Tidak ada bahagian ayat dalam Alkitab yang menampilkan kontras yang lebih jelas di antara gaya hidup orang percaya yang dipenuhi Roh dengan gaya hidup orang yang dipimpin oleh tabiat manusia berdosa, selain Galatia 5:16-26. Paulus tidak hanya membahas perbezaan gaya hidup secara umum dengan menekankan bahawa Roh dan tabiat berdosa itu saling bertentangan, tetapi dia juga mencantumkan satu senarai khusus perbuatan tabiat berdosa dan buah Roh.
Buah Roh harus dilihat bukan sebagai satu koleksi buah-buah yang tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, atau boleh diabaikan mengikut pilihan peribadi; tetapi merupakan satu gabungan kelakuan hasil daripada satu perhubungan dengan Tuhan yang hidup yang tinggal tetap dalam umat-Nya oleh Roh-Nya.
Bila kita bertumbuh dalam perjalanan rohani dan kehidupan kekristianan kita, kita harus belajar untuk lebih bertekun dalam kehidupan baru dan menjauhi kehidupan lama kita. Walaupun kehidupan lama kita telah disalibkan bersama Kristus, dan kita dikubur bersama Dia dalam pembaptisan, kita harus terus berusaha untuk tidak kembali kepada cara lama kita (lihat Roma 6).
Ini dapat dicapai jika kita bertekad dan belajar berjalan dalam Roh. Firman Allah mengatakan bahawa, “hiduplah oleh Roh, maka kamu tidak akan menuruti keinginan daging.” (Galatia 5:16)
Buku ini akan membantu kita bagaimana menerapkan Buah Roh dalam kehidupan kita secara praktikal. Semoga kita semua akan terus berjalan dalam jalan yang direstui Tuhan.
“Tetapi buah Roh ialah: kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelemahlembutan, penguasaan diri.” (Galatia 5:22-23)