Adakah Yesus seorang Muslim?

2819

Lewat ini terdapat dakwaan bahawa Yesus (Isa Al-Masih) itu seorang Muslim. Ini kerana Yesus tidak makan babi (Imamat  11:7), Dia bersalam dengan orang (Yohanes 20:21), Dia berdoa dengan kepala-Nya menyentuh bumi (Matius 26:39), Dia seorang nabi (Matius 21:11), serta mengamalkan puasa (Matius 4:2). Pokoknya, adakah mengikuti semua amalan tersebut terus menjadikan seseorang itu Muslim? Marilah kita lihat dakwaan bahawa Yesus itu seorang Muslim memang munasabah atau tidak.

Yesus seorang Muslim kerana….

…Dia tidak makan babi

Seluruh bangsa Yahudi pada waktu itu tidak makan babi mengikut hukum Taurat yang diberi oleh Allah. Babi adalah salah satu binatang yang haram kerana pada waktu hal-ehwal pemakanan dalam hukum Taurat diberi, ia sebahagian daripada Perjanjian Lama di antara Allah dengan umat-Nya. Yesus mengikuti hukum Taurat bukan kerana Dia seorang Muslim, tetapi Dia ingin menghormati kalangan-kalangan Yahudi yang Dia mengajar. Mengikuti budaya (tanpa bercanggah dengan Firman Tuhan) untuk mendekati seseorang bukan salah, malah adalah cara yang paling sesuai. Justeru itu, Yesus juga mengajar orang ramai bahawa “Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang, dapat menajiskan dia. Sebaliknya, apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia” (Markus 7:15). Perjanjian Baru juga tunjuk dengan jelas bahawa semua hukum hal-ehwal pemakanan tidak lagi berkuatkuasa. Salah satu contoh yang sangat ketara adalah penglihatan Petrus di dalam Kisah Para Rasul 10:9-16, di mana Petrus diperintah oleh Allah sendiri supaya tidak menolak makanan yang dahulu dianggap sebagai najis atau haram. Selain daripada itu, rasul Paulus juga menyatakan bahawa “Segala sesuatu yang sudah diciptakan oleh Allah itu baik. Tiada satu pun yang harus ditolak. Terimalah segala-galanya dengan mengucap syukur kepada-Nya…” (1 Timotius 4:4).

Alkitab juga jelas menyatakan bahawa “…Pemerintahan Allah bukanlah soal makanan atau minuman, tetapi kerelaan melakukan kehendak Allah” (Roma 14:17). Seseorang hanya boleh berdosa dalam hal-ehwal pemakanan secara membazir atau gelojoh. Tambahan pula, adakah semua orang yang mengamalkan diet vegetarian juga Muslim kerana dia tidak makan babi, mahupun daging?

Jadi, Yesus BUKAN seorang Muslim kerana Dia tidak memakan babi.

…Dia bersalam dengan orang

Yesus memang berkata kepada murid-murid-Nya, “Salam sejahtera!” (Yohanes 20:21) apabila Dia menampakkan Diri kepada mereka selepas bangkit dari maut. Di dalam petikan tersebut, Yesus menunjukkan tangan dan rusuk-Nya yang dipaku dan ditombak di atas kayu salib, serta menghembuskan Roh Allah kepada mereka (Yohanes 20:20-22). Ini menunjukkan keilahian Yesus sebagai Tuhan dan Allah, di mana Dia bukan sekadar manusia atau nabi sahaja.

Terdapat banyak contoh lain di mana Yesus tidak mengucapkan “Salam sejahtera!” kepada murid-murid-Nya mahupun orang lain. Di kubur Yesus, Yesus memulakan perbualan dengan Maria yang tengah menangis dengan soalan, “Puan, mengapa menangis?” (Yohanes 20:13). Di dalam perjalanan ke Emaus, Yesus bersama-sama dua murid-Nya berjalan tanpa bersalam pada permulaan perbualan mereka (Lukas 24:17). Sewaktu Yesus menampakkan diri kepada 7 orang pengikut-Nya, Dia tidak menyampaikan salam tetapi menanya soalan disebalik itu (Yohanes 21:5).  

Jadi, Yesus BUKAN seorang Muslim hanya kerana Dia bersalam dengan orang.

Dia berdoa dengan kepala-Nya menyentuh bumi

Di dalam Matius 26:39, Yesus berdoa kepada Bapa Syurgawi-Nya dengan meniarap. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan bahawa meniarap dan menelungkup itu sinonim. Istilah menelungkup mengambil makna “berbaring atas perut” – jelas ia bukan cara seorang Muslim berdoa.

