Penganut agama Kristian adalah orang yang diberkati Allah. Ini kerana kita telah memperoleh kebebasan: kebebasan dari maut serta kebebasan dari beban mengikuti hukum-hukum agama. Yesus sendiri mengajar bahawa barangsiapa yang menerima Dia sebagai Penyelamat,“Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu” (Yohanes 8:32).
Walaupun Allah telah memberi bangsa Israel Sepuluh Hukum, Sepuluh Hukum tersebut adalah bukti bahawa manusia tidak sempurna dan tidak mampu memenuhi kehendak Allah sebagai seorang yang tidak berdosa. Hanya seorang manusia sahaja dalam sejarah yang berjaya memenuhi syarat Sepuluh Hukum tanpa berdosa: Yesus Kristus, manusia yang sempurna. Sebagai Anak Allah, Yesus menjadi contoh kepada manusia sejagat bahawa dengan kepimpinan Roh Kudus, seorang manusia mampu menyenangkan hati Allah dengan mentaati hukum-hukum-Nya.
Seperti yang Rasul Paulus jelaskan:
Jadi untuk seorang Kristian, apakah hukum jika dia tidak menghadiri kebaktian di gereja? Adakah dia akan dipenjarakan, disebat ataupun didenda? Adakah Allah akan menyambar orang tersebut yang ‘ponteng’ gereja dengan kilat? Tidak! Allah sentiasa melihat motif dalam hati seseorang.
Terdapat hanya satu ‘hukum’ di dalam Alkitab tentang kehadiran seseorang di gereja yang terkandung dalam Ibrani 10:25, “Jangan berhenti daripada berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri, terutamanya setelah kamu sedar Hari Tuhan itu kian hampir.”
Yesus sendiri dikecam oleh para agamawan yang sezaman kerana Dia meluangkan masa dengan orang yang dianggap sebagai ‘kotor’: pemungut cukai, pelacur, orang Samaria, dll.
Kalau mengikut Hukum Taurat pada waktu itu, orang Farisi memang betul dari segi pemikiran mereka. Yesus tidak sepatutnya menajiskan Diri dengan membiarkan perempuan berdosa menyentuh-Nya. Namun demikian, dari sisi mata Allah, Yesus melakukan perkara yang betul: iaitu menyayangi Allah serta sesama sendiri.
Menjatuhkan hukuman denda atau penjara ke atas seorang Kristian kerana tidak menghadiri kebaktian mingguan di gereja tidak selari dengan kehendak Allah. Di sebaliknya, sejarah telah menunjukkan bahawa orang Kristian dipenjarakan/dianiayai/dibunuh kerana mereka menghadiri kebaktian.
Akhirnya, jika anda ingin meluangkan masa dengan keluarga kesayangan anda pada hari Ahad dengan menikmati ciptaan Allah (seperti berpiknik di kawasan air terjun, memancing ikan di kolam, menjelejahi sungai di atas perahu, dll), itu tidak salah dari sisi pandangan Allah. Dia tidak akan menghukum anda, mendendamu, ataupun memenjarakan engkau. Yang pentingnya adalah anda serta keluargamu mentaati Perintah Agung, iaitu “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu” (Matius 22:37).
Pada musim cuti sekolah ini, saya berdoa supaya anda sekeluarga akan menikmati masa merapatkan silaturahim di antara sendiri dalam kasih Yesus Kristus. Tuhan berkati anda semua.