Salah satu hal yang lebih kerap berlaku pada hari ini adalah kemunculan Yesus di dalam visi dan mimpi orang ramai, tidak mengambil kira tokoh-tokoh agama, lelaki serta perempuan. Di dalam kebanyakan mimpi mereka, Yesus berkata, “Ikutlah Saya.” Pertemuan mereka dengan Yesus diikuti dengan perasaan tenang hati, sukacita dan kesedaran bahawa semua dosa mereka telah diampuni. Dengan mengambil langkah mengikuti Yesus sebagai Juruselamat mereka, ramai antara golongan ini berhadapan dengan penganiayaan dan ugutan ke atas nyawa mereka kerana meninggalkan agama lama mereka. 

Kata-kata Yesus kepada manusia sewaktu Dia berada di bumi ini menunjukkan bahawa pemahaman agama-agama lain terhadap Yesus adalah salah dan terpesong. Namun demikian, Allah telah melakukan perkara yang besar dengan golongan tertentu hanya kerana kasih-Nya. Dia menjelma di dalam mimpi mereka, termasuk di negara-negara yang menolak konsep hak asasi manusia di dalam hal agama. 

Yesus jauh lebih daripada sekadar seorang nabi. Pertimbangkanlah kata-kata Yesus sewaktu Dia berada di Israel:

“Janganlah resah hatimu. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku. Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada. Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi.”

Tomas berkata kepada Yesus, “Tuhan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?” Yesus menjawab, “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudah pun melihat-Nya.”

Filipus berkata kepada Yesus, “Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami.” Yesus menjawab, “Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami?’ 10Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu. Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan.” (Yohanes 14:1-11)

Apabila Yesus menekankan bahawa “Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku…”, Yesus secara terus-terang menolak ajaran-ajaran ataupun idea-idea agama lain tentang Dia. Allah menjelma di dalam bentuk manusia (Yesus) untuk menunjukkan kasih-Nya, mengampuni dosa kita, memulihkan kehidupan manusia dan menjanjikan kehidupan yang kekal di hadirat-Nya. Tiada agama lain yang menawarkan semua janji-janji tersebut. Dia adalah Kebenaran – jangan terjerumus ke dalam kepalsuan. Dia adalah Kehidupan – jangan pilih maut. 

Tuntutan Yesus sendiri sebagai Allah mungkin dianggap sebagai sesuatu yang memudaratkan, tetapi jika Yesus adalah sepertimana yang Dia katakan, maka hanya Dia sahaja yang tahu bagaimana menjalinkan perhubungan dengan Allah. Buddha bukan Allah, Muhammad bukan Allah, dan banyak antara allah-allah Hindu yang bukan Pencipta. Malah demikian, Allah datang untuk mengasihi, menolong dan membawa sukacita ke dalam kehidupan kita, serta mengampuni dosa-dosa kita dan memberitahu kita bahawa Dia adalah Jalan untuk mendapati kehidupan yang kekal. 

Salah satu isu yang penting di dalam hidup ini adalah untuk mengenali Sang Pencipta. Kita tidak dapat melihat Tuhan dan memang tidak mampu memahami keabadian. Kemustahilan ini diketepikan apabila Allah menjelma sebagai seorang manusia, hidup di antara kita dalam cara yang kita fahami. Yesus menyatakan demikian melalui pengajaran-Nya tentang Bapa Syurgawi-Nya.

“Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Anak kecuali Bapa; dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Anak serta orang yang terpilih Anak untuk menyatakan Bapa.” (Lukas 10:22)

Kebenaran tentang Yesus telah didedahkan di dalam Alkitab, tetapi banyak lagi negara-negara yang mengharamkan Alkitab. Oleh itu, Yesus mengatasi pelbagai halangan dengan memunculkan Diri di dalam mimpi dan visi, menjemput mereka yang ingin mengikuti Dia. Banyak antara mereka di dalam negara-negara yang anti-Kristian dan anti-Yahudi mengenali dan mengikuti Yesus berjumpa dengan Dia melalui mimpi. Golongan ini sentiasa mencari orang percaya yang lain untuk mengetahui lebih banyak tentang Yesus serta mencari Alkitab untuk membaca tentang Dia. 

Budaya yang menempatkan wanita sebagai insan yang kurang berharga ataupun kelas kedua berbanding dengan lelaki masih boleh didapati di dalam zaman moden ini. Di dalam Yesus, tiada perbezaan status antara jantina: wanita mahupun lelaki juga mengalami visi dan mimpi tentang Yesus. Wanita adalah ciptaan Allah dan golongan mereka juga dikasihi-Nya. Yesus menyembuhkan mak mentua Petrus, membangkitkan semula anak Yairus dari maut, menghentikan masalah pendarahan seorang perempuan, dan mengusir roh jahat daripada seorang lagi perempuan.

Kaum lelaki juga diseru untuk kasihi isteri mereka seperti mengasihi tubuh sendiri. Betapa bagusnya rezeki yang dihadiahkan oleh Allah kepada suami isteri dalam perkahwinan apabila mereka saling sayang menyayangi.

Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus: Ibu-Nya, Maria bertunang dengan Yusuf, tetapi sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan, ternyata Maria mengandung melalui Roh Kudus. Yusuf, seorang yang salih, tidak mahu memalukan Maria di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam. Dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi bahawa malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, “Hai Yusuf, anak Daud! Janganlah takut mengambil Maria sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus. Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.”

