Ada beberapa tahap dalam kehidupan ini yang dipenuhi dengan banyak tekanan, bukan sahaja dari segi fizikal dan mental,tetapi juga penuh dengan pergumulan emosi, sosial dan rohani. Semasa kita melangkah ke alam berdikari, kita berhadapan dengan rasa ragukan diri dan perasaan serba kekurangan dalam usaha mencapai identiti diri. Pada masa yang sama pergumulan juga terjadi ketika pola-pola kelakuan baru diuji dan sistem pemikiran yang berlainan dicuba.
Tidak cukup dengan itu, di saat kita berusaha untuk memiliki sikap yang positif dan terpuji, kita juga dihadapkan dengan cara bagaimana kita mengendalikan lidah. Jenis kata-kata yang keluar daripada mulut kita dipengaruhi serta dibentuk oleh nilai-nilai masyarakat. Ramai belia Kristian ̳berdwi bahasa‘: satu bahasa yang digunakan di gereja dan satu bahasa yang digunakan di luar gereja! Kebanyakan mereka tidak menyedari bahawa cara mereka menggunakan lidah mereka boleh mendatangkan akibat-akibat yang mendalam bagi kehidupan rohani mereka serta orang-orang di sekeliling mereka.
Alkitab menggambarkan lidah sebagai api dan mengatakan bahawa lidah itu ― sesuatu yang buas, yang tak terkuasai, dan penuh racun yang mematikan‖ (Yakobus 3:8a). Pernahkah anda merasai kebenaran ayat itu – mengalami kehangatan yang datangnya daripada lidah; pernah merasakan kepahitan kata-kata atau ejekan yang menyakitkan; atau menyaksikan kehancuran yang dialami seseorang disebabkan oleh kata-kata cuai?
Sebab itulah cara kita bersikap dan bercakap, adalah seperti rentak pukulan bambu ketika persembahan tarian magunatip suku kaum Murut dimainkan. Sebagai anak-anak Tuhan, kita harus dapat menjaga sikap kita dan mengendalikan lidah kita. Orang lain dapat menilai cara kita menjalankan kehidupan sebagai seorang Kristian; dan pada masa yang sama, kata-kata membina dan positif yang datang daripada lidah yang terkawal akan membuat mereka tertarik dengan apa yang kita percayakan.
“Janganlah ada perkataan kotor keluar dari mulutmu, tetapi pakailah perkataan yang baik untuk membangun, di mana perlu, supaya mereka yang mendengarnya, beroleh kasih karunia.” (Efesus 4:29)