Bukankah Yesus Allah? Kalau Dia Allah, Kepada Siapakah Dia Berdoa?

3143

Saya seringkali amat hairan mendengar orang yang berkata bahawa Allah itu Mahakuasa, ada kalanya kita tidak boleh memahami mengapa Dia bertindak sedemikian. Orang yang sama juga akan menyatakan bahawa Allah tidak boleh dibatas dengan pemikiran manusia fana yang terhad. Namun demikian, pendirian mereka terus roboh apabila mereka ingin membatasi kuasa Allah dengan menafikan ketuhanan dan keilahian Yesus Kristus.

Bak kata pepatah, “Talk is cheap.” Bercakap itu senang. Air liur bukannya menggunakan modal yang banyak. Tetapi bila kamu berfikir tenang aliran pemikiran yang berat sebelah begitu, kamu tidak tahu hendak ketawa atau menangis. Mungkin perasaan kasihan semakin mendadak terhadap mereka yang masih belum berjumpa dengan Juruselamat Dunia, iaitu Tuhan Yesus.

Sudah pasti kamu pernah mendengar tuduhan sebegini dilempar oleh kenalan kamu, “Kan kamu kata bahawa Yesus itu Allah? Mengapa Dia berdoa kepada diri sendiri? Bukankah itu sama seperti orang gila, yang bercakap dengan diri sendiri?

 

Kenapa Yesus menyeru kepada Allah,’”Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?’ Kan Dia Tuhan dan Allah?” (Markus 15:34)

 

Alkitab mengajar Doktrin Tritunggal, di mana terdapat 3 Peribadi yang tidak boleh dipisahkan, dan mereka wujud sebagai Allah serentak: Allah Bapa, Allah Anak dan Roh Allah/Roh Kudus. Ketiga-tiga Peribadi Allah adalah unik, sentiasa berhubung dengan sesama sendiri serta berdialog. Secara ringkas, Yesus sebagai Peribadi Allah Anak bukannya berdoa kepada diri sendiri sewaktu disalib, tetapi Dia berdoa kepada Peribadi Allah Bapa.

Selain itu, Alkitab juga mengajar bahawa Yesus bukan sahaja Allah, tetapi Dia juga adalah manusia. Jadi, tidak hairan kalau kelakuan Yesus sama seperti semua orang yang bertakwa kepada Allah: iaitu berdoa dan menyembah Allah. Yesus Kristus sebagai manusia adalah contoh sempurna sebagai seorang yang dipimpin oleh kepenuhan Roh Allah, kerana hanya Yesus yang tidak berdosa.

Mengapakah Tuhan Yesus perlu menyeru nama Allah Bapa bahawa Dia ditinggalkan oleh-Nya? Ini kerana Yesus Kristus menjadi korban pendamaian untuk dosa umat manusia. Mengikut Alkitab, Tuhan Yesus disalib mengambil tempat kita untuk dosa-dosa kita. Allah bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya sebagaimana yang dinyatakan dalam Yohanes 1:29, “Pada keesokan harinya, Yohanes melihat Yesus berjalan ke arahnya lalu berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia!”

“Allah menjadikan Yesus korban pendamaian supaya dengan kematian-Nya, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka. Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Allah menunjukkan bahawa Dia benar dan memperbenar semua mereka yang beriman kepada Yesus.” Roma 3:25-26

“Dalam Kristus, Allah telah mendamaikan isi dunia ini dengan diri-Nya dan tidak lagi memperhitungkan kesalahan-kesalahan mereka. Berita pendamaian itu telah diamanahkan-Nya kepada kami. Kami ialah para duta Kristus. Melalui kami, Allah menyampaikan apa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu, demi Kristus, kami meminta kepadamu: Berdamailah semula dengan Allah! Allah menjadikan Dia yang tidak mengenal dosa menjadi penanggung dosa untuk kita, supaya dalam Dia kita diperbenar oleh Allah.” 2 Korintus 5:19-21

“Setiap orang yang bergantung kepada usahanya sendiri mengerjakan hukum Taurat adalah terlaknat, kerana sudah tersurat: “Terlaknatlah orang yang tidak terus-menerus melakukan segala yang tersurat dalam Hukum Kitab Taurat.” Jelaslah bahawa tiada siapa pun diperbenar di mata Allah dengan mengerjakan hukum Taurat, kerana, “Orang yang benar akan hidup dengan iman.” Hukum Taurat tidak berdasarkan iman; tetapi, “Orang yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.” Kristus telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: “Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib.” Dia menebus kita supaya berkat Abraham datang kepada bangsa asing melalui Kristus Yesus, dan kita menerima Roh yang dijanjikan itu melalui iman.” Galatia 3:10-14

“Dia menanggung dosa kita dalam tubuh-Nya sendiri di kayu salib, supaya kita mati terhadap dosa dan hidup untuk perbenaran.i Luka-luka-Nya telah menyembuhkan kamu.” 1 Petrus 2:24

“Kristus juga telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang benar telah menderita untuk orang yang tidak benar supaya Dia dapat membawa kita kepada Allah. Dia telah dibunuh secara jasmani tetapi dihidupkan semula sebagai Roh.” 1 Petrus 3:18

 

Dosa telah memutuskan hubungan intim di antara manusia dengan Allah, serta menyebabkan kematian jasmani di mana jiwa akan berpisah daripada badan pada detik kematian, dan badan ini akan mereput. Kemurkaan Allah dicurahkan ke atas orang yang berdosa, kerana mereka gagal melakukan apa yang dikehendaki Allah (Kejadian 2:17, 3:19, Yesaya 59:1-2, Mazmur 66:18, Habakuk 1:13, Roma 1:18-32).

