Setiap Generasi Harus Diinjili

1962

       Allah tidak mempunyai cucu. Tidak kira adakah kita generasi Kristian yang kedua, ketiga atau keempat, kita harus mempunyai pengalaman peribadi dengan Tuhan. Dua tahun lalu saya berada di suatu kebaktian mendengar khotbah seorang pastor yang berkarisma. Teksnya diambil dari Yohanes 3:16. Dia adalah generasi ketiga Kristian dan generasi pastor yang ketiga dalam keluarganya. Mendiang datuknya seorang pastor. Bapanya masih melayani sebagai pastor. Dia berkata, “Ramai di antara kita yang dari Sabah & Sarawak telah menjadi Kristian sejak lahir. Kita tidak perlu berdoa menerima Tuhan seperti yang dilakukan oleh mereka yang baru percaya. Bagi kita yang lahir dalam keluarga Kristian, kita sudah menjadi orang yang percaya dan kelahiran kedua kita ialah apabila kita dibaptiskan di dalam air.”

Itu membuat saya melihat bendera merah! Jika seorang pemimpin gereja sendiri berpendapat bahawa dia adalah cucu atau cicit kepada Tuhan, dia harus diinjili sekali lagi! Setiap generasi harus diinjili!

Ada satu lagi masalah yang dihadapi oleh umat Kristian di Sabah & Sarawak: isu pengislaman dan masuk agama lain yang dilihat sebagai satu norma dalam kehidupan. Sebab itulah pencerobohan iman begitu berjaya sehingga kita tidak melihat ia sebagai satu ancaman (semata-mata kerana hampir dalam setiap keluarga Kristian, mereka mempunyai rakan-rakan, saudara mara atau ahli keluarga yang telah masuk ke agama tersebut). Kita mendakwa itulah 1Malaysia yang sebenarnya – di mana kita bangga kita boleh hidup harmoni di bawah satu bumbung walaupun setiap hari iman kita dikikis sedikit demi sedikit oleh ‘agama dominan’! Kita seperti katak di dalam periuk yang dimasak dengan api yang kecil. Bila kita mula sedar, ia sudah terlambat! Setiap generasi harus diinjili!

Kebangkitan & Kebangunan Rohani

Itulah sebabnya kita perlu melipatgandakan doa kita untuk kebangkitan (awakening) dan kebangunan rohani (revival) di negara ini. Ada sarjana yang mentakrifkan kebangunan rohani sebagai sesuatu yang bermula dalam sekumpulan orang yang sudah ada pengetahuan tentang iman kekristianan; manakala kebangkitan pula ialah untuk orang-orang yang tanpa pengetahuan tersebut. Kebangunan rohani adalah keperluan Gereja yang telah kehilangan “cinta pertama” mereka dalam Kristus; sementara kebangkitan adalah untuk orang yang belum kenal Tuhan. Bagaimanapun kedua-duanya mempunyai hubungan yang erat di dalam Alkitab dan sejarah gereja, kerana kebangunan rohani selalunya akan membawa kepada kebangkitan rohani.

Kita rindukan kebangkitan dan kebangunan rohani di awal 1970-an di kalangan orang-orang Kelabit di Bario, Lun Bawang di Ba Kelalan, dan Dusun di Taginambur dan Ranau. Kemudian ada gelombang kedua kebangunan rohani di Ba Kelalan dan Taginambur di pertengahan 1980-an. Kelahiran kedua saya (di mana saya mengaku dosa-dosa saya, memberi hidup saya kepada Tuhan, dan mengalami kebangunan rohani walaupun saya telah ke gereja sejak berumur 6 tahun. Ketika itu saya berumur 17 tahun) banyak dipengaruhi oleh kebangunan rohani di Ba Kelalan apabila sekumpulan wanita Lun Bawang datang ke pekan saya di Sabah untuk berkongsi Injil pada tahun 1984. Setiap generasi harus diinjili!

