Bagaimanakah Adanya Cahaya Pada Hari Penciptaan Pertama Jika Matahari Masih Belum Dicipta?

971

Persoalan bagaimanakah wujudnya cahaya pada hari Penciptaan yang pertama sedangkan matahari masih belum wujud sehingga hari yang keempat seringkali timbul di kalangan orang Kristian mahupun mereka yang masih belum percaya.

Kejadian 1:3-5 menyatakan, “Berfirmanlah Allah, ‘Jadilah cahaya.’ Lalu terus ada cahaya. Allah melihat cahaya itu baik, lalu Dia memisahkan cahaya itu daripada kegelapan. Allah menamai cahaya itu siang, dan kegelapan itu dinamai-Nya malam. Maka turut jadilah petang dan juga pagi, itulah satu hari, dan yang pertama.” Beberapa ayat kemudian, Alkitab memberitahu, “Berfirmanlah Allah, ‘Jadilah penerang-penerang mengisi cakerawala untuk memisahkan siang daripada malam dan jadilah tanda-tanda yang menunjukkan pelbagai musim dan hari serta tahun, dan jadilah penerang-penerang di cakerawala demi menerangi bumi.’ Maka terjadilah sedemikian itu. Maka Allah menjadikan dua penerang besar, dengan penerang lebih besar menguasai siang dan yang lebih kecil menguasai malam. Allah juga menjadikan bintang-bintang. Allah menempatkan kesemua itu di cakerawala untuk menerangi bumi, dan untuk menguasai siang dan malam, dan juga untuk memisahkan cahaya daripada kegelapan. Dan Allah melihat bahawa semua itu baik. Malam muncul lagi dan disusuli pagi, dan itulah hari yang keempat” (Kejadian 1:14-19). Bagaimanakah ini boleh terjadi? Bagaimanakah wujudnya cahaya, pagi serta petang pada hari pertama, kedua dan ketiga jika matahari, bulan dan bintang masih belum dicipta sehingga hari yang keempat?

Ini hanya merupakan masalah jika kita berfikir bahawa kuasa Allah terbatas dan terhad. Allah tidak memerlukan matahari, bulan dan bintang untuk menerangkan sekeliling. Allah itu cahaya! 1 John 1:5 menyatakan, “Inilah perutusan yang telah kami dengar daripada-Nya dan sampaikan kepadamu: Allah itu cahaya; dan sama sekali tiada kegelapan dalam-Nya.” Allah sendiri adalah cahaya yang menerangi tiga hari Penciptaan pertama, sebagaimana Dia akan memainkan peranan yang sama di bumi dan syurga yang baru, “Malam tiada lagi, dan cahaya pelita serta cahaya matahari tidak diperlukan lagi. Kerana Tuhan Allah akan menerangi mereka dan sekaliannya bertakhta selama-lamanya” (Wahyu 22:5). Sehingga Dia mencipta matahari, bulan dan bintang, Allah menerangi alam semesta (Kejadian 1:14). 

Yesus berkata, “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup” (Yohanes 8:12). Jauh lebih penting daripada cahaya yang menerangi siang dan malam adalah Cahaya yang memberi hidup yang kekal kepada sesiapa yang percaya kepada-Nya. Kepada mereka yang tidak percaya pada Yesus, mereka akan “…dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi” (Matius 8:12).