Obor Belia Buku 24: Jalan Yang Mana Satu?

1535

Kita hidup dalam satu masyarakat yang berbilang kaum, kebudayaan dan agama. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita harus saling memahami antara satu sama lain agar kita dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni.

Walau bagaimanapun, kita mempunyai tanggungjawab tambahan sebagai seorang Kristian. Ada dua alasan kita harus memahami agama dan kepercayaan lain yang ada di sekeliling kita: agar kita dapat berkongsi tentang kepercayaan kita dengan mereka, dan mempertahankan iman kepercayaan kita apabila dipertikaikan. Paulus berkata bahawa dia menjadi segala-galanya bagi semua orang agar dia berkesempatan untuk menyelamatkan beberapa di antara mereka (1 Korintus 9:22). Sekiranya kita mahu menjadi seperti Paulus, kita perlu mengambil tahu untuk mengetahui dan memahami pandangan dunia serta keperluan orang-orang dalam masyarakat kita. Maka kita akan berada dalam posisi yang lebih baik untuk menjaga kepercayaan kita dan juga pada masa yang sama dapat berkongsi tentangnya dengan orang di sekeliling kita.

Buku ini merupakan satu langkah kecil untuk menuju ke arah tersebut. Sesi 1-5 bertujuan untuk membantu para belia Kristian memahami asas kepercayaan utama dan amalan agama yang popular di negara ini. Ia juga meliputi kultus (cults) dan amalan ilmu ghaib (occults). Memandangkan terdapat banyak ajaran palsu yang kadang-kadang menyusup masuk ke dalam gereja, kita harus menyediakan belia kita untuk tahu bagaimana menggunakan Alkitab sebagai kayu pengukur kebenaran mereka.

Pada masa yang sama, kehidupan sebagai seorang Kristian dalam konteks orang Asia juga bukanlah mudah, lebih-lebih lagi jika dia adalah satu-satunya orang Kristian dalam keluarga yang belum percaya. Dalam konteks orang Asia, agama bukan kepercayaan perseorangan. Ia adalah satu kepercayaan keluarga bersama yang sudah berbelit erat dengan budaya dan tradisi yang kadang-kadang sangat sukar untuk diketahui di mana agama bermula atau di mana budaya itu berakhir.

Sebab itulah ia sering menjadi satu dilema untuk orang-orang Kristian dari Asia. Tidak hairan kalau kita dikritik sebagai memeluk agama dan budaya asing. Ramai orang Kristian yang mahu kekal benar pada kepercayaan mereka, telah menolak banyak amalan budaya mereka kerana unsur agama yang tersembunyi di dalamnya. Persoalan yang kita hadapi sekarang ialah adakah semua amalan keagamaan mempunyai unsur-unsur sosial dan kebudayaan yang tidak seharusnya ditolak? Kita juga harus sedar bahawa terdapat banyak amalan dan perayaan yang pada luarannya kelihatan berunsur kebudayaan tetapi sebenarnya bersifat keagamaan. Jadi, bagaimana orang Kristian harus memberikan respon?

Sesi 6-8 akan menjadi satu permulaan baik untuk membantu para belia Kristian lebih memikirkan kepercayaan mereka berdasarkan Alkitab dalam konteks warisan Asia mereka. Mereka akan belajar untuk menjalani satu kehidupan yang menyenangkan TUHAN tanpa kompromi, dan pada masa yang sama tidak menolak unsur-unsur baik dalam budaya suku bangsa mereka, serta budaya-budaya lain yang terdapat di sekeliling mereka.

Semoga buku ini dapat membangun satu kesedaran dan pemahaman di kalangan belia Kristian mengenai amalan agama orang-orang di sekeliling mereka. Dan semoga melalui buku ini, mereka juga belajar untuk berdiri teguh dalam iman kepercayaan mereka sendiri, tahu bagaimana untuk menilai apa yang betul daripada apa yang salah dan apa yang benar daripada apa yang palsu. Semoga mereka belajar prinsip-prinsip Alkitabiah sebagai pembimbing untuk membantu mereka mengetahui sendiri bagaimana untuk sebaik mungkin menjalani kehidupan yang menghormati TUHAN.

Yesus berkata: “Jikalau kamu tetap dalam firman-Ku, kamu benar-benar adalah murid-Ku dan kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan memerdekakan kamu.” (Yohanes 8:31-32)