Obor Belia Buku 18: Persahabatan, Berpacaran dan Perkahwinan

1622

Bukan mudah untuk mengajar dan menggalakkan pemuda-pemudi zaman sekarang untuk memilih suatu gaya hidup yang berlandaskan Alkitab, terutama sekali yang bersangkutan dengan perhubungan antara lelaki dan perempuan, seks dan perkahwinan. Setiap masa, mereka terdedah dengan pelbagai pengaruh dan mesej-mesej tentang perhubungan longgar antara lelaki dan perempuan, gaya hidup bebas, serta seks sebelum perkahwinan dari budaya popular. Segala pengaruh dan pautan duniawi ini boleh disimpulkan dalam satu ayat: “Perhubungan bermula dengan perasaan dan berakhir di tempat tidur.”

Kerana itulah, adalah menjadi cabaran dan tanggungjawab kita untuk mendidik anak-anak muda kita supaya dapat menghalang mereka menjejaki jalan yang diambil oleh rakan-rakan bukan Kristian mereka. Kita perlu terus berusaha untuk mengatasi dan menghilangkan nilai-nilai sesat dan palsu berkaitan dengan perhubungan lawan jenis mereka.

Empat sesi yang pertama bertujuan untuk membantu para belia membentuk suatu perspektif Alkitabiah yang harus menjadi dasar dalam perhubungan lawan jenis mereka. Bagaimana mereka harus bersikap dalam perhubungan tersebut dan kualiti-kualiti apakah yang mereka harus perhatikan? Apakah had-had dalam aspek-aspek fizikal perhubungan mereka untuk mengelakkan diri mereka daripada terlanjur terjerumus ke dalam hal-hal yang salah?

Sesi 5-8 pula melihat model perkahwinan yang mengikut rancangan Allah. Perkahwinan adalah rancangan Allah bagi lelaki dan perempuan sejak Penciptaan. Ia dimaksudkan sebagai pengalaman terindah bagi manusia jika suami dan isteri belajar hidup bersama mengikut kehendak Tuhan. Perkahwinan mereka menjadi seperti suatu cermin yang merefleksikan kasih Kristus.

Jadi, adalah penting bahawa belia kita diajar tentang apa yang Allah inginkan bila Dia mencipta lelaki dan perempuan bagi satu sama lain. Mereka perlu faham bahawa hanya bila mengikuti ‘cetakan biru’ Sang Pencipta sahajalah barulah sepasang lelaki dan perempuan dapat meninkmati kesatuan dalam perkahwinan mereka seperti yang dimaksudkan Allah. Apa yang mereka lihat di dunia sekeliling mereka – tanggapan perkahwinan sebagai suatu institusi yang kolot dan ketinggalan zaman, gaya hidup alternatif yang bertentangan dengan perkahwinan – adalah satu penyelewengan besar daripada rancangan asal Tuhan.

Semoga buku ini boleh membantu untuk memimpin hati dan fikiran belia Kristian supaya menjauhkan diri daripada nilai-nilai panutan dunia. Semoga mereka dapat belajar dan memupuk sikap dan pemahaman yang benar tentang karunia perkahwinan dan juga karunia membujang yang Tuhan telah tahbiskan untuk para lelaki dan perempuan. Dan semoga apa yang mereka pelajari akan menjadi batu loncatan kepada pembinaan dasar yang kukuh dalam tahun-tahun mendatang jika dan bila Tuhan memanggil mereka ke dalam penyatuan istimewa yang Dia telah tahbiskan untuk mereka.

“Kita mengasihi, karena Allah lebih dahulu mengasihi kita.” (1 Yohanes 4:19)