Damai Di Tengah Badai

2930

“Semuanya itu Ku katakan kepadamu, supaya kamu beroleh damai sejahtera dalam Aku. Dalam dunia kamu menderita penganiayaan, tetapi kuatkanlah hatimu, Aku telah mengalahkan dunia.”(Yoh 16:33)

Suatu ketika dulu sebuah galeri seni di Amerika Syarikat telah mengadakan satu pertandingan melukis dengan tajuk, “Damai”. Keputusan pemenang pertandingan itu sangat mengejutkan. Lukisannya ialah tentang laut yang bergelora dilanda angin badai yang dahsyat. Langitnya gelap, kilat sabung-menyabung, dan ombak menghempas tebing cenuman pantai. Di manakah damai itu? Orang harus melihat dua kali untuk memahami apa yang sedang berlaku. Nun di pertengahan tebing, adalah sebuah sarang burung di lubang kecil di dalam batu. Seekor burung sedang duduk di sarang dengan anak-anaknya yang sedang tidur lena di bawah kepak sayap ibunya! Itu adalah damai.

Jadi, damai bukanlah ketiadaan ribut tetapi dapat berehat tenang di tengah-tengah badai. Bagi orang Kristian di Malaysia, 2014 merupakan tahun yang penuh dengan pertempuran ke atas Kitab Suci kita. Rampasan Alkitab, Bup Kudus dan buku-buku Kristian, termasuklah buku hymnal Kristian di Johor, ditambah dengan ancaman gila untuk membakar Alkitab, telah membawa kita tidak sampai ke mana-mana dalam penyelesaian isu Allah.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila dilaporkan polis telah mengganggu dan mengarah berhenti perjalanan kebaktian sebuah gereja di Bangi pada 2 Disember. Kebanyakan jemaat adalah orang Indonesia. Tidak diketahui adakah masalah itu terkait dengan penggunaan kata “Allah” tetapi kebaktian memang dijalankan dalam Bahasa. Apa yang membingungkan ialah pelaksanaan tugas dilakukan oleh polis, bukan majlis bandaraya setempat. Dikatakan isunya adalah tahap bunyi yang bising dan penggunaan rumah kedai sebagai gereja.

Alkitab dan Bup Kudus Iban yang disita akhirnya dikembalikan pada 14 November. Walau bagai-manapun, semua buku telah dicap dengan amaran mereka tidak boleh diterbitkan dan digunakan di mana-mana bahagian di dalam Negeri Selangor. Secara teknikal, Alkitab telah diharamkan di Selangor. Banyak orang Kristan yang berbahasa-Malaysia merasa dianiaya. Majoriti daripada mereka adalah dari Sabah dan Sarawak. Pada masa yang sama, golongan pelampau pula bersemangat memusnahkan sepanduk Natal dan mengharamkan ucapan mudah seperti “Merry Christmas.”

Walaupun setiap masyarakat mempunyai isu-isu suku, kaum dan agama, keadaan di Malaysia adalah berbeza kerana ia seolah-olah direstui oleh pihak berkuasa yang bahkan menimbulkan ketegangan untuk tujuan politik. JAKIM telah mengarahkan masjid di seluruh Malaysia untuk menyatakan (tanpa memetik apa-apa bukti) bahawa Islam “kini terancam,” bahawa orang Kristian dan Yahudi adalah “musuh-musuh Islam,” dan orang Kristian bertanggungjawab membatu-apikan umat Islam serta memperdayakan mereka agar mereka kehilangan hak.

Pada masa yang sama, tidak ada siasatan dibuat bagi banyak aduan polis mengenai pengislaman dan diskriminasi di sekolah-sekolah serta rumah-rumah panjang di Sabah dan Sarawak. Malah mandan PM kita juga menegaskan bahawa orang Kristian tidak mempunyai “hak” untuk menggunakan perkataan “Allah”.

