Yesus: Bukan Sekadar Nabi

3119

Sebagai seorang Kristian, pernahkah kawan kamu tanya, “Bukankah Yesus sekadar manusia dan nabi sahaja? Itulah yang agama saya ajarkan.” Ada pula yang menyatakan, “Yesus itu guru yang paling berakhlak tinggi di mana ajaran-Nya baik untuk manusia sejagat.”

Terdapat pula puak-puak yang lemparkan cabaran seperti ini, “Tunjukkan ayat di dalam Alkitab di mana Yesus berkata, ‘Aku adalah Tuhan, sembahlah aku.’” Saudara-saudari dalam Kristus yang dikasihi, jangan gentar. Jawablah mereka begini, “OK, saya akan tunjukkan ayat tersebut di dalam Alkitab selepas kamu menunjukkan ayat dalam Alkitab yang menyatakan bahawa Yesus berkata, ‘Aku hanya seorang nabi, jangan sembah aku.’”

Jelas nyata pertanyaan mereka bukan untuk menimba ilmu atau mengenali siapa itu Yesus, tetapi untuk menabur benih keraguan di dalam Alkitab. Sesiapa yang celik dengan hati yang terbuka akan memeriksa jikalau kehidupan dan kata-kata Yesus mencerminkan kata-kata dan perbuatan yang dikaitkan kepada Allah ataupun seorang manusia biasa sahaja.

Tidak kira pandangan mana yang kenalan saudara ambil, mereka tidak percaya bahawa Yesus itu Tuhan dan Allah dan hanya seorang nabi sahaja. Tetapi adakah Yesus lebih daripada sekadar seorang nabi? Marilah kita sama-sama memeriksa apa yang Alkitab menyatakan tentang Yesus.

Sesiapa yang mempunyai kepercayaan terhadap Allah tidak akan menafikan kebenaran bahawa Allah adalah pencipta segala-galannya. Kalau seorang biasa menyatakan bahawa dia yang mencipta alam semesta, tiada orang yang akan mempercayai dia kerana pernyataan itu salah kecuali diucap oleh Allah. Jika Yesus mengatakan sesuatu yang hanya boleh dikatakan dan dilakukan oleh Allah, kesimpulannya adalah Yesus mendakwa diri-Nya Allah.

Oleh itu, pertanyaan yang lebih wajar adalah, “Di mana dan bagaimana Yesus mengaku diri-Nya sebagai Tuhan dan Allah?”

 

“Akulah yang awal dan yang penghujung…”

Di dalam Yesaya 44:6, Allah berfirman, “Akulah yang pertama dan yang terakhir…” manakala Wahyu 1:17-18, Yesus berkata, “Akulah yang pertama dan yang penghujung. Akulah Dia yang hidup! Aku sudah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku berkuasa atas kematian dan atas dunia orang mati”. “Yang pertama dan yang terakhir/penghujung” adalah salah satu gelaran Allah. Dengan demikian, Yesus secara bulat-bulat berkata bahawa Dia adalah Tuhan dan Allah.

Sanggupkah seorang yang hanya sekadar nabi berani berkata-kata begitu seperti Yesus?

 

“Dosa kamu diampunkan…”

Siapa yang dapat mengampuni dosa? Hanya Allah yang mampu mengampuni dosa kamu dan saya. Terdapat banyak jenis dosa di dalam hidup, tetapi salah satu dosa yang dilakukan oleh semua orang adalah pemberontakan melawan Allah. Meskipun kamu dan saya boleh saling memaafkan sesama sendiri, hanya Allah yang dapat menawarkan pengampunan dosa yang sebenar sepertimana Raja Daud menyatakan di dalam Mazmur 51:4, “Basuhlah aku daripada segala kejahatanku, dan bersihkanlah aku daripada dosaku.” Dengan demikian, adakah nabi biasa menuntut bahawa dia boleh mengampuni dosa orang lain?

Kalau kalian membaca Markus 2:1-12, seorang yang lumpuh dibawa kepada Yesus oleh kawan-kawannya supaya Yesus boleh menyembuhkan kawan mereka. Apabila bertemu dengan orang lumpuh tersebut, Yesus berkata, “Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan.” Guru-guru Taurat di situ terkejut dan berfikir, “Alangkah beraninya Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!”

Yesus menunjukkan keilahian-Nya dengan berkata, “Mengapa kamu berfikir demikian? Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan?’ Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.”

Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangunlah! Angkat tikarmu, dan pulanglah!” Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!”

Jelas nyata pada zaman Yesus, orang pun bersefahaman dengan kita yang berada di dalam abad ke-21 bahawa hanya Allah yang mempunyai kuasa untuk mengampuni dosa. Itulah sebab Yesus yang merujuk kepada diri sendiri sebagai “Anak Manusia” mengetahui fikiran guru-guru Taurat dan berkata kepada mereka bahawa “…Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Selebih daripada itu, Yesus juga menyembuhkan orang lumpuh tersebut dengan sepenuhnya.