Segala ini berlaku supaya terlaksanalah firman Tuhan melalui nabi-Nya: “Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, dan mereka akan menamai Dia Immanuel” yang bererti, Allah menyertai kita dalam bahasa Ibrani.

Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maria. Tetapi Yusuf tidak bersentuh dengan Maria sebagai isterinya hinggalah Maria melahirkan Anak itu. Yusuf menamai Anak itu Yesus. (Matius 1:18-25)

Peristiwa berkaitan dengan Mesias, Juruselamat manusia sejagat, menggenapi banyak nubuatan yang diisytiharkan dalam Perjanjian Lama mengenai penjelmaan Allah sebagai manusia. 

Untuk orang Kristian, kita mempunyai keyakinan bahawa dosa kita telah diampunkan. Tiada agama lain mempunyai ajaran seperti ini, kerana di dalam sistem kepercayaan agama yang tertentu, seseorang perlu menunggu sehingga hari kiamat untuk mengetahui jikalau dia akan dijemput ke syurga dan ditempatkan di kalangan orang yang salih ataupun dibuang ke neraka. Yesus sendiri datang untuk menghapuskan kuasa dosa dan maut selama-lamanya, kerana Dia adalah Jalan, Kebenaran dan Hidup, dan merupakan jalan ke syurga supaya kamu dan saya dapat menikmati kehidupan yang kekal di hadirat Allah. 

Sebelum Yesus disalibkan, Dia dipersoal oleh Imam Agung, golongan guru dan pengetua-pengetua tentang keilahian-Nya. Mereka semua cemburu terhadap Yesus, pengajaran serta mukjizat-Nya, dan ingin membunuh Dia.

Yesus sendiri memberitahu murid-murid-Nya beberapa kali bahawa Dia perlu dibunuh dahulu sebelum bangkit dari maut tiga hari kemudian. Fakta sejarah ini dinafikan oleh sesetengah orang tanpa mempersembahkan sebarang bukti yang kukuh kerana mata rohani mereka telah dibutakan oleh Iblis. 

“Sejak itu, Yesus mula berkata terus terang kepada murid-murid-Nya bahawa Dia harus pergi ke Yerusalem dan menanggung banyak penderitaan daripada pihak pemimpin masyarakat, ketua imam, dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga akan dibangkitkan semula.” (Matius 16:21)

“Ketika semua murid Yesus berhimpun di Galilea, Yesus berkata kepada mereka, “Anak Manusia akan diserahkan kepada manusia. Mereka akan membunuh-Nya, tetapi Dia akan dibangkitkan semula pada hari ketiga.” Mendengar kata-kata itu, para murid Yesus berdukacita.”   (Matius 17:22-23)

“Ketika Yesus sedang dalam perjalanan ke Yerusalem, Dia mengajak dua belas orang murid-Nya ke tepi dan berkata hanya kepada mereka: “Dengarlah, kita sekarang ke Yerusalem. Di sana Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Kemudian mereka akan menyerahkan-Nya ke tangan bangsa asing. Dia akan diejek, disebat dan disalib oleh mereka. Tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan semula.” (Matius 20:17-19)

Setelah Yesus disalibkan dan bangkit semula dari maut, Yesus muncul di hadapan murid-murid-Nya, Dia memberi perintah kepada mereka supaya pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah semua orang pengikut Yesus melalui pemberitaan Injil dan penyelamatan untuk semua. 

Pada pagi tersebut di mana Dia dikhianati dan ditahan, kita membaca: 

Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat bermesyuarat, dan Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata, “Jika Engkau Kristus, katakanlah kepada kami.” Yesus berkata kepada mereka, “Jika Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga. Dan jika Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab. Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.” Mereka semua bertanya, “Kalau begitu, Engkaulah Anak Allah?” Yesus berkata kepada mereka, “Benarlah katamu.” Mereka berkata, “Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!” (Lukas 22:66-71)

Yesus tidak dihukum mati kerana mukjizat-Nya ataupun pengajaran-Nya. Dia dihukum kerana Yesus sendiri mendakwa bahawa Dia adalah Anak Allah. Ini sebabnya orang menolak Yesus kerana Dia mengkufuri Allah, dan terdapat golongan yang besar pada hari ini juga yang menolak dakwaan Yesus atas sebab yang sama. 

Oleh kerana Yesus adalah Anak Allah, kita mempunyai peribadi yang menjelma sebagai manusia tetapi juga adalah Anak Allah pada masa yang sama. Injil Yohanes mengajar doktrin ini melalui tiga ayat berikut:

“Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah.” (Yohanes 1:1)

“Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran.”  (Yohanes 1:14)

“Tiada siapa pernah melihat Allah, melainkan Dia Yang Esa, yang ada di pangkuan Bapa, telah menyerlahkan-Nya.”  (Yohanes 1:18)

Jika anda mahu menerima pengampunan, jika anda ingin memperoleh kehidupan yang kekal, jika anda ingin mengenal Allah yang mengasihi anda, berserulah kepada Yesus supaya Dia berdiam bersamamu. Bukalah hatimu dan berkata, “Tuhan Yesus, saya menjemput Engkau ke dalam hidup saya. Sila ampunkan dosa saya dan jadilah Juruselamat saya.”