Tidak ada istilah revival dalam Alkitab, walaupun dengan mudah ia dapat dipertahankan sebagai satu konsep alkitabiah. Istilah ini terdiri daripada dua kata, “re” dan “vival“. Kata pertama bermakna “sekali lagi”, dan yang kedua datang daripada kata kerja “untuk memberi hidup”. Jadi kebangunan rohani membayangkan sesuatu yang telah mati dan diberi kehidupan semula. Kata kerja ‘revive’ (memulihkan) diertikan sebagai “kembali kepada kehidupan selepas satu kematian yang jelas; diperbaharui atau disegarkan” (Kamus Webster). Ia adalah masa pilihan Allah di mana Allah melawat sesuatu bangsa, daerah, atau suatu negeri, di mana kehadiran Allah dinyatakan di bumi. Ia adalah masa untuk Gereja kembali kepada cinta pertamanya.

Belajar Kebangunan Rohani dari Yosia
2 Raja-Raja bab 22 mencatatkan semasa pengumpulan wang untuk kerja-kerja pemulihan Bait Allah, Imam Besar Hilkia menemukan Kitab Taurat Musa yang telah hilang. Lalu dia serahkan kitab itu kepada Safan si Jurutulis. Itulah keadaan Yehuda pada masa itu. Firman Allah telah hilang! Dan kini ia telah ditemui!

Kitab itu kemudiannya dibawa kepada Raja Yosia, dan Safan membacanya di hadapan Raja. Setelah Raja mendengar Firman Tuhan, dia mengoyakkan pakaiannya, dan menyatakan penyesalan tidak terhingga akan keadaan Yehuda pada masa itu. Firman Allah dan doa adalah prasyarat kepada kebangunan rohani. Nubuatan telah diberikan dan penghakiman akan segera dilaksanakan ke atas umat Tuhan. Namun, rahmat Allah juga mempertimbangkan pertaubatan sebenar. Dia melihat kerendahan hati yang penuh penyesalan, serta tangisan pertaubatan. TUHAN mendengar dan TUHAN memberkati. Itulah permulaan kebangunan rohani nasional bagi Yehuda.

Pelajaran dari kebangunan rohani besar ini adalah ia mula mengalir dari pembacaan dan penerapan Firman Allah. Prasyarat dalam mana-mana kebangunan rohani adalah penerimaan dan ketaatan sepenuh hati terhadap Firman Allah. Yosia berusia 8 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia berumur 26 tahun apabila kebangunan itu datang.

Tanda-Tanda Kebangunan Rohani

Setiap kebangunan rohani ditandai dengan umat Allah kembali kepada doa, memperbaharui kesungguhan untuk kehidupan kudus, serta haus akan Firman Allah dan pekerjaan-Nya. Ia mungkin bermula dari satu pertemuan kecil, dan mungkin berlaku secara serentak di beberapa tempat. Ia boleh tersebar melalui kuasa Roh Kudus, atau oleh mereka yang telah mengalaminya. Ia boleh melanda komuniti belum percaya dengan kuasa yang menakjubkan, sehingga ratusan dan ribuan orang mencari Tuhan seolah-olah didorong oleh satu kuasa yang tidak kelihatan (Brian Mills, Preparing for Revival, 1990, ms 49-50)

Pada suatu saat gereja harus memasuki peringkat kebangkitan yang seterusnya – iaitu kebanguan rohani yang sebenar, masa tuaian jiwa. “Ramai yang menjadi orang-orang beriman yang baru, manakala orang-orang Kristian pula memasuki kepenuhan iman yang lebih dalam lagi. Mereka yang telah tinggalkan iman ditebus semula, yang skeptis dan mencari Tuhan menjadi percaya. Malah pendeta dan pelayan Tuhan juga mula mendakwa bahawa mereka tidak tahu apa-apa tentang kuasa Allah sehinggalah mereka bertemu dengan Allah di tengah-tengah keadaan tersebut.” (Richard Riss, Renewal or Revival? 1996). Setiap generasi harus diinjili!

