Nota tambahan: Sekali lagi perlu ditekankan bahawa Alkitab mesti dibaca mengikut konteks. Di dalam 1 Korintus 1:16, (ayat penutup selepas Paulus menyatakan pemikirannya tentang hal ini) Paulus berkata, “Tetapi jika sesiapa mahu bertengkar tentang masalah itu, inilah satu-satunya jawapan yang dapat aku berikan: Baik kita mahupun jemaah Allah lainnya, tidak mempunyai peraturan lain.“
Untuk faedah mereka yang kurang bertauliah di dalam mengupas ayat-ayat Alkitab mengikut konteks, 1 Korintus 11:16 boleh diterangkan begini: sesiapa yang tidak setuju dengan maksud dan konteks Paulus boleh mencari sebanyak alasan yang boleh untuk ‘menang’ di dalam perbicaraan ini. Paulus sendiri tidak akan mempertikaikan hujah-hujah lain yang ditujukan kerana perbalahan sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Justeru itu, memang terdapat perbezaan pendapat di kalangan orang Kristian sendiri tentang penutupan kepala wanita. Penjelasan di bawah adalah pendirian penulis berdasarkan Alkitabiah. Yang pentingnya, pendapat yang berbeza di antara Kristian tentang hal ini tidak menjejaskan penyelamatan seseorang Kristian. Tambahan pula, ia bukannya dosa di sisi mata Allah. Yang penting adalah mengikut Perintah yang Terutama yang diutuskan oleh Tuhan dan Allah kita, Yesus Kristus.
“Agama Kristian juga memesan penganutnya menutup kepala mereka.”
“Perempuan Kristian juga menutup aurat mereka, perhatikan cara biarawati berpakaian.”
Satu tuduhan palsu yang sering dilemparkan terhadap orang Kristian adalah, “Mengapa perempuan Kristian tidak menutup kepala mereka seperti yang tertera di dalam Alkitab?” Mungkin penyoal mempunyai udang di sebalik batu untuk mengagung-agungkan agama sendiri tanpa menyelidiki konteks di belakang ayat-ayat Alkitab yang dipetik, atau dia membabi buta tanpa berfikir panjang untuk menyiasat apa yang telah diberitahukan, ataupun dia betul-betul ingin tahu. Salah satu nas yang paling popular untuk menegakkan benang yang basah adalah dengan petikan 1 Korintus 11:3-16.
“Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa ketua setiap lelaki ialah Kristus, ketua wanita ialah lelaki dan ketua Kristus ialah Allah. Jika seorang lelaki berdoa atau bernubuat dengan kepala bertudung, dia mengaibkan kepalanya. Sebaliknya, jika seorang wanita berdoa atau bernubuat dengan kepala tidak bertudung, dia mengaibkan kepalanya, samalah seperti dia membotakkan kepalanya. Jika seseorang wanita tidak bertudung kepala, baiklah rambutnya dicukur. Jika satu keaiban bagi wanita dicukur atau dibotakkan kepalanya, hendaklah dia bertudung kepala. Seorang lelaki tidak patut menudung kepalanya, kerana dia mencerminkan dan memuliakan Allah; tetapi wanita adalah kemuliaan lelaki. Lelaki tidak berasal daripada wanita, tetapi wanita berasal daripada lelaki. Begitu juga, lelaki tidak dicipta untuk wanita, tetapi wanita dicipta untuk lelaki. Oleh itu, dan oleh sebab para malaikat, wanita harus memakai satu lambang kewibawaan di atas kepalanya. Walau bagaimanapun, lelaki dan wanita saling bergantung, di bawah kuasa Tuhan. Sebagaimana wanita berasal daripada lelaki, maka lelaki pula lahir melalui wanita; segala-galanya daripada Allah.
