Apa itu Paskah?

7285

Seringkali kita melalui hidup tanpa berhenti seketika untuk berfikir beberapa soalan yang penting seperti “Bagaimanakah keadaan rohani saya sekarang?” dan “Apakah tujuan hidup saya?”

Perayaan Paskah melambangkan kemenangan Tuhan Yesus Kristus ke atas dosa dan maut, di mana Dia bangkit semula. Allah yang kita sembah adalah Allah yang hidup! Puji Tuhan atas kasih-Nya yang besar. Paskah ini, berfikir sejenak tentang erti pengorbanan Tuhan Yesus di atas salib dan kemenangan-Nya.

Biasanya, ramai orang kaitkan Hari Paskah dengan arnab, telur, dan berpesta dengan keluarga; tetapi pernahkah mereka tertanya apakah inti di belakang Hari Paskah? Hari Paskah merupakan satu peristiwa yang sangat penting dalam kehidupan seorang Kristian, di mana Yesus Kristus bangkit dari alam maut. Kebangkitan Yesus tidak dapat dinafikan, dan ia menjadi bukti yang paling kukuh untuk semua umat Kristian bahawa iman kita di dalam-Nya memang berbaloi. Ini kerana kalau Kristus tidak dibangkitkan, maka sia-sialah pemberitaan kami dan juga sia-sialah kepercayaan kamu (1 Korintus 15:14-19).

Yesus hidup semula sebagai pengganti bagi kita. Dia telah mengambil alih semua hukuman dosa yang harus kita tanggung. Kebangkitan Yesus bukan sementara sahaja tetapi untuk selamanya, dan ia memberikan keyakinan kepada anda dan saya bahawa apabila waktu kita sudah tamat di dunia ini, roh kita akan pulang ke pangkuan Allah di syurga. Ini kerana Yesus telah janjikan bahawa barangsiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa tetapi memperoleh kehidupan yang kekal (Yohanes 3:16).

Semoga Hari Paskah ini akan menjadi satu permulaan yang baru untuk kamu dan saya. Marilah kita maju ke hadapan dengan penuh keyakinan bahawa kita telah menerima anugerah hidup yang kekal kerana kita percaya kepada Yesus Kristus, Tuhan dan Allah kita!