Kebangunan rohani yang sebenar tidak boleh diam di suatu tempat sahaja. Ia adalah seperti api yang dibawa oleh angin – bunga api yang akan menyalakan rumput dan kayu kering di mana saja ia bertiup. Ia mudah merebak, kadang-kadang sangat pesat. Di tahun 1984-86, beberapa orang kawan saya datang sendiri ke Ba Kelalan dan membawa balik api kebangunan rohani. Dan mereka pergi ke tempat-tempat lain dengan membawa api tersebut bersama mereka. Suhu rohani pada masa itu pasti telah naik beberapa darjah oleh pencurahan besar Roh Kudus. Teman-teman Katolik juga mengalami kelahiran kedua. Generasi saya telah diinjili.

Halangan Untuk Kebangunan Rohani Berterusan
Tetapi mengapa kadang-kadang apabila Allah telah campur tangan dengan berkuasa sekali, ia hanya berlangsung dalam masa yang singkat? Kebangunan rohani di Afrika Timur berterusan selama beberapa dekad, tetapi di tempat lain hanya untuk beberapa tahun. Adakah walaupun dalam kedaulatan-Nya Allah sahaja yang boleh melahirkan kebangunan rohani, manusia boleh menghentikannya? Kekurangan pengajaran yang alkitabiah menyumbang kepada kebangunan rohani yang berhayat pendek. Pengalaman datang dan pergi, tetapi Firman Tuhan berdiri selama-lamanya. Oleh itu, kita harus memuridkan generasi muda kita dengan Firman Tuhan. Alkitab Kanak-Kanak adalah salah satu alat yang baik. Setiap generasi harus diinjili!

Firman tanpa Roh, anda akan memperlahankan.
Roh tanpa Firman, anda akan merosakkan.
Tetapi Firman dan Roh bersama, anda akan bertumbuh.

Sejarah juga menunjukkan sejurus roh bersaing merangkak masuk di kalangan pemimpin, kebangunan rohani mula mati. Berkait rapat dengan roh pesaing adalah keangkuhan dan rasa “pemilikan” kebangunan tersebut. Apabila ada pemimpin yang mula berfikir bahawa kumpulan mereka adalah alat utama yang diguna oleh Tuhan, dan mungkin cuba untuk mengawal orang lain supaya tetap berada di dalam lingkungan mereka, Tuhan akan samada beralih kepada kumpulan yang lain atau membiarkan pergerakan kebangunan itu mati.

Jadi, ketika kita bersungguh-sungguh berdoa untuk satu lagi kebangunan rohani di negara ini, mari kita renungkan apa yang di tulis oleh Bill Bright dalam bukunya, The Coming Revival (1995): “Siapakah yang bertanggungjawab untuk kebangunan rohani? Tuhan atau manusia? Adakah kita bekerja supaya kebangunan rohani naik atau berdoa agar kebangunan rohani turun? Allah berkuasa atas segala manusia dan bangsa. Semua dalam penciptaan adalah di bawah kawalan-Nya. Bagaimanapun, Dia telah memilih untuk memberi anak-anak-Nya keistimewaan bekerja bersama-sama dengan Dia untuk membawa ‘Berita Baik’ kasih dan pengampunan dalam Kristus kepada dunia. Dia telah mengamanahkan manusia suatu peranan yang penting dalam menyiapkan jalan untuk kebangunan rohani. Apa sahaja yang Tuhan suruh anda lakukan, Dia akan memberikan anda kuasa dan keupayaan untuk melakukannya”.

Semoga kita juga melihat kepentingan meletak-kan Firman Tuhan di tangan anak-anak (dan belia) kita. Semoga Allah memberikan kepada kita, penulis dan pembaca, beberapa pemikiran di hati supaya kita dapat benar-benar berdoa, “Kiranya perbuatan besar itu Kau ulangi dan Kau nyatakan di zaman kami ini” (Habakuk 3:2).

Ingatlah: Setiap generasi harus diinjili!

(Artikel ini diambil dari Berita Rakan Penabur, Q2 2012)