Obor Belia Buku 21: Ciptaaan Baru Siap Berjuang

1382

Banyak orang hidup dalam perhambaan kepada pelbagai perkara dalam kehidupan mereka. Ada yang hidup dalam kebimbangan dan ketakutan yang berterusan; ada yang penuh dengan kemarahan dan kepahitan; ada pula yang mengalami kecacatan emosi disebabkan luka dan calar yang dalam. Demi kehidupan yang telah dibinasakan oleh dosa manusia inilah Allah telah mengutuskan Yesus untuk menyelamatkan dan membebaskan manusia.

Belia Kristian juga tidak terkecuali daripada kelemahan dan dosa manusia. Mereka bukan sahaja perlu mendengar, tetapi juga mengerti dan menghayati sepenuhnya tentang kuasa kematian Yesus dalam kehidupan mereka. Tanpa Yesus Kristus, tiada harapan bagi mereka selepas kematian. Allah bukan sahaja menawarkan kehidupan yang kekal kepada yang percaya, tetapi juga kehidupan baru sebagai anak-anak-Nya.

Apabila kita menyerahkan kehidupan kita kepada Yesus, dengan menjemput Dia masuk ke dalam hati dan bertakhta di dalam kehidupan kita, kita menjadi ciptaan baru. Yang lama telah berlalu dan yang baru telah tiba. Jika kita serius dalam mengikuti-Nya, Roh Kudus akan mempersiap dan memperlengkapkan kita untuk menghadapi semua perjuangan dalam kehidupan ini.

Dalam bukunya yang bertajuk The Fight (Perjuangan), John White menulis bahawa “… mengakui Yesus sebagai Juruselamat dan Tuhan bererti kita bersetuju menyertai satu angkatan tentera. Sama ada anda tahu atau tidak, anda telah memasuki pasukan tentera Allah.” Perjanjian Baru, terutamanya surat Paulus, dipenuhi dengan imej dan istilah tentera untuk menggambarkan kehidupan Kristian. Peperangan keduniaan bukanlah perjuangan yang sebenar; kehidupan Kristian adalah perjuangan sebenar.

Jika kita sudah berada dalam angkatan tentera Allah, kita harus mengetahui sifat peperangan dan musuh-musuh yang harus kita lawan: dunia, daging, iblis dan kematian. Sesi 5-8 akan membincangkan tentang setiap bahagian untuk membantu kita memahami apa yang harus kita tentang dalam perjalanan kehidupan seorang Kristian dan bersedia untuk hidup sebagai tentera Kristus yang bagus.

Kita akan belajar bahawa Allah telah mengumpulkan kesemua sumber rohaniah yang kita perlukan untuk menjalani kehidupan baru sebagai seorang tentera Kristus. Semoga kata-kata Paulus yang diucapkan di penghujung hayatnya menjadi panggilan lantang untuk kita menjalani kehidupan dalam medan perjuangan dengan setia dan baik.

“Tentang diriku, sudah tiba masanya aku akan mati sebagai korban kepada Allah. Tidak lama lagi aku meninggalkan dunia ini. Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir. Sekarang hadiah kemenangan menantikan aku. Pada Hari Kiamat, Tuhan, Hakim yang adil akan menyerahkan hadiah itu kepadaku, kerana aku telah hidup menurut kehendak-Nya. Bukan aku sahaja yang akan menerimanya, tetapi juga semua orang yang menantikan kedatangan-Nya dengan penuh kerinduan.”
(2 Timotius 4:6-8)