Bunyi Bising Dari Banyak Suara

2001

Apabila ditanya siapakah Willfinger, kakitangan Sekolah Tinggi Teologi Willfinger (STTW) di Kampung Baru di Krayan menjawab, “Orang ini telah mati untuk bangsa kami”. 98% daripada penduduk di Krayan adalah Lun Dayeh Kristian. Pada asalnya mereka dipanggil sebagai Murut. Kemudian mereka dinamakan Lun Bawang di Sarawak, dan suku Lun Dayeh di Sabah dan Indonesia.

 

Bagi penduduk tempatan, sejarah gereja Kristian sangat berkait rapat dengan seorang lelaki yang bernama John Francis Willfinger, yang dengan sukarela memberikan nyawanya kepada orang-orang yang dia kasihi.

John Francis Willfinger (1910-1942) adalah seorang mubaligh Amerika yang datang ke Borneo pada tahun 1938. Apabila Charles Hudson Southwell, pengasas Borneo Evangelical Mission, melayani di Sarawak, Willfinger melayani di kalangan suku Murut dan suku Dayak yang lain di Timur Laut Kalimantan.

Dia telah menulis di dalam diarinya tentang “bunyi bising dari banyak suara” yang bergema di hutan rimba Borneo apabila dia mula-mula tiba di sebuah kampung Dayak yang terpencil. Masa itu ialah Paskah tahun 1939. Sekumpulan orang Dayak menyambut kedatangan mubaligh baru itu untuk perayaan Paskah dalam nyanyian! Willfinger beribadah bersama 700 orang Kristian Dayak dalam perayaan Paskah tersebut, dan membaptis 108 orang yang baru percaya. Dia menulis bahawa orang –orang itu telah “mendapat tempat di hatiku…tiada yang terlalu sukar untuk membawa mereka lebih dekat kepada Kristus.”

Dia seorang terpelajar yang cekap dalam bahasa. Dia mempe-lajari bahasa Melayu dan Murut dan memperoleh kepercayaan dari orang Dayak. Ini membolehkannya untuk berkhotbah kepada jumlah jemaah yang besar. Dia mencurahkan seluruh jiwa dan raganya supaya orang dapat mengetahui damai dan sukacita dalam Kristus. Dia kemudiannya bekerja keras untuk menterjemah Kitab Suci ke dalam bahasa tempatan. Kebangunan rohani terjadi, diikuti dengan kerja-kerja mukjizat yang melanda rumah-rumah panjang serta kampung-kampung di Meratang dan Krayan.

Di tahun-tahun berikutnya Willfinger melayani tanpa mengenal penat lelah. Bahkan ketika menyeberangi laluan lasak untuk mencapai kampung-kampung baru, dia membawa bersamanya mesin taip untuk menterjemah Kitab Suci dan puji-pujian ke dalam bahasa Murut. Dengan rasa terdesak yang hebat, Willfinger menterjemahkan Injil Matius dan Markus. Kedua-dua Injil Murut ini kemudian diterbitkan oleh British and Foreign Bible Society.

Tetapi perubahan berlaku pada 8 Mac, 1942. Selepas Jepun menakluki Borneo, mereka mengarahkan semua mubaligh untuk keluar dari kawasan pedalaman untuk menyerah diri. Perintah itu ditambah dengan “sesiapa yang cuba membantu [para mubaligh ini] akan dihukum.” Ini bermakna ramai kawan yang cuba menyembunyikan Willfinger juga akan dihukum. Menyembunyikan dia akan membuat mereka berbohong kepada tentera Jepun. Dia berkata, “Saya datang ke sini bukan untuk ‘menyeret orang ke dalam dosa’ dengan berdusta.” Dia tidak akan berbuat demikian walaupun nyawanya terancam! Dia pun menyerahkan dirinya kepada Jepun dan diseksa selama 2 bulan. Pada malam Krismas 1942, ketika dia baru berusia 32 tahun, dia dibawa keluar dari khemah tahanan dan dipancung 4 hari kemudian.

Hati orang yang belum percaya juga telah tersentuh oleh perbuatan mubaligh Amerika ini yang sanggup memberikan nyawanya demi untuk menyelamatkan mereka. Ini membuka hati mereka untuk memahami pengorbanan Yesus sendiri. Meratang dan Krayan kemudian menjadi kubu kuat Kerajaan Syurga.

Kisah hidup John Willfinger ini benar-benar bermula dengan kematiannya. Dua tahun selepas dia dibunuh, di penghujung Perang Dunia Kedua, sekumpulan juruterbang Amerika telah ditembak jatuh di kawasan hutan di Borneo. Mereka jatuh di dalam hutan “para pemotong kepala”, salah satu tempat yang paling ditakuti oleh orang luar ketika itu. Tetapi satu perkara yang aneh berlaku. Apabila suku Dayak memburu dan menemukan mereka di dalam hutan, mereka ternampak lencana bendera Amerika yang dijahit pada pakaian juruterbang tersebut. Mereka segera mengetahui bahawa orang-orang ini adalah dari negara yang sama dengan Willfinger, yang telah memberikan hidupnya kepada suku mereka tidak lama yang lalu. Anda boleh membaca cerita ini dari buku Judith Heimann, The Airmen and Headhunters, atau menonton dokumentari itu di Youtube (https://www.youtube.com/watch?v=FSvGzOHolcU).

Selepas Perang Dunia Kedua, gereja terus berkembang selama bertahun-tahun di Kalimantan dan Sarawak, dengan sedikit atau tidak ada pengaruh dari mubaligh barat. Ketika gereja berkembang, orang Kristian tempatan mula melakukan kerja-kerja penginjilan dan pengajaran seperti yang pernah dilakukan oleh mubaligh asing. Sebuah sekolah Alkitab pedalaman telah dilahirkan di Kampung Baru, yang berdedikasi untuk mengajar dan melatih anak-anak muda dari seluruh pulau sebagai pastor, pemimpin gereja dan penginjil, supaya mereka boleh membawa Injil kepada suku-suku yang tinggal di kawasan pedalaman di Indonesia. Sekolah Alkitab yang juga berfunsi sebagai sekolah menegah untuk pendidikan Kristian itu dinamakan sempena John Francis Willfinger.

Sehingga hari ini, ramai orang Kristian yang beriman teguh dalam masyarakat dan di seluruh kawasan itu mengaitkan contoh iman Willfinger sebagai permulaan sejarah gereja Kristian di utara Kalimantan. Mereka begitu bersemangat untuk bercakap tentang impak signifikan kehidupan dan kematian Willfinger dalam masyarakat mereka hingga ke hari ini.

Tujuh puluh dua tahun kemudian, kisah ini masih belum selesai. Ia ditulis dengan “dakwat yang kelihatan” di kehidupan jiwa-jiwa yang telah diselamatkan dan “dakwat yang tidak kelihatan” di puluhan ribu jiwa yang telah ditebuskan. Walaupun suara John Willfinger telah disenyapkan, “bunyi bising dari banyak suara” masih bergema di hutan belantara Borneo. Lagu pujian yang telah diterjemahkan olehnya masih dinyanyikan dan terus menyentuh banyak jiwa dalam kebanguan rohani yang masih berterusan. Dia akan terus diingati oleh suku Lun Dayeh/Lun Bawang ketika mereka menyembah Tuhan, menyanyikan lagu pujian yang diterjemahkannya. 

 

(Diambil dari Berita Rakan Penabur, Q4 2014)