing. Yang penting adalah mempelajari corak budaya asing dan mencari cara yang paling berkesan untuk mengkongsikan Injil kepada mereka.

Matlamat utama adalah untuk memperkenalkan konsep “kewarganegaraan syurgawi”, tetapi anda perlu memahami motif dan keinginan mereka terdahulu. Ini akan menolong anda melayani mereka dengan lebih berkesan.

Anda harus sentiasa peka untuk meneliti perbezaan budaya yang mungkin menjadi halangan — ataupun jambatan — sewaktu berkongsi kepercayaan anda. Contohnya, di dalam interaksi dengan rakan-rakan beragama Hindu, jangan sekali-kali menghidangkan daging lembu, kerana penganut agama Hindu tidak dibenarkan memakan daging lembu.

Kadang-kala, mengetahui latarbelakang agama seseorang boleh menjadi peluang untuk membina jambatan. Contohnya, apabila anda menjemput rakan beragama lain untuk mempelajari kitab-kitab suci dia, anda juga boleh mengambil peluang untuk rakan tersebut membaca Alkitab. Dari situ, bukan sahaja anda dapat memahami mengapa mereka berfikiran sedemikian, tetapi mereka dapat didedahkan kepada pengajaran Alkitab.

Menyiasati Peluang Pelayanan

Apakah kelebihan yang anda miliki yang dapat memberkati pendatang dan pelarian?

Di Malaysia, anda mungkin dapat menghubungi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan bertanya jikalau anda boleh menolong mengajar di sekolah pelarian secara sukarelawan. Anda tidak tahu bagaimanakah Allah akan bekerja melalui situasi tersebut, apabila anda menjalinkan persahabatan dengan ibubapa budak pelarian tersebut.

Anda juga boleh mencari gereja etnik tempatan dan menyertai mereka di dalam usaha penginjilan. Kebanyakan kali, ini memerlukan sistem sokongan yang asas terutamanya dalam hal mengalu-alukan kedatangan rakan dan ahli keluarga mereka ke negara ini.

Libatkan keluarga anda dalam hal mengalu-alukan secara ramah mesra pelarian dan pendatang

Jauh lebih daripada apa-apa jenis perkhidmatan yang anda boleh beri, pendatang atau pelarian baru akan diberkati oleh belas kasihan dan persahabatan anda. Kehidupan satu keluarga Kristian yang penuh dengan kasih sayang adalah satu kesaksian yang berkuasa tentang Berita Baik. Jemputlah rakan-rakan pendatang anda ke rumahmu untuk makan, dan terimalah jemputan mereka juga.

Kanak-kanak juga boleh menjadi salah satu cara membina persahabatan dengan orang lain, terutamanya keluarga pendatang. Ini kerana tidak kira dari mana kamu berasal, semua ibubapa sayangi anak mereka, dan juga memberi balasan yang setimpal apabila orang lain menjaga dan menyayangi anak mereka juga. Jemputlah anak-anak mereka untuk aktiviti istimewa, program dan kem adalah langkah yang seterusnya setelah mereka meluangkan masa bersama keluarga anda di rumah anda.

Yang paling bermanfaat daripada semua ini adalah anak-anak anda akan mendapat perspektif yang baru tentang kasih Allah untuk semua orang. Anda juga perlu peka terhadap tahap penglibatan keluarga anda sewaktu menjangkaui pelarian dan pendatang, tetapi hanya dengan meluangkan masa dengan orang yang berbeza dari segi bangsa dan budaya boleh meluaskan hati dan minda mereka.

Apakah aktiviti keluarga yang anda boleh lakukan untuk melibatkan keluarga pendatang ataupun pelarian? Pilih satu hari untuk menjemput seorang yang baru kepada negara dan komuniti anda dan jemputlah dia untuk makan malam. Ajarlah anak-anak anda cara bagaimana mereka boleh bersahabat dengan orang daripada negara yang lain, dan dorongi mereka untuk menjangkau rakan-rakan sekelas yang baru.

Kongsikan budaya dan iman anda

Ramai pendatang dan pelarian mempunyai keinginan untuk membiasakan diri dalam masa yang paling singkat di dalam negara yang baru. Mereka akan menghargai segala usaha oleh mereka yang menolong di dalam pengembaraan tersebut. Tetapi, anda perlu tahu akan kepentingan membezakan perkongsian budaya dan kepercayaan, kerana biasanya kita tidak berhenti untuk berfikir tentang perbezaan di antara kedua-dua faktor.

Ingatlah matlamat utama — kewarganegaraan syurgawi — jauh lebih penting daripada segalanya. Jangan biarkan semangat patriotisme menjadi halangan kepada perhubungan anda. Ingat, apa yang mereka berfikir tentang Malaysia tidak sebegitu penting berbanding dengan pandangan mereka terhadap Yesus Kristus pada akhirnya.

Menjemput seseorang ke gereja boleh disamakan seperti menjemput dia ke dalam budaya yang berbeza. Ia mungkin bukan langkah pertama yang berkesan di dalam penginjilan pendatang atau pelarian, tetapi jika anda membawa rakan anda dari luar negara ke gereja, andaikan ia seperti pratonton untuk membangkitkan sifat ingin tahu dan memarakkan keinginannya apabila terlibat dengan satu komuniti iman. Pastikan bahawa orang-orang di gereja anda tahu cara mengalu-alukan pelawat yang masih kurang fasih dengan bahasa yang dipakai oleh gereja anda.

Apabila anda lebih peka terhadap situasi di sekelilingmu, bersiap sedialah untuk Allah memperluaskan dunia anda serta hati anda melalui mereka yang Dia sediakan di dalam hidupmu. Biarlah pengembaraan yang baru bermula!