Sewaktu Yesus menjerit dan kegelapan yang menyelubungi bumi pada waktu tengah hari, peristiwa itu menunjukkan bahawa Allah sedang menghukum Kristus yang menggantikan tempat kamu dan saya, di mana hubungan intim Yesus dengan Allah Bapa-Nya sudah dipisahkan. Bandingkan apa yang berlaku dengan rujukan dari Perjanjian Lama.

“Tuhan berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke langit, supaya kegelapan datang ke atas Tanah Mesir, sehingga orang benar-benar merasakan kegelapan itu.” Musa pun menghulurkan tangannya ke langit, lalu datanglah kegelapan yang pekat ke atas seluruh Tanah Mesir selama tiga hari. Orang tidak dapat melihat satu sama lain, dan tiada seorang pun dapat bergerak dari tempatnya selama tiga hari. Akan tetapi, seluruh orang Israel menikmati cahaya di tempat tinggal mereka.” Keluaran 10:21-23

“‘Pada hari itu,’ demikianlah firman Tuhan Allah, ‘Aku akan membuat matahari terbenam pada tengah hari dan bumi menggelap sewaktu rembang tengah hari. Akan Kuubah perayaan-perayaanmu kepada perkabungan, dan segala nyanyianmu kepada ratapan. Kain perkabungan akan Kukenakan pada setiap pinggang dan setiap kepala akan Kugondolkan. Aku akan menjadikan hal itu seperti perkabungan atas kematian SI ANAK TUNGGAL dan kesudahannya seperti hari yang getir.’” Amos 8:9-10

 

Jadi, Kristus yang menjadi penebus dosa umat manusia, mengalami hukuman sepenuh yang sepatutnya dijatuhkan ke atas umat manusia yang berdosa.

Alkitab juga menyatakan bahawa Yesus adalah Imam Besar kita, di mana Dia mempersembahkan korban diri sendiri atas pihak kita di hadapan Allah Bapa, senantiasa berdoa untuk kita.

 

“Dengan demikian, saudara-saudara yang salih, yang juga mendapat bahagian dalam panggilan dari syurga, fikirkanlah Rasul dan Imam Besar yang kita akui, Yesus Kristus.” Ibrani 3:1

“Jelas bahawa Tuhan kita keturunan Yehuda, tetapi tentang suku ini Musa tidak pernah mengatakan sesuatu berkaitan imam-imam. Jauh lebih jelas lagi jika, seperti Melkisedek, bangkit seorang imam lagi, yang datang bukan menurut perintah berkenaan hal jasmani, tetapi menurut kuasa hidup yang tidak berkesudahan. Tentang Dia, telah disaksikan: “Engkau menjadi imam untuk selama-lamanya menurut peraturan Melkisedek.””  Ibrani 7:14-17

“Tetapi Yesus, kerana Dia berterusan selama-lamanya, mempunyai keimaman yang tidak mungkin berubah. Oleh itu, Dia dapat menyelamatkan sepenuhnya mereka yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk berdoa syafaat bagi mereka. Demikianlah Imam Besar yang sesuai bagi kita. Dia suci, tidak bercela, tidak tercemar, terasing daripada orang berdosa, dan telah dijadikan lebih tinggi daripada isi syurga; Imam besar yang dahulu perlu mempersembahkan korban setiap hari, mula-mula untuk menghapuskan dosa mereka sendiri dan kemudian dosa orang lain. Tetapi Dia tidak perlu berbuat demikian. Dia telah melakukannya sekali untuk selama-lamanya ketika Dia mempersembahkan diri-Nya. Hukum Taurat melantik manusia biasa dengan segala kelemahannya untuk menjadi imam besar. Tetapi firman dan sumpah Allah, yang datang selepas hukum Taurat, melantik Anak yang telah disempurnakan untuk selama-lamanya.”  Ibrani 7:24-28

 

Kesimpulan

Tahniah kerana kamu berjaya membaca sampai ke sini untuk menimba ilmu serta memahami bahawa ia memang masuk akal untuk Yesus berdoa kepada Allah Bapa sebagai contoh untuk kita ikuti selepas menerima Dia sebagai Juruselamat kita.

Di dalam kitab Amsal, Raja Salomo menyatakan, “Hai orang yang betul bendul, sampai bilakah kamu cinta akan keadaanmu sebagai orang yang betul bendul? Sampai bilakah para pencemuh gemar mencemuh, dan orang bodoh benci akan pengetahuan?” (Amsal 1:22)

Peribadi hikmah di dalam kitab Amsal berkata, “Sesiapa yang betul bendul, menyimpanglah ke mari!” Kepada orang yang kurang akal, demikianlah katanya, “Mari, makanlah rotiku, dan minumlah air anggur yang telah kucampur. Tinggalkanlah kebebalan, maka kamu akan hidup, dan majulah di jalan pengertian.”” (Amsal 9:4-6)

Semoga kalian berada di pihak hikmah dan meninggalkan jalan orang yang betul bendul.

“Kristian dan Doa: Berapa Kali Sehari Dan Untuk Siapa?”