Apa itu Jumaat Agung (Good Friday)?

7770

Setiap tahun sebelum umat Kristian menyambut Hari Paskah, mereka mengingati penyaliban Tuhan Yesus pada Jumaat Agung (Good Friday dalam istilah Bahasa Inggeris). Jumaat Agung mengingatkan kita semua bahawa Tuhan Yesus mati di atas Bukit Golgota untuk menebus dosa semua manusia. Ini menggenapi ayat di dalam Alkitab di mana “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (Yohanes 3:16).

Bayangkan waktu Tuhan Yesus tergantung di atas salib di bawah panas terik matahari. Badannya telah disesah dengan teruk, di mana Dia “…dihina dan ditolak manusia…” sehingga “…orang menutup muka terhadap dia…” (Yesaya 53:3). Sepanjang penderitaan-Nya di atas salib dan ketidakadilan yang Dia lalui, Dia tidak bersalah mahupun berdosa. Di dalam kesakitan dan kesengsaraan-Nya, Dia masih boleh berdoa supaya Allah Bapa akan mengampuni mereka yang menyalibkan-Nya.

Pengorbanan Yesus Kristus di atas kayu salib adalah satu-satunya pengorbanan sampai akhir, di mana Dia memenuhi tanggungjawab-Nya sebagai penghapus dosa manusia. Selalunya kita tidak pernah kaitkan perkara yang baik ataupun bagus dengan kematian. Tetapi kematian Yesus lebih 2,000 tahun dahulu telah membebaskan kamu dan saya daripada belenggu dosa. Itulah sebab umat Kristian meraikan Jumaat Agung atau Good Friday!