Anda Boleh Mempercayai Kandungan Alkitab!
Tanpa teks asal Alkitab yang ada di dalam tangan kita, bagaimana kita boleh pastikan bahawa salinan-salinan yang kita ada sekarang tidak mengandungi banyak kesalahan?
Mengapakah Alkitab saya mengandungi nota-nota yang terletak di bahagian bawah mukasurat yang mempunyai pernyataan seperti “Sesetengah naskhah menambahkan…” atau “sesetengah naskhah kuno tidak mengandungi…”?
Ini bukan hal yang remeh temeh. Terdapat segolongan orang yang mendakwa bahawa kita sudah tidak pasti akan apa yang terkandung di dalam Alkitab asal.
Pertama sekali, tiada tulisan kuno yang disahkan dengan begitu terperinci sekali oleh jumlah naskhah yang begitu besar (iaitu salinan tulisan asal) yang merangkumi jangkamasa yang panjang selain daripada Alkitab yang dipakai oleh orang Kristian pada hari ini. Walaupun kita tidak mempunyai naskhah asal yang ditulis oleh Paulus atau Yesaya, adakah jumlah salinan yang dibuat selama ini menyebabkan ribuan kesilapan?
Marilah kita bersama-sama menyelami realiti supaya anda “…sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu” (1 Petrus 3:15)
Tulisan Perjanjian Lama
Kebanyakan katib Yahudi adalah penyalin sepenuh masa. Mereka menganggap kitab mereka sebagai sesuatu yang sangat, sangat suci. Menyalin kitab diambil kira sebagai satu tugas yang maha suci, dan mereka melaksanakannya dengan teliti. Setiap perkataan dan abjad di setiap baris dikira. Setelah satu salinan yang tepat diperiksa dan diluluskan, salinan sebelum itu tidak digunakan sekali lagi untuk mengelakkan situasi di mana seseorang akan menokok tambah kandungan sendiri ke atas kawasan skrol yang rosak.
Bahasa Ibrani adalah bahasa yang merangkumi sebahagian besar di mana Perjanjian Lama ditulis, di mana ia tidak mengandungi vokal. Di sekitar 900 M, para sarjana Yahudi mula menambahkan vokal. Teks mereka dikenali sebagai Teks Masoretik, dan ia adalah dokumen asas di mana semua penterjemahan Alkitab pada zaman ini gunakan. Namun demikian, jurang perbezaan masa di antara zaman Yesaya (700 SM) dengan Teks Masoretik (900 M) adalah kira-kira 1,600 tahun. Adakah ini masa yang mencukupi di mana kesilapan berlaku?
Pada tahun 1947, gulungan-gulungan Kitab Laut Mati ditemui, dan skrol Yesaya yang lengkap juga tergolong di antara skrol-skrol yang lain. Kebanyakan para arkeologi bersetuju bahawa gulungan-gulungan Kitab Laut Mati telah ditulis pada sekitar 150 SM. Ini memendekkan jangkamasa di antara Yesaya dan Teks Masoretik dengan setengah.
Selain daripada ejaan, tatabahasa dan penggunaan tanda baca — yang tidak dikira sebagai kesilapan — terdapat persetujuan yang sangat besar di antara skrol Yesaya yang ditemui bersama gulungan Kitab Laut Mati dengan Teks Masoretik yang ditulis 900 tahun kemudian.
Contohnya, di dalam Alkitab English Standard Version, terdapat hanya 9 tempat di mana penterjemah menggunakan gulungan Kitab Laut Mati ke atas Teks Masoretik sebagai sumber. Ini adalah jumlah yang sangat kecil memandangkan terdapat 1,286 ayat di dalam penterjemahan bahasa Inggeris untuk kitab Yesaya. Lebih-lebih lagi, tidak salah satu pun daripada penggunaan 9 tempat ini telah mengubahkan fakta ataupun memperkenalkan ajaran sesat.
Cendekiawan yang dihormati dan terkenal, F. F. Bruce menyatakan bahawa bukti dari gulungan Kitab Laut Mati mengesahkan apa yang orang Kristian sudah kian lama percaya: “Katib Yahudi pada masa agama Kristian bermula telah melakukan salinan demi salinan Alkitab Ibrani dengan penuh ketelitian dan kesetiaan.”
Penterjemahan Yunani daripada Alkitab Ibrani disiapkan lebih daripada satu abad sebelum Yesus dilahirkan, dan dikenali sebagai Septuagint. Ini juga salah satu sumber yang lain yang mengesahkan teks-teks di dalam Perjanjian Lama, tetapi ia adalah penterjemahan dan bukannya teks asal. Sekali lagi, terdapat beberapa perbezaan, tetapi semua ini tidak mengubahkan doktrin ataupun fakta-fakta dan agak senang dijelaskan.
