“Saya tidak memerlukan ilmu teologia, saya cuma perlukan Yesus.” Ramai orang Kristian beranggapan bahawa doktrin-doktrin agama Kristian tidak ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Bagi mereka kekristianan yang sebenar ialah tentang perjalanan peribadi mereka dengan Tuhan serta hal-hal praktikal tentang kehidupan Kristian mereka.
Tapi itu tidak benar! Kita semua ialah ‘ahli teologia’. Teologia bermaksud ‘sains ataupun kajian mengenai Tuhan’, dalam erti kata lain, ‘pandangan dan pemikiran yang datang daripada pengetahuan kita mengenai Tuhan’. Apabila kita dilahirkan semula, kita semua harus mengenali Allah dan sifat-sifat-Nya. Demikian kita memiliki ilmu teologia tidak mengira samada kita mamahaminya ataupun tidak. Tugas kita sebagai pengikut Kristus ialah untuk menjadi ‘ahli teologia’ yang terbaik bagi memuliakan nama-Nya, untuk mengenal cara dan kehendak-Nya berpandukan Alkitab.
Sesi 1 hingga 4 adalah pengajaran doktrin yang harus diketahui oleh semua orang Kristian: apa itu pertaubatan, penyelamatan, pembenaran dan pengudusan? Dengan memahami inti Injil yang paling asas ini, diharapkan akan membantu kita bertumbuh di dalam iman dan yakin akan apa yang membezakan kita dengan orang yang belum percaya.
Sesi 5 hingga 8 pula akan melihat hubungan dan peranan kita dalam satu komuniti orang yang percaya. Tuhan tidak menebus anda untuk menjadi seorang Kristian yang bersendirian. Dia mahu kita bertumbuh dalam satu keluarga dan komuniti umat Allah. Kita akan menumpukan kepada 4 aspek kehidupan sebagai sebuah komuniti umat Tuhan: penyembahan, persekutuan, doa dan pelayanan; di mana melalui semua itu, gereja akan melaksanakan tujuan kewujudannya iaitu untuk memuliakan nama Tuhan.
“Hendaklah engkau berusaha sungguh-sungguh supaya diakui oleh Allah sebagai orang yang layak bekerja bagi-Nya. Berusahalah supaya engkau tidak malu mengenai pekerjaanmu, melainkan mengajarkan dengan tepat ajaran-ajaran benar dari Allah.” (2 Timotius 2:15)