Wawasan Penabur juga mempunyai cabarannya tersendiri. Aduan kepada KDN oleh seorang lelaki Melayu mengenai Alkitab Kanak-Kanak kami menyebabkan aktiviti kami terpaksa dihentikan seketika kerana pegawai KDN mahu memeriksa premis kami. Tuhan menyelamatkan kami pada hari itu kerana semua staf berada di Kuching apabila 5 pegawai KDN datang ke pejabat kami. Isu itu “selesai’ selepas pertemuan dengan mereka untuk menerangkan bahawa Alkitab Kanak-Kanak (yang menggunakan perkataan “Allah”) adalah untuk umat Kristian di Sabah dan Sarawak, tidak untuk diedarkan kepada orang Melayu. Pada masa yang sama, satu banjir kilat di KK telah memusnahkan stok kami, dan kebocoran air dari paip lama dalam gudang memusnahkan ribuan naskah buku kami. Semua ini berlaku dalam tempoh seminggu di bulan Ogos!

Sebagai sebuah bangsa, apa yang boleh kita jangkakan pada 2015?

Ketika kita mendoakan golongan sederhana untuk bangkit, ramai yang percaya 2015 akan terus menjadi suatu masa yang mencabar bagi orang Kristian di Malaysia. Golongan minoriti terutamanya Kristian, akan terus menjadi sasaran kumpulan pejuang hak-hak orang Melayu seperti PERKASA dan ISMA. Kesan daripada isu “Allah”akan berterusan, walaupun jaminan oleh pihak berkuasa bahawa keputusan mahkamah adalah terhad kepada akhbar The Herald sahaja. Hak perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama diabaikan, bahkan oleh mereka yang sepatutnya mempertahankan hak-hak tersebut. Agama akan terus dijadikan alat dalam usaha untuk terus berkuasa di Malaysia.

Bagaimana kita harus bergerak pada tahun 2015? Di kala tajuk-tajuk berita utama terus dipenuhi dengan cabaran baru dan banyak hati yang dibebani dengan kebimbangan dan ketakutan, marilah kita mempertimbangkan damai yang luar biasa yang ditawarkan di dalam Mazmur 46.

Empat kali dalam mazmur pendek ini yang mengingatkan kita bahawa Allah menyertai kita walaupun di masa yang terburuk. Tuhan mahu menyediakan kita untuk menghadapi taufan yang akan datang, dan mengingatkan kita bahawa Dia ada di tengah-tengah badai.

2   Allah perlindungan dan kekuatan kita;
Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.
3 Oleh itu, kita tidak akan takut, walaupun bumi gempa dan
gunung-gunung jatuh ke dasar laut;
4 walaupun laut mengamuk dan bergelora,
dan gunung bergoncang dengan kuatnya.
5 Ada sebatang sungai yang menggembirakank Kota Allah,
tempat kediaman Allah Yang Maha Tinggi.
6   Allah tinggal di situ, kota yang tidak akan dimusnahkan,
ketika masih subuh, Dia akan datang menolongnya.
7 Bangsa-bangsa ketakutan, kerajaan-kerajaan gentar;
ketika Allah menguntur, bumi pun lebur.
8 TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita,
Allah Yakub melindungi kita.
9   Mari, lihatlah apa yang dilakukan TUHAN.
Lihatlah, perbuatan Allah di bumi sangat menakjubkan.
10 Dia menghentikan perang di seluruh dunia; Dia mematahkan
busur, memusnahkan lembing, dan membakar perisai.
11 Dia berfirman, “Diamlah dan ketahuilah bahawa Aku ini Allah,
yang agung antara bangsa-bangsa dan di seluruh bumi.”
12 TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita.
           Allah Yakub melindungi kita.                         (Berita Baik)

“Allah perlindungan dan kekuatan kita; Dia selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan.” Lebih sukar sesuatu keadaan, lebih besarlah kehadiran-Nya. Pemazmur mengatakan, “Oleh itu, kita tidak akan takut, walaupun bumi gempa dan gunung-gunung jatuh ke dasar laut; walaupun laut mengamuk dan bergelora, dan gunung bergoncang dengan kuatnya.” Banyak perkara boleh runtuh, bahkan perkara-perkara yang sentiasa ada bagi kita. Tetapi janganlah takut kerana “Allah adalah perlindungan dan kekuatan kita.”