Timbangkanlah sendiri. Wajarkah seorang wanita berdoa kepada Allah dengan tidak bertudung kepala? Tidakkah alam tabii sendiri mengajar kamu bahawa jika seorang lelaki menyimpan rambut panjang, itu suatu keaiban baginya? Tetapi jika seorang wanita mempunyai rambut panjang, itu suatu kemuliaan baginya; kerana rambut dikurniakan kepadanya sebagai penudung. Namun demikian, jika sesiapa kelihatan ingin membantah, maka jawablah bahawa kita tidak mempunyai adat yang lain, begitu juga semua jemaah Allah.” – 1 Korintus 11:3-16
Seringkali, kesalahan utama orang yang cuba mengupas kandungan Alkitab adalah mengambil ayat dari luar konteks supaya ia selari dengan pandangan peribadi yang ingin ditujukan. Pendekatan sedemikian sangat bahaya kerana dengan mengikuti premis yang salah, jelas sangat bahawa kamu akan berakhir dengan kesimpulan yang salah. Jadi, apakah konteks 1 Korintus 11:3-16 yang sebenar?
Petikan 1 Korintus 11:3-16 menyatakan hal-ehwal wanita dan pemakaian tudung kepala. Seluruh konteks petikan tersebut berfokus kepada turutan perintah Allah serta rantaian perintah. “Tudung” kepala seorang perempuan digunakan sebagai ilustrasi untuk kepimpinan dan kewibawaan Allah. Ayat kunci di dalam petikan ini adalah 1 Korintus 11:3, “Tetapi aku mahu kamu tahu bahawa ketua setiap lelaki ialah Kristus, ketua wanita ialah lelaki dan ketua Kristus ialah Allah.” Implikasi ayat ini sangat nyata dan timbul beberapa kali lagi di petikan tersebut. Turutan tersebut adalah: Allah Bapa, Allah Anak, lelaki atau suami, dan perempuan atau isteri. Tudung kepala atau vel yang dipakai oleh isteri yang beragama Kristian di Korintus menunjukkan bahawa dia berada di bawah kewibawaan suaminya, dan secara tidak langsung, mempamerkan penyerahan diri kepada Allah.
Di dalam ayat 10, “Oleh itu, dan oleh sebab para malaikat, wanita harus memakai satu lambang kewibawaan di atas kepalanya.” Apakah kepentingan tersebut terhadap para malaikat? Hubungan di antara Allah dengan manusia adalah sesuatu yang para malaikat memerhati dan belajar seperti yang dinyatakan di dalam 1 Petrus 1:12, “Allah telah menyatakan kepada nabi-nabi bahawa segala yang dilakukan oleh mereka itu bukan untuk mereka tetapi untuk kita. Sekarang perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu telah kamu dengar melalui Injil yang diisytiharkan dengan kuasa Roh Kudus dari syurga. Para malaikat juga ingin mengerti perkara itu.”
Jadi, penyerahan diri seorang perempuan terhadap lelaki, iaitu pihak berwibawa ke atas perempuan tersebut yang dilantik oleh Allah, adalah satu contoh kepada malaikat. Adalah harapan para malaikat yang suci dan senantiasa patuh kepada Allah, supaya pengikut Yesus Kristus melakukan yang sama.
Penutup kepala ini tidak merujuk kepada tudung atau vel, tetapi ia juga boleh merujuk kepada rambut yang panjang. Mengapa boleh dikatakan demikian? Seperti yang ditekankan pada mulanya, konteks petikan ini sangat penting. Di dalam Korintus 11:14-15, “Tidakkah alam tabii sendiri mengajar kamu bahawa jika seorang lelaki menyimpan rambut panjang, itu suatu keaiban baginya? Tetapi jika seorang wanita mempunyai rambut panjang, itu suatu kemuliaan baginya; kerana rambut dikurniakan kepadanya sebagai penudung.” Konteks petikan ini menunjukkan dengan jelas bahawa seorang perempuan yang berambut panjang jelas menyatakan jantinanya sebagai wanita. Rasul Paulus menyatakan bahawa di dalam konteks budaya orang Korintus, apabila rambut seorang perempuan lebih panjang daripada rambut suaminya, ia menunjukkan tahap kepatuhan terhadap suaminya. Peranan lelaki dan wanita tersebut berbeza dan diniatkan begitu oleh Allah sebagai suatu pengajaran rohani, iaitu menyerahkan diri kepada kehendak dan turutan Allah.