Tulisan Perjanjian Baru
Kitab-kitab yang terkandung di dalam Perjanjian Baru semuanya ditulis sebelum abad pertama Masihi berakhir. Ini adalah kesimpulan yang ramai cendekiawan dan ahli-ahli sejarah, serta cendekiawan teologi liberal John A. T. Robinson. Gereja muda pada waktu itu sangat berminat untuk mendapat salinan Injil, surat-surat Paulus dan penulisan yang lain. Contohnya, Clement of Rome, yang mati syahid di sekitar 95 M, menulis kepada gereja di Korint untuk menerima surat Paulus ke Roma, di mana dia andaikan berada di dalam milik mereka (1 Clement 47).
Sehingga hari ini, terdapat lebih daripada 5,800 teks Yunani yang merangkumi semua ataupun sebahagian daripada Perjanjian Baru. Salinan terawal Perjanjian Baru yang lengkap boleh dikesan sehingga abad ke empat Masihi. Namun demikian, kitab-kitab sendirian yang lengkap serta pelbagai bahagian kitab lain (jangan bimbang, sumber teks asal kitab orang Kristian tidak pernah ditulis di atas tulang ataupun sebahagiannya hilang kerana seekor kambing berasa lapar!) yang dijumpai adalah jauh lebih tua daripada salinan terawal Perjanjian Baru yang lengkap. Ada yang ditulis seawal setengah abad yang kedua Masihi. Selain daripada itu, Perjanjian Baru telah diterjemahkan pada awalnya kepada bahasa yang berlainan (dikenali sebagai Versi), dan kita boleh bandingkan Alkitab hari ini dengan jumlah penulisan pemimpin Kristian yang awal, terutamanya mereka yang seringkali memetik ayat-ayat dari surat-surat Paulus serta Injil. Semua bahan sumber ini mengesahkan ketepatan Perjanjian Baru. Ada yang menganggar bahawa kita mempunyai kira-kira 20,000 sumber sedemikian untuk melakukan rujukan. Daniel Wallace, direktor Pusat Pengajian Naskhah Perjanjian Baru memberi kesimpulannya, “Kelainan yang bermakna dan berdaya maju…terdiri daripada kurang daripada 1% untuk semua teks yang berlainan. Meskipun demikian, tiada satu pun perkara pokok iman yang terjejas.”
Mencari Teks Yang Terbaik
Apabila terdapat tempat di mana sesetengah teks meninggalkan ataupun menambah perkataan atau ayat, ia adalah tanggungjawab cendekiawan untuk memberi cadangan tentang pembacaan manakah yang paling tepat menimbulkan maksud sebenar teks asal. Ingat, perkataan-perkataan yang dipertikaikan tidak terdiri daripada 0.001% Perjanjian Baru. Terdapat 3 “keluarga” teks Yunani yang harus dipertimbangkan.
Pertama: Lebih daripada 80% daripada teks Yunani yang dipakai untuk Perjanjian Baru kita berusia dalam lingkungan abad ke lapan Masihi. Ini dikenali sebagai Teks Major. Pada tahun 1516 cendekiawan Belanda Erasmus menerbitkan hasil kerjanya, iaitu Perjanjian Baru dalam Yunani, yang mengandungi banyak persamaan dengan Perjanjian Baru yang lengkap dalam Yunani. Apabila 1550 menjelang Stephanus, telah menerbitkan karyanya, Received Text, yang secara asasnya adalah karya Erasmus yang lengkap.
Kedua: Lebih daripada dua ratus tahun dahulu, beberapa teks Perjanjian Baru yang lengkap yang tidak pernah dipakai oleh Erasmus ataupun Stephanus: dikenali sebagai codice utama (naskhah kuno di dalam bentuk buku dan bukan skrol), iaitu Sinaiticus, Alexandrinus dan Vaticanus dijumpa. Mereka didapati berasal dari abad ke empat dan ke lima Masihi. Ini bermaksud bahawa mereka jauh lebih tua daripada Teks Major dan diandaikan oleh segolongan cendekiawan sebagai penulisan yang lebih dipercayai.
Ketiga: Kebanyakan cendekiawan evangelikal mengambil jalan tengah, dan membandingkan semua teks yang sedia ada untuk menghasilkan teks eklektik. NIV (New International Version) dan ESV (English Standard Version) adalah antara dua contoh yang terkenal berpandukan bahasa Yunani.
Firman Yang Dapat Dipercayai
Mencari makna teks yang paling tepat mengikuti maksud asalnya dikenali sebagai kritikan teks. Ini bukan frasa yang negatif; ia hanya bermaksud supaya membuat penilaian yang cermat. Ia merupakan salah satu disiplin yang sangat khusus. Ia tidak menjejaskan kepercayaan kita bahawa Firman Allah tidak mengandungi sebarang kesilapan, kerana Firman Allah merujuk kepada teks asal yang ditulis oleh Musa, Yesaya, Paulus, dan lain-lain. Perbezaan minor yang terdapat di antara salinan (dan bukan teks asal) hanya terdiri daripada sebahagian yang sedikit sahaja. Cuba meneliti kata-kata nota di dalam setiap Injil, dan anda dapat mengira betapa jarang dan kecil peranannya. Tiada doktrin Kristian utama pernah bergantung pada mana-mana ayat yang melibatkan pertikaian.
