Obor Belia Buku 22: Ubah Hatiku

1860

Mengapakah Alkitab memanggil Abraham sebagai sahabat Allah, Musa sebagai manusia yang paling rendah diri di muka bumi dan Daud sebagai orang yang menyenangkan hati Allah? Apakah perkara yang mampu menyenangkan hati Tuhan sekaligus menceriakan kita di dalam usaha untuk menjadi seperti-Nya serta menyenangkan-Nya?

Terdapat lapan kualiti hati untuk kita pelajari bersama: hati yang sungguh-sungguh, penuh ketaatan, didasari iman, sarat dengan integriti; berpandangan global dan menyentuh hati Tuhan, memiliki hati pengurusan untuk semua ciptaan-Nya, berbelas kasihan dan hati yang berani berdiri demi keadilan dan kebenaran.

Setiap kali Allah menyelesaikan pekerjaan-Nya, Dia sangat senang dan melihat segala yang dijadikan-Nya sungguh amat baik (Kejadian 1:31). Allah bukan sahaja mengasihi manusia yang diciptakan-Nya di dunia ini, Dia juga memanggil kita untuk melakukan perkara yang sama. Kita cenderung lupa bahawa Allah juga memperhatikan apa yang sedang terjadi di dunia kini. Dan kita sering melepaskan tanggungjawab kita kepada badan bukan kerajaan atau NGO, aktivis sosial yang memperjuangkan hak-hak yang diperlukan dan menyedarkan masyarakat tentang permasalahan yang sedang berlaku di dunia sekarang.

Diharapkan sesi-sesi dalam buku ini akan meyakinkan dan mencabar para belia untuk hidup mencerminkan kualiti-kualiti yang membolehkan mereka dipanggil orang yang menyenangkan Allah. Ia juga akan bantu menyempurnakan kasih Allah dalam kehidupan kita dan mempedulikan mereka yang memerlukan belas kasihan. Hal ini akan mencabar belia Kristian untuk lebih proaktif untuk memiliki hati tentang apa yang berlaku pada dunia sekarang.

Semoga buku ini dapat menolong dan mendorong belia Kristian untuk melihat keadaan dunia kini melalui sudut pandangan Allah dan mendengarkan suara hati Allah tentang keselamatan dan penebusan mereka. Semoga mereka memiliki komitmen untuk mengasihi dan mempedulikan, bukan hanya kata-kata tetapi juga dalam perbuatan sehingga kehidupan mereka mencerminkan kasih Allah bagi orang dan dunia yang diciptakan-Nya.

Dan pada masa yang sama, semoga mereka mengetahui jauh di dalam lubuk hati mereka “sorakan daripada Syurga” (dipinjam daripada buku Max Lucado), Tuhan bersorak bagi mereka ketika mereka menyentuh hati Bapa mereka.

“Tuhanlah yang empunya bumi serta segala isinya, dan dunia serta yang diam di dalamnya. Sebab Dialah yang mendasarkannya di atas lautan dan menegakkannya di atas sungai-sungai. “Siapakah yang boleh naik ke atas gunung TUHAN? Siapakah yang boleh berdiri di tempat-Nya yang kudus?” Orang yang bersih tangannya dan murni hatinya, yang tidak menyerahkan dirinya kepada penipuan, dan yang tidak bersumpah palsu. Dialah yang akan menerima berkat dari TUHAN dan keadilan dari Allah yang menyelamatkan dia.” (Mazmur 24:1-5)