Mengapa rambut boleh menimbulkan banyak persoalan pada zaman tersebut, termasuk sekarang di kalangan orang yang memetik ayat Alkitab dari luar konteksnya? Ini kerana rasul Paulus sedang menangani situasi yang berkait dengan budaya Korintus, di mana ibadat di gereja seringkali diganggu. Untuk seorang wanita, kepala yang dicukur adalah sesuatu perkara yang sangat malu. Rambut adalah kemuliaannya. Budaya Korintus biasanya menunjukkan kepatuhan seorang perempuan terhadap suaminya melalui pemakaian tudung, dan rasul Paulus menggalakkan contoh tersebut kerana pengabaian pemakaian tudung akan menghantar mesej yang salah terhadap masyarakat Korintus. Jadi, Paulus menyatakan bahawa kalau perempuan Kristian tidak mahu bertudungkan kepalanya (pada zaman tersebut), tidak kurang bezanya kalau dia mencukur seluruh kepala. Pokoknya, seorang perempuan Kristian di Korintus yang tidak mahu menutup kepalanya disamakan sebagai seorang yang menyatakan, “Saya tidak sanggup mematuhi turutan Allah.” Jadi, rasul Paulus mengajar orang Kristian di Korintus bahawa kepanjangan rambut seorang perempuan atau seseorang yang menutup kepalanya adalah penampilan luaran isi hati seorang yang taat dan patuh kepada Allah yang sesuai pada zaman tersebut.
Menurut Allah, suami adalah ketua keluarga seperti Allah Bapa adalah ketua Yesus Kristus, tetapi tiada perbezaan pangkat atau taraf. Allah Bapa dan Yesus Kristus sama taraf dan adalah satu, sama seperti suami dan isteri menjadi satu. Petikan ini tidak merendahkan martabat perempuan, atau perintah bahawa dia haruslah patuh kepada setiap lelaki. Petikan ini berkenaan dengan turutan yang diberi oleh Allah serta pimpinan rohani di dalam setiap perkahwinan. Di dalam budaya orang Korintus, wanita yang menutup kepalanya sewaktu beribadah atau semasa dia berada di kalangan orang ramai menunjukkan kepatuhan terhadap pihak yang berwibawa.
Bagaimana pula dengan zaman ini?
Di dalam budaya hari ini, kebanyakan orang tidak lagi menganggap penutup kepala seorang wanita sebagai tanda penyerahan diri kepada Allah. Malah, topi dan skarf menjadi aksesori fesyen. Seorang wanita mempunyai pilihan untuk menutup kepalanya jika dia berasa bahawa itu menunjukkan ketaatan dan kepatuhan terhadap kewibawaan suaminya. Harus diingati bahawa itulah pilihan peribadi dan tidak boleh digunakan sebagai piawai tahap kerohanian seseorang.
Intipati isu ini adalah sikap seseorang terhadap kewibawaan Allah serta turutan-Nya “…seperti kepada Tuhan” (Efesus 5:22). Allah jauh lebih berminat terhadap sikap yang mentaati-Nya berbanding dengan penampilan luaran seseorang melalui penutupan kepala. Penutup kepala di dalam budaya orang Korintus pada waktu itu hanya simbolik dan dipakai sebagai contoh untuk menyampaikan mesej, dan ia bukannya satu perintah.
Paulus menulis di dalam 1 Timotius 2:9-10, “Aku juga menyeru kaum perempuan supaya berpakaian serta menghias diri dengan sopan santun dan sederhana. Jangan berhias dengan jalinan rambut yang berlebihan atau dengan emas ataupun mutiara mahupun pakaian yang mahal-mahal. Hiasi diri dengan perbuatan baik, yang sepatutnya bagi perempuan yang mengaku kesolehannya.“
Semoga saudara-saudari diberkati dengan penjelasan di atas.