Yang kita perlu ingat juga adalah bahawa Yesus berdoa di dalam posisi atau postur yang berlainan. Contohnya sewaktu Dia berdoa sebelum melakukan mukjizat memberikan makanan kepada lima ribu orang, Dia berdoa kepada Allah dengan menengadah ke langit (Markus 6:41). Ini jelas bercanggah dengan postur doa-Nya dalam Matius 26:39. Sama juga sewaktu Yesus membangkitkan Lazarus dari maut, Dia menengadah ke langit sambil berucap syukur (Yohanes 11:41). Sewaktu Yesus berdoa untuk murid-murid-Nya, Dia juga menengadah ke langit (Yohanes 17:1).

Tambahan pula, terdapat banyak contoh nabi-nabi lain di dalam Alkitab yang berdoa dalam posisi yang berlainan. Sewaktu Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN, dia “…berdiri menghadap mazbah Tuhan…” lalu “…mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa” (2 Tawarikh 6:12). Seterusnya, Raja Salomo bersujud sambil mengangjat kedua-dua belah tangannya ke langit sambil berdoa (2 Tawarikh 6:13).

Bapa Raja Salomo, iaitu Raja Daud, berdoa sambil duduk (2 Samuel 7:18). Yesus sendiri mengajar murid-Nya “…apabila kamu berdiri untuk berdoa…” (Markus 11:25).

Selebih daripada itu, tiada satu kalipun ditulis bahawa Yesus mengambil wuduk sebelum berdoa. Jadi, Yesus BUKAN seorang Muslim kerana Dia berdoa dalam pelbagai posisi, termasuk menengadah ke langit.

…Dia seorang nabi

Agama Islam menganggap bahawa semua nabi-nabi di dalam Alkitab adalah Muslim. Antara mereka yang termasuk dalam golongan ini adalah Ibrahim, Ishak, Yakub, Nuh, Daud, Salomo, Yusuf, Musa, Harun, Zakaria, Yohanes, Yunus, Lut, dan Yesus/Isa Al-Masih. Memang orang Kristian tidak menafikan bahawa Yesus diutus oleh Allah sebagai seorang nabi seperti tanggapan manusia di dalam Matius 21:11, tetapi Dia jauh lebih daripada itu.

Dia adalah Tuhan yang menjelma sebagai seorang manusia untuk sewaktu supaya boleh menjadi korban yang sempurna untuk dosa manusia selama-lamanya seperti yang ditetapkan oleh Allah Bapa. Ini dikenali sebagai Doktrin Tritunggal.

…Dia mengamalkan puasa

Memang Yesus berpuasa, tetapi Dia berpuasa di bawah pimpinan Roh Allah (Matius 4:1). Yesus berpuasa menyediakan diri untuk melakukan kehendak Allah Bapa di bumi untuk tiga lebih tahun yang akan datang sebelum Dia disalib, mengalahkan maut dan bersatu dengan Bapa Syurgawi-Nya kemudian. Yesus dimaki orang lain kerana Dia tidak berpuasa sewaktu orang lain berpuasa (Matius 11:19). Dia juga dianggap tidak berpuasa apabila para pengikut Yohanes Pembaptis serta orang Farisi sedang berpuasa dan bertanya Yesus, “Mengapa…pengikut guru tidak?” (Markus 2:18).

Jadi, Yesus BUKAN seorang Muslim kerana Dia berpuasa mengikut pimpinan Roh Allah, dan bukan untuk mengumpul pahala kerana Dia TIDAK PERNAH BERDOSA (1 Petrus 2:22).

Yesus BUKAN seorang Muslim kerana di dalam Matius 26:29, Dia juga meminum wain. Adakah orang Muslim minum wain? Tidak!

Akhirnya, Yesus tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah, jadi bagaimanakah Dia boleh dianggap sebagai seorang Muslim? Yesus yang orang Kristian percaya jauh berbeza daripada versi-versi Yesus yang dipersembahkan dalam buku-buku atau kitab-kitab yang bukan Alkitab. Yesus BUKAN seorang Muslim, tetapi Dia adalah Anak Tunggal Allah yang diutuskan oleh Allah Bapa supaya barangsiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa, tetapi beroleh hidup sejati dan kekal.

Semoga kalian semua bermanfaat daripada artikel ini. Tuhan berkati.