Kita diseru supaya menjadi terang dan garam di mana juga kita berada: di rumah mahupun di tempat kerja. Ramai antara kita meluangkan satu pertiga masa setiap hari bekerja, jadi bagaimanakah seseorang Kristian menyelaraskan kedudukan dia sebagai seorang pengikut Yesus dan juga seorang pekerja pada waktu yang sama?

Medan kerja boleh dikatakan sesuatu pengalaman yang mencabar untuk sesiapapun, lebih-lebih lagi seorang Kristian. Kita bukan sahaja mahu lakukan yang terbaik untuk Allah, tetapi juga berprihatin terhadap keperluan peribadi dan rohani rakan-rakan sekerja. Kadangkala, kita dengan tidak sengaja menjadikan kerjaya sebagai idola. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menjadi seorang pekerja Kristian yang terulung sambil memuliakan nama Allah. 

 

  1. Tiba di tempat kerja tepat pada waktunya, dan jangan bekerja terlalu lewat

Saya pasti bahawa ramai antara kita telah dipupuk untuk menepati waktu. Tabiat ini sesuatu yang baik kerana ia melambangkan sifat bertanggungjawab serta menunjukkan hormat terhadap orang lain. Sebagai seorang Kristian, kita harus sentiasa patuh kepada waktu (di tempat kerja, lebih-lebih lagi di gereja). 

Kadangkala, anda mungkin seorang sahaja yang mematuhi waktu. Jangan patah semangat kalau anda berada di dalam situasi begini. Kesetiaanmu di dalam menepati waktu akan diperhatikan oleh orang lain (rakan sekerja serta pihak atasan). Tetapi ingat: matlamat utama adalah kerana melakukan perkara yang betul memuliakan Allah. Sepertimana Kolose 3:23-24 menyatakan, “Lakukan segala kerja dengan sebulat hatimu untuk Tuhan, bukan untuk manusia, kerana kamu tahu bahawa daripada Tuhan kamu akan menerima warisan sebagai ganjaranmu. Kristus ialah Tuanmu dan kamu hamba-Nya.” 

Apabila anda tiba di tempat kerja awal ataupun tepat pada waktunya menunjukkan bahawa anda menghormati jawatan anda serta menunjukkan pihak majikan bahawa menggajimu amat berbaloi. 

 Di sebalik itu, terdapat ramai pekerja pada hari ini yang gila kerja, yang bersaing untuk menjadi orang yang terakhir meninggalkan meja di pejabat. Jangan jadi orang tersebut. Selalu rela untuk pulang setelah menyiapkan kerja anda untuk hari itu. Ini menjadi contoh kepada orang ramai bahawa anda memakai waktu di pejabat dengan cara yang paling baik, dan tidak membazirkannya menonton YouTube ataupun berbincang dengan jiran-jiranmu.

Kesudianmu untuk pulang pada waktu yang sewajarnya juga menyatakan bahawa anda tidak mentuhankan kerjaya, dan keutamaanmu tidak terletak di dalam identiti pekerjaan, tetapi anda menekankan kepentingan di dalam hal ehwal perhubungan silaturahim.

 

  1. Beriang-ria dengan mereka yang bergembira

Kehidupan mempunyai banyak kepahitan dan kepiluan, tetapi ia juga dipenuhi dengan kegembiraan seperti meraikan harijadi, ulangtahun, perkahwinan, kenaikan pangkat, dan janji temu. Seperti dengan rakan-rakan dari rumah ataupun gereja, bergembira di dalam perayaan dengan rakan-rakan sekerja juga dialu-alukan, malah perlu menjadi salah satu keutamaan (Roma 12:15).

Biasanya, setiap pejabat mempunyai seorang yang selalu mengaturkan perayaan peribadi ataupun professional untuk pekerja. Semoga anda seperti orang tersebut, ataupun menolongnya. 

Mengapa anda perlu lakukan demikian? Di mana-mana juga anda bekerja, terdapat pekerja yang kurang berinteraksi dengan yang lain kerana mempunyai sebab-sebab tersendiri, ataupun tidak disenangi oleh orang lain. Apabila anda mengambil langkah untuk meraikan kehadiran mereka, mereka akan menghargai perbuatan baik anda. 

Orang Kristian juga perlu pertimbangkan bagaimana anda boleh menganjur acara-acara kasual dengan rakan sekerja tidak kira betapa padat jadual anda. Ini kerana terdapat mereka yang mengalu-alukan peluang untuk bertemu di luar pejabat ataupun rumah. 

Terpulanglah kepada mereka untuk menghadiri acara yang anda anjurkan, tetapi perkara yang penting adalah anda tidak lupakan mereka. 

 

  1. Berdoa untuk rakan sekerjamu

Alkitab sentiasa menyeru kita mendoakan orang lain (Matius 5:43-45). Hakikatnya, berapa ramai antara kita prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi rakan sekerja serta berdoa dengan mereka? Apabila seorang berkongsi cabaran yang dihadapinya denganmu, anda mungkin bersimpati buat seketika dan melupakan hal tersebut sebelum matahari terbenam. 

Di dalam perkara ini, terdapat beberapa langkah-langkah praktikal yang anda boleh ambil. Apabila seorang berkongsikan pergumulannya, berdoa untuk orang tersebut pada waktu itu juga (di dalam hatimu ataupun secara terbuka, berdasarkan betapa rapatnya anda berdua). Jika waktu tidak sesuai untuk melakukan tersebut, tulis satu nota peringatan ataupun menggunakan app untuk mengingati anda tentang butir-butir yang penting (tarikh, nama serta perkara doa) untuk mendoakan dia kelak. 

Apabila seseorang berkongsi tentang pergumulan mereka, doakan mereka dengan serta-merta di dalam hatimu. Doa bukan sahaja satu disiplin rohani yang dapat mengubah kehidupan orang lain, tetapi ia juga dapat menjadi daya tarikan antara anda di kalangan rakan-rakan sekerja, malah musuhmu juga. Ia merupakan satu cabaran untuk memusuhi mereka yang anda doakan setiap hari atau setiap minggu. Lebih kerap doa anda untuk mereka, lebih senang lagi anda dapat mengasihi mereka. 

 

  1. Genggam bara api, biar jadi sampai arang

Apabila anda sudah meletak jawatan, jangan sesekali turunkan tahap produktiviti anda. Biasanya, seorang yang telah bertekad untuk berhenti kerja mula menjadi malas dan mengharapkan rakan sekerjanya untuk megambil alih tugasnya. Jika anda seorang Kristian yang melakukan demikian juga, ia menunjukkan bahawa anda hanya bekerja di sana untuk mencari nafkah, dan bukan untuk membuat sumbangan. 

Ini bertentangan dengan perintah di dalam Firman Allah (Filipi 2:3-4). Walaupun anda telah mengambil keputusan untuk meletak jawatan, tetapi pekerja Kristian harus terus menyumbang sepenuh tenaganya sehingga hari yang terakhir, menolong pekerja baru biasakan diri dengan tanggungjawab mereka, dan memastikan bahawa sesiapa yang mengambil alih tempat anda tahu akan skop kerja serta tanggungjawab anda. Cara anda berhenti kerja boleh dikatakan sama penting dengan cara anda mengendalikan diri sepanjang waktu kerja. 

Dengan menunjukkan tahap dedikasi yang tinggi dan kerajinan sehingga hari yang terakhir, anda dapat menunjukkan apakah itu hati hamba seorang Kristian.