Obor Belia Buku 4: Sepuluh Hukum

2417

Kita sering mendengar orang berkata, “Bagi kamu, hal ini salah tetapi bagi saya perkara seperti ini tidak salah,” atau “Saya berhak melakukan apa yang berkenan kepada hati saya, saya tidak peduli apa yang dikatakan oleh orang lain.” “Simpan saja pendirian moralmu untuk dirimu sendiri.” Berapa pemuda-pemudi Kristian di Malaysia akan menanyakan diri sendiri, apakah yang dikatakan oleh Sepuluh Hukum? Bagaimanakah saya menerapkan Sepuluh Hukum dalam hidup saya?

Sekalipun Sepuluh Hukum diberikan oleh Tuhan hampir 3,500 tahun yang lalu, prinsip-prinsip yang diberikan oleh Tuhan tidak pernah berubah. Sepuluh Hukum diberikan oleh Tuhan untuk belia pada masa kini bukan untuk dihafal sahaja tetapi untuk diterapkan dalam kehidupan sehari-harian.

Imamat 19:1-2 memberi sebabnya Tuhan memberi kita Sepuluh Hukum, “Tuhan menyuruh Musa memberitahu umat Israel, ‘kamu harus suci kerana Aku Tuhan, Allahmu adalah suci.’” Sepuluh Hukum menggambarkan peribadi Tuhan yang suci dan sebagai anak-anak Tuhan kita juga harus hidup kudus.

Sepuluh Hukum tidak diberikan oleh Allah untuk menghukum kita! Sepuluh Hukum ini adalah sebahagian daripada rancangan Tuhan yang dapat membimbing manusia untuk hidup suci sesama manusia dan Tuhan. Mengapakah kita berkata Sepuluh Hukum ini sebahagian daripada rancangan Tuhan yang penuh kasih sayang? Allah, Pencipta kita yang bijak tahu bagaimana cara hidup yang terbaik. Dia telah menggariskan corak kehidupan yang terbaik untuk kita.

Di sesi terakhir nanti, anda juga akan mempelajari bagaimana Tuhan Yesus mentafsir Hukum yang keenam dan ketujuh dan tafsiran-Nya mengenai seluruh hukum Allah. Anda akan memahami apakah dua hukum yang menggenapi seluruh hukum Tuhan.

“Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu. Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenung peraturan-Mu.” (Mazmur 119:47-48)