Di dalam semua naskhah Perjanjian Baru yang berada dalam kepunyaan kita, kita mempunyai apa yang Allah inginkan kita peroleh. Selain daripada Yohanes 7:53–8:11 and Markus 16:9–20, perbezaan yang lain tidak penting, mahupun dari segi perkataan ataupun ayat. Jadi, kita dengan penuh keyakinan boleh menyatakan bahawa Alkitab adalah Firman Allah yang tidak mengandungi sebarang kesilapan, dan telah dipelihara dengan sempurna selama ini.
Adalah penting untuk anda ingat bahawa kebanyakan perbezaan di antara penterjemahan pelbagai Alkitab bahasa Inggeris adalah kecenderungan penterjemah sewaktu memilih kata-kata yang tertentu untuk membawa keluar makna yang paling tepat dari bahasa Yunani ataupun Ibrani yang asal.
Untuk sesiapa yang mendakwa bahawa Alkitab yang kita punyai hari ini adalah “agak tepat” berbanding dengan teks asal melakukan kesilapan yang sangat besar. Sir Frederic Kenyon, direktor muzium di Britain untuk 21 tahun, berani menyatakan: “Orang Kristian boleh, dengan yakin, mengambil seluruh Alkitab di dalam tangannya dan berkata tanpa berasa takut atau ragu-ragu bahawa dia memegang Firman Allah yang sebenar, yang diturunkan tanpa mengalami apa-apa kehilangan makna daripada yang asal, dari generasi ke generasi selama ini.”
Anda perlu ingat apabila orang lain melemparkan tuduhan terhadap anda bahawa Alkitab yang anda baca pada hari ini telah berubah, kebarangkalian besar pihak tersebut hanya mengulangi apa yang mereka dengar tanpa menyiasat untuk diri sendiri jikalau tuduhan tersebut mempunyai asas yang kukuh. Biasanya, golongan ini juga tidak membenarkan proses kritikan teks digunakan ke atas kitab suci mereka, kerana proses tersebut akan mendedahkan bahawa kitab suci mereka tidak berasal daripada Allah tetapi daripada sumber yang lain.
Allah Telah Berjanji Untuk Memelihara Firman-Nya
Terdapat hanya satu tempat di mana kita boleh belajar tentang kehidupan kekal adalah melalui Firman Allah, jadi Tuhan telah berjanji untuk memelihara Firman-Nya untuk selama-lama. Sang pemazmur menyatakan, “Untuk selama-lamanya, ya Tuhan; firman-Mu bertapak di syurga” (Mazmur 119:89). Firman Allah juga akan terus kekal di bumi sepertimana nabi Yesaya meyakinkan kita, “Aku sukacita menjalankan kehendak-Mu, ya Allahku; dan hukum-Mu tertera dalam hatiku” (Mazmur 40:8).
Yesus Kristus sendiri menjadi saksi tentang pemeliharaan Firman-Nya: “Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap” (Markus 13:31).
Kekerapan Yesus Kristus memetik ayat-ayat dari Perjanjian Lama semasa mengajar umat Israel serta golongan para rasul setelah mereka mematuhi Imamat Agung menonjolkan keyakinan dalam hati mereka bahawa Firman Allah telah dipelihara sehingga hari ini.
Untuk menitikberatkan ketetapan kata-kata Allah, Dia memberi amaran kepada sesiapa yang ingin menukar Firman-Nya. Anda boleh mencari amaran-amaran tersebut di permulaan, pertengahan serta pengakhiran wahyu-Nya:
“Hendaklah kamu taat melakukan segala hal yang kuperintahkan kepadamu. Janganlah kamu tambah apa-apa kepadanya dan jangan juga kurangkan satu apa pun daripadanya” (Ulangan 12:32).
“Jangan tambahkan sesuatu pun kepada firman-Nya, supaya jangan engkau ditegur-Nya dan terbukti pendusta” (Amsal 30:6).
“Aku bersaksi kepada setiap orang yang mendengar nubuat di dalam kitab ini, bahawa jika sesiapa menambahkan apa-apa kepadanya, Allah akan menambahkan baginya segala wabak yang tersurat dalam kitab ini. Dan jika sesiapa menggugurkan sepatah kata pun daripada nubuat ini, Allah akan menggugurkan bahagiannya daripada pokok hayat dan kota suci seperti yang tersurat dalam kitab ini ” (Wahyu 22:18–19).
“…tetapi firman Tuhan kekal selama-lamanya. Inilah firman yang disampaikan kepadamu” (1 Petrus 1:25).