Sanggupkah seorang yang hanya sekadar nabi berani berkata-kata begitu seperti Yesus?

 

“Aku akan menghakimi…”

Di dalam kitab Yoel 3:12, Allah berfirman, “Bangsa-bangsa mesti bersiap dan datang ke Lembah Penghakiman. Di sana Aku, TUHAN akan duduk dan menghakimi, semua bangsa di sekitar.” Menurut Raja Daud di dalam Mazmur 9:7-9, “Tetapi TUHAN memerintah selama-lamanya; Dia mendirikan takhta-Nya untuk menghakimi dunia. Dia memerintah dunia dengan adil, dan menghakimi rakyat dengan saksama.” Sungguh jelas Allah adalah hakim yang paling adil dan saksama.

Yesus berkata, “Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan duduk di atas takhta-Nya yang mulia. Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing” (Matius 25:31-32). Kalau dibaca selanjutnya, Yesus menerangkan bahawa Dia akan menerima segolongan orang sahaja ke syurga dan yang lain akan dimasukkan ke neraka. Bukankah ini kata-kata Allah sahaja dan bukan sebarang manusia?

Sanggupkah seorang yang hanya sekadar nabi berani berkata-kata begitu seperti Yesus?

 

“Akulah kebenaran…”

Di dalam Mazmur 31:5, Raja Daud merujuk kepada TUHAN sebagai “…Allah yang setia (kebenaran).”  Pernahkah seorang nabi berani menggelarkan diri sebagai “Kebenaran”? Setakat pengetahuan saya, semua nabi hanya menunjukkan arah terhadap “Kebenaran”, tetapi tidak berani mendakwa dirinya sebagai “Kebenaran.”

Namun demikian, Yesus sendiri berkata, “Akulah Jalan dan Kebenaran dan Hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku” (Yohanes 14:6). Yesus seringkali mengguna nama yang biasanya dikhaskan untuk Allah sahaja.

Mansur al-Hallaj (858-913 AD), seorang ahli Sufi dihukum mati kerana dia berkata “Akulah kebenaran” berkali-kali. Sebab dia dihukum mati? Dia dianggap sebagai munafik kerana bidaahnya yang menyeleweng. 

Sanggupkah seorang yang hanya sekadar nabi berani berkata-kata begitu seperti Yesus?

 

“Akulah kebangkitan dan hidup…”

Kitab 1 Samuel 2:6 menyatakan, “TUHAN mematikan manusia, Dia juga menghidupkan mereka. Dia menghantar manusia ke dunia orang mati, dan Dia juga membawa mereka kembali.”

Allah sahaja yang membangkitkan orang mati pada hari kebangkitan. Walaupun Alkitab mengandungi peristiwa-peristiwa para nabi dan rasul yang membangkitkan orang mati, tetapi pernahkah mereka menggelar diri sebagai sumber hidup? Tidak! Ini kerana mereka tahu bahawa mereka sekadar saluran kuasa Allah sahaja.

Kenyataan Yesus bercanggah dengan dakwaan-dakwaan nabi lain, kerana Dia berkata, “Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup. Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juga. Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia. Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba mananya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum” (Yohanes 5:25-29).

Jelas nyata Yesus menggelarkan Diri sebagai Anak Allah di sini. Sesiapa yang menafikan bahawa Yesus itu bukan Anak Allah juga menuduh Allah sebagai pembohong, kerana Allah sendiri berkata “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku” (Matius 3:17).

Tambahan pula, Yesus berkata, “Akulah kebangkitan dan hidup; barangsiapa percaya kepada-Ku, ia akan hidup walaupun ia sudah mati” (Yohanes 11:25). Kalau Yesus hanya sekadar seorang nabi, bukankah Dia mengkufuri Allah?

Sanggupkah seorang yang hanya sekadar nabi berani berkata-kata begitu seperti Yesus?

 

“Adakah Allah berkongsi kemuliaan-Nya?”

Kita membaca dalam Kitab Yesaya 42:8 bahawa TUHAN “…tidak akan memberi kemuliaan-Ku [Nya] kepada sesiapa, atau pujian-Ku [Nya] kepada mana-mana berhala..”. Pernahkah nabi-nabi yang lain berkata bahawa mereka akan dimuliakan bersama-sama Allah? Itulah yang Yesus mendakwa. Lebih-lebih lagi, Dia berkata bahawa Dia memiliki kemuliaan bersama Allah sebelum dunia dijadikan.

Yesus berdoa, “Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan.”

Sanggupkah seorang yang hanya sekadar nabi berani berkata-kata begitu seperti Yesus?

 

Bukti-Bukti Lanjut

Di dalam Markus 2:28, Yesus berkata, “Oleh itu, Anak Manusia juga berkuasa atas hari Sabat.”

