Adakah anda sedang menunggu untuk Allah memimpin anda dalam langkah yang seterusnya? Adakah anda bersedia menerima janji-janji Allah di dalam hidupmu?
Menunggu atas masa Allah bukannya sesuatu yang senang. Kebanyakan kali, masa Allah tidak selari dengan masa pilihan kita sendiri. Namun demikian, masa Allah sentiasa sempurna – tidak sedetik terlalu awal ataupun lewat, tetapi ia sesuatu yang amat sukar untuk bersabar.
Jika anda sekarang berada dalam musim menunggu, berikut adalah 5 cara bersabar menunggu masa Allah.
Menunggu masa Allah amat mencabar, tetapi masa-Nya sentiasa sempurna
Boleh dikatakan bahawa semua orang menguruskan sesuatu dari semasa ke semasa: hal rumahtangga, hal kewangan, pelaksanaan projek, dan lain-lain. Namun demikian, kehidupan kita tidak boleh diurus dengan cara yang sama. Kita tidak mempunyai kawalan yang penuh atas kehidupan sendiri, jadi kita harus peka terhadap rancangan yang Allah telah sediakan untuk anda dan saya.
Menunggu itu satu perkara yang sukar. Saya tahu bahawa Allah mempunyai rancangan untuk hidup saya, tetapi saya terlalu cemas tentang langkah yang seterusnya. Namun demikian, Allah tetap mengikut jadual waktu-Nya. Dua kebenaran tentang menunggu masa Allah adalah:
A) Menunggu untuk rancangan Allah memerlukan kesabaran dan iman
Sewaktu seseorang itu menunggu, iman dia yang dibentuk melalui pelbagai cabaran. Di dalam masa menunggu, kita menyedari bahawa Allah yang berkuasa dan kita bukan sebarang sesiapapun.
B) Menunggu itu mencabar tetapi mengandungi matlamatnya
Allah tidak boleh melakukan kesalahan. Segala yang Dia lakukan mempunyai matlamat sendiri. Kekadang Allah mengambil masa yang lama kerana Dia sedang mengatur rencana yang lain ataupun bekerja di dalam hati kita.
Seberapa banyak yang kita mahu bertindak sekarang, Allah tahu bahawa kita belum bersedia. Terdapat banyak lagi yang perlu kita belajar, berubah dan bertumbuh di dalam kematangan.
5 Cara Bersabar
1. Berdoa senantiasa
Cara yang paling efektif untuk bersabar sewaktu menunggu adalah dengan berdoa. Berdoa dan teruskan doa anda. Biar doa anda menjadi panduanmu.
Berdoa untuk semangat kesabaran dan kecekalan sewaktu menunggu. Berdoa supaya Allah menunjukkan langkah yang seterusnya. Berdoa agar hati anda terbuka untuk menerima apa yang Allah ingin menyempurnakan untuk musim ini. Berdoa untuk transformasi dan pembaharuan.
Ia memang sukar untuk berdoa sahaja sewaktu menunggu, tetapi apabila anda mengukuhkan tabiat ini serta bergantung pada Allah dengan sepenuhnya, anda akan mengetahui bahawa waktu menunggu bertukar menjadi satu waktu yang lebih senang dilalui.
“Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus.” (Filipi 4:6-7)
2. Membaca Alkitab
Terapkan diri di dalam Alkitab, terutamanya anda berada di dalam musim menunggu. Kebanyakan kali, menunggu itu adalah musim mempersiapkan diri. Mungkin hati kita perlu dibentuk oleh Allah ataupun Allah sedang mengatur jalan untuk anda.
Apabila anda mendalami Firman Tuhan, ia menjadi lebih senang memperingati janji-janji dan rancangan Allah. Peringatan setiap hari tentang kesetiaan Allah akan mendukung anda. Membaca tentang kuasa dan rancangan Allah akan memenuhi hatimu dengan harapan. Pemerhatian mereka yang telah melalui musim menunggu memperingati anda bahawa anda tidak keseorangan di dalam perlawanan ini.
