Adakah Salah Bermain Dram Di Gereja?

1383

Di dalam kebanyakan gereja pada hari ini, terdapat pelbagai alat muzik yang dipakai termasuk dram semasa menjalankan ibadah puji dan sembah. Jenis lagu rohani popular telah meningkatkan keinginan untuk mengalami stail muzik puji dan sembah yang sama di gereja sendiri. Dram, kecapi dan pelbagai jenis alat muzik yang lain sudah menjadi perkara yang biasa di kalangan jemaat. Namun demikian, bukan semua orang yang menerima dram sebagai alat muzik puji dan sembah. Ada yang tertanya-tanya, “Adakah ia salah bermain dram di gereja?”

Untuk menjawab pertanyaan tersebut, kita perlu pertimbangkan sebab-sebab mengapa penggunaan dram di gereja ditolak. Kebanyakan lagu rohani moden tidak jauh beza iramanya daripada kumpulan rock duniawi. Ada yang berasa bahawa tahap bunyi dan ritma lagu rohani moden tidak selari dengan kata-kata Yesus, “…dalam roh dan kebenaran” (Yohanes 4:24). Mereka menyatakan bahawa penggunaan dram mewakili semua yang tidak bagus dari segi muzik, dan tiada tempatnya dram di gereja. Terdapat juga denominasi yang melarang penggunaan alat muzik sewaktu puji dan sembah, dan golongan ini berfikir demikian dengan kenyataan bahawa alat-alat muzik tidak dipakai oleh gereja awal di Perjanjian Baru. 

Kita perlu ingat bahawa seseorang harus berhati-hati apabila menyatakan larangan berdasarkan apa yang tidak disampaikan dari Alkitab. Secara prinsip, ketidakgunaan alat muzik oleh gereja awal tidak bermakna penolakan alat muzik dengan sepenuhnya. Kebanyakan jemaat berkumpul di rumah masing-masing dahulu, mereka tidak mempunyai pusat beribadah, jadi kekurangan alat muzik di dalam penyembahan mereka mungkin disebabkan oleh kesempitan kawasan. Alkitab juga tidak menyatakan apa-apa pun tentang podium, buku lagu rohani ataupun pentas, tetapi banyak gereja menggunakan semua alat-alat tersebut. Jika gereja awal memakai dram, kebarangkalian mereka menggunakan sesuatu seperti bongo: kecil, ringan dan senang dibawa ke mana-mana sahaja.

Ia juga sangat penting untuk mengingati bahawa pada zaman awal gereja, hanya Perjanjian Lama yang berada di tangan para jemaat. Murid Yesus yang pertama terpaksa mengikut corak penyembahan yang tidak jauh berbeza daripada apa yang mereka sudah biasa, dan di dalam Perjanjian Lama, kitab Mazmur menyeru umat Allah supaya menyembah-Nya dengan apa-apa pun yang kita miliki (Mazmur 81:2; 98;5; 150:4). Setelah orang Ibrani berjaya menyeberangi Laut Merah tanpa mengalami apa-apa kehilangan, Miriam memimpin umat Israel dengan lagu pujian, memakai sebiji tamborin serta alat genderang. Jadi, tidak mustahil kalau Miriam diiring dengan bunyi dram. 

Adalah salah untuk bermain dram di gereja kalau dram tersebut menjadi fokus perhatian jemaat. Jika ritma lagu tersebut terlalu kuat dan menarik perhatian kebanyakan orang kepadanya, ini mungkin satu tanda bahawa pemakaian dram telah menarik perhatian jemaat dari matlamat utama: penyembahan Allah. Namun demikian, hal ini juga boleh dikatakan sama dengan pelbagai alat muzik yang lain seperti piano atau gitar, mahupun pemimpin pujian, gembala atau sesiapapun yang menyertai ibadah. Semua kemuliaan sepatutnya dituju kepada Allah. 

Roma 14 and 1 Korintus 8 adalah petikan yang boleh dipakai sebagai rujukan untuk menjawab persoalan ini. Paulus mendekati pelbagai jenis soalan sebegini di mana orang Kristian mungkin berbalah antara sesama sendiri tentang hal-hal demikian. Tajuk-tajuk ini tidak dijawab secara terus-terang tetapi berkaitan dengan pemahaman diri sendiri. Kesimpulan Paulus adalah begini: semua tindakan yang kita ambil perlu berasal dari iman yang sempurna. Jika kita tidak dapat menumpukan perhatian pada keindahan Kristus dengan set dram, mungkin itu bukan gereja yang sesuai untuk kita. Tetapi jika kita perlu bunyi dram supaya kita dapat beribadah, ini juga salah kerana penyembahan kita sudah kehilangan fokusnya. Dram itu neutral: bukannya betul atau salah (Roma 14:14; 1 Korintus 8:9–13). Apa-apa yang tidak berpunca dari iman menjadi dosa kepada sesiapa yang terlibat (Roma 14:23).

Jadi, jika hati nurani seseorang tidak membenarkan ia menyembah di kebaktian yang memakai dram, orang tersebut harus bertanya dengan Tuhan dan mengikut jawapan-Nya. Untuk sekumpulan orang, dram mungkin menjadi simbol kehidupan lama mereka yang berdosa, disertai oleh lagu rock. Jadi, mereka lebih suka sesi penyembahan yang lebih tenang tanpa iringan dram. Untuk mereka yang akan tersungkur dalam iman hanya kerana mendengar bunyi dram harus menjauhkan diri sendiri dari kebaktian tersebut (1 Korintus 8:7–8). Pada masa yang sama, mereka perlu akui bahawa kehadiran dram mungkin meningkatkan daya tumpuan sebuah jemaat terhadap kebesaran Allah kita, dan mereka menyenangkan hati Tuhan (Korintus 10:31).