“Ada sebatang sungai yang menggembirakan Kota Allah, tempat kediaman Allah Yang Maha Tinggi.” (ayat 5). Tuhan hidup di dalam mereka yang menjadi umat-Nya melalui iman di dalam Yesus. “Allah tinggal di situ … Dia akan datang menolongnya. Bangsa-bangsa ketakutan, kerajaan-kerajaan gentar… TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita, Allah Yakub melindungi kita.” (ayat 6-8). Walaupun segala-galanya seolah-olah akan mencair, Tuhan berkata, “Diamlah dan ketahuilah bahawa Aku ini Allah.”

Kita perlu belajar untuk meletakkan harapan kita kepada Tuhan, bukan manusia. Menurut Baru Bian, seorang peguam kanan dari Sarawak, keputusan mahkamah mengenai isu kontroversi Allah melampaui The Herald. Ia sebenarnya meliputi Sabah dan Sarawak, walaupun adanya “jaminan” daripada Kerajaan Persekutuan. Implikasi daripada keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara tidak langsung telah menyatakan Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa kata “Allah” hanya untuk orang Islam. Perlembagaan itu adalah undang-undang tertinggi di negara ini dan ia meliputi kepada semua; termasuk Sabah dan Sarawak. Tidak ada seorang pun, bahkan Parlimen sendiri, apatah lagi Kerajaan, mempunyai kuasa untuk menyekat perlembagaan.

Keputusan Mahkamah Tinggi mengenai isu Allah itu mungkin tidak betul. Tetapi ini adalah undang-undang yang sebagaimana adanya. Sehinggalah atau melainkan mahkamah menterbalikkan keputusan yang telah dibuat, ini adalah undang-undang yang mengawal isu tersebut. Dalam menghadapi undang-undang ini, penyelesaian dasar eksekutif 10-Perkara tidak mempunyai apa-apa nilai. Undang-undang “Allah” itu terpakai di seluruh Malaysia dan tidak ada apa-apa yang Kerajaan boleh lakukan.

Dan ada implikasi lain kepada masalah ini: orang Kristian dari Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung sudah biasa berdoa mengikut cara yang mereka lakukan di Sabah dan Sarawak. Tambahan pula ada ramai orang Kristian yang berasal dari Indonesia. Kesemua mereka, termasuk yang bukan berwarganegara Malaysia, mempunyai hak kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Tetapi keputusan mahkamah telah menyempitkan hal ini. Dari perspektif tertentu, mahkamah telah pun meniadakan hak itu, iaitu sesuatu yang menurut Borneo Evangelical Mission Sarawak, adalah “perkara yang paling penting dalam kehidupan kami”.

Tetapi masa yang mencabar juga adalah masa yang paling mengujakan.

Kembali kepada lukisan tadi, sama seperti burung kecil mendapat tempat persembunyian di celah tebing batu itu, kita juga mempunyai tempat perlindungan di dalam Yesus Kristus, Gunung Batu kita. Salib-Nya adalah suatu korban untuk dosa-dosa kita, dan kubur-Nya yang kosong menjanjikan kebangkitan kita. Namun kita tidak dijanjikan suatu hidup tanpa badai. Malah kita tahu bahawa kejahatan sentiasa hadir di dunia ini, seperti yang diwakili oleh imej yang ngeri dalam lukisan itu. Kita boleh menjadi pemenang melalui salib itu, kerana “Roh yang ada di dalam kamu, lebih besar daripada roh yang ada di dalam dunia” (1 Yoh 4: 4). Hanya dalam Kristus, kita boleh mempunyai damai ketenangan di tengah badai.

 

(Diambil dari Berita Rakan Penabur, Q4 2014)