Matius 22:41-45 adalah peristiwa di mana Yesus gelarkan Diri sebagai Tuhan Raja Daud.

Yesus berkata kepada orang ramai bahawa Dia telah bertemu dengan Abraham dalam Yohanes 8:39-58.

Yesus mengajar orang ramai bahawa Dia lebih penting daripada Bait Allah (Matius 12:6).

Yesus mengumumkan bahawa Dia mempunyai hubungan yang unik dengan Allah Bapa (Matius 11:27).

Yesus berkata, “…apabila dua atau tiga orang berkumpul kerana Aku, Aku pun di situ bersama-sama mereka” (Matius 18:20). Hanya Allah yang Maha Wujud. Yesus berani menyatakan bahawa Dia juga Maha Wujud kerana sememangnya Dia Allah.

Matius 28:18-20 menyatakan bahawa Yesus berjanji dengan orang yang percaya kepada-Nya bahawa “…segala kuasa di syurga dan di bumi…” telah diberkan kepada-Nya. Dia akan menyertai pengikut-Nya sehingga akhir zaman.

Yohanes 16:15 menyatakan bahawa semua milik Allah Bapa adalah milik Yesus juga. Yesus mengajar orang supaya menghormati Dia sebagaimana Allah patut dihormati dalam Yohanes 5:23. Salah satu cara kita menghormati Allah adalah menyembah-Nya. Ini menunjukkan bahawa Yesus menuntut penyembahan. Seorang nabi pun tidak berani menuntut penyembahan seperti yang Yesus lakukan kerana ia adalah satu dosa yang besar di mata Allah.

Tidak hairan melihat bahawa Yesus sendiri disembah dan tidak pernah menolak penyembahan. Tidak lama selepas Yesus lahir, sekumpulan gembala “…sujud menyembah Anak itu…” (Matius 2:11). Sewaktu Yesus melayan, pengikut-Nya “…sujud menyembah Yesus…” (Matius 14:33). Selepas Yesus menyembuh seorang buta, orang tersebut sujud di hadapan-Nya (Yohanes 9:38). Selepas kebangkitan Yesus, murid-murid-Nya “…menyembah Dia…” (Matius 28:17). Murid-Nya Tomas memanggil Yesus “Ya Tuhanku! Ya Allahku!” (Yohanes 20:28).

Bandingkan dengan peristiwa yang lain dalam Alkitab, apabila Wahyu 22:9 menunjukkan waktu Yohanes hendak menyembah malaikat, malaikat tersebut berkata, “Janganlah sembah aku…Sembahlah Allah!” Di dalam Kisah Para Rasul 14, orang ramai hendak mempersembahkan korban kepada Paulus dan Barnabas kerana mengingati bahawa mereka berdua adalah dewa. Paulus dan Barnabas berseru, “Mengapa kamu melakukan hal ini? Kami pun manusia seperti kamu semua!”

Yesus tidak pernah menolak penyembahan daripada manusia kerana Dia adalah Tuhan dan Allah. Dia mendakwa Diri sebagai yang awal dan yang penghujung, pengampun dosa, hakim yang terakhir, kebenaran, kebangkitan dan hidup. Dia juga menyatakan bahawa Dia mempunyai kemuliaan bersama-sama Allah sebelum dunia wujud, bahawa Dia adalah Tuhan hari Sabat, Dia adalah Tuhan Raja Daud, bahawa Dia lebih penting daripada Bait Allah, bahawa Dia telah bertemu dengan Abraham, Dia Maha Wujud, Dia mampu menjawab doa, Dia mempunyai hubungan yang unik dengan Allah Bapa, Dia memiliki semua kuasa di bumi dan di syurga, Dia akan menyertai pengikut-Nya untuk selama-lamanya, dan Dia menuntut supaya dihormati dan disembah seperti Allah.

Nabi-nabi yang lain masih berada di dalam kubur masing-masing dengan mayat yang telah lama mereput. Mereka tidak Maha Wujud, mereka tidak mempunyai sebarang kuasa membangkitkan orang mati ataupun diri sendiri, mereka tidak boleh mendengar dan mengabulkan doa, mereka tidak mampu mengampuni dosa, mereka tidak mampu bersama-sama pengikut merentas masa, dan mereka tidak mampu menyatakan bahawa mereka adalah Jalan, Kebenaran dan Hidup. Ini kerana mereka hanya sekadar manusia fana yang berdosa!

Jadi, di manakah Alkitab menyatakan bahawa Yesus berkata, “Aku adalah Tuhan, sembahlah aku”?

Yesus telah membuktikan Diri sebagai Tuhan dan Allah melalui kata-kata, perbuatan, kematian, kebangkitan, dan kehidupan-Nya. Kubur-Nya masih kosong kerana Dia sekarang bertakhta bersama-sama Allah Bapa dan Roh Kudus di syurga. Segala puji dan sembah kepada Yesus Kristus, Tuhan dan Allah kita!