“Segala yang tersurat pada masa dahulu adalah untuk menjadi pengajaran kepada kita, supaya melalui kesabaran dan penghiburan daripada Kitab Suci itu kita mendapat harapan.” (Roma 15:4)
3. Menyerah diri kepada proses
Perubahan adalah satu proses yang boleh memakan masa. Sewaktu Allah bekerja di dalam hidup anda ataupun memimpin anda melalui satu cabaran, ia mungkin memakan masa untuk sampai pada penghujung proses tersebut.
Berhenti melawan proses itu dan serahkan hati anda kepada Allah. Apabila anda menyerlah diri kepada jadual Allah dan proses yang menyusuli, anda akan mula belajar bagaimana mengikuti pimpinan Dia.
“Serahkan jalan hidupmu kepada Tuhan;
percayalah kepada-Nya maka Dia akan bertindak:
Dia akan menyatakan perbenaranmui seterang cahaya,
dan keadilanmu seterang matahari tengah hari.
Sandarkan hatimu kepada Tuhan dan sabarlah menanti tindakan-Nya;
jangan gusar kerana ada yang makmur mengikut jalan sendiri,
kerana ada yang menjayakan rancangan zalim.
Jangan marah, jangan meradang;
jangan gusar – segalanya cuma membawa mudarat.”
(Mazmur 37:5-8)
4. Pertimbangkan apa yang dipelajari sewaktu menunggu
Apakah tujuan anda menunggu? Perlukah anda menyiapkan diri untuk musim yang baru? Adakah pekerjaan Allah nyata dilihat di dalam hatimu?
Pertimbangkan apa yang telah dipelajari selama ini melalui pekerjaan Allah di dalam hidupmu. Kalau anda perlu menangani dosa yang tertentu, bertaubat dengan hati yang insaf. Kalau anda perlu mengampuni seseorang, lakukanlah. Jika anda perlu berubah dari segi pemikiran atau tabiat yang buruk, biarlah Roh Kudus melakukan pekerjaan-Nya di dalam hidup anda.
“Bukan itu sahaja, tetapi kita juga bersukacita dengan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan membina ketabahan. Ketabahan membina budi pekerti; dan budi pekerti membina harapan. Dan harapan tidak mengecewakan kita, kerana Allah telah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus, yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.” (Roma 5:3-5)
5. Fokus pada berkat
Di atas segalanya, cuba cari sukacita dan berkat di mana juga anda berada. Jangan fokus pada destinasi anda, di sebaliknya, pandanglah sekeliling anda dan menghitung berkat yang sudah sedia ada. Nasihat ini lebih ditekankan apabila anda sedang melalui pelbagai badai bergelora di dalam kehidupan.
Dalam situasi apakah anda boleh menjadi berkat kepada orang lain pada musim ini? Siapakah di sekeliling anda yang Allah telah tempatkan supaya anda boleh memberkati dia? Kepada siapakah yang anda boleh tolong doakan dan menjadi dorongan?
Dalam segala hal, jadilah bejana yang penuh dengan pujian dan kesyukuran, tidak kira anda sedang menunggu, sedang mengharungi cabaran yang hebat, ataupun sewaktu anda mengalami kekecewaan.
“Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi – jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji – tumpukan fikiran kepadanya.” (Filipi 4:8)
Bagaimanakah anda mencari kesabaran sewaktu menunggu?
Adakah anda sedang menunggu supaya Allah bertindak? Waktu sebegini amat susah untuk diharungi bagi sesiapapun. Namun demikian, terus berpegang pada harapan! Biarlah kesabaran anda membawa anda lebih rapat lagi dengan Allah. Percaya bahawa berkat Allah akan dicurahkan sekarang juga. Bersyukur untuk kesetiaan Allah dan ambil peluang ini untuk menyediakan hati anda untuk pimpinan Allah yang seterusnya.