Perjalanan Hidup Seorang Anak Kristian

4279

Memperkenalkan Esther and Joshua… mereka mewakili majoriti Kristian berbahasa Malaysia dari Sabah dan Sarawak. Ketika mereka masih kecil, mereka tidak ada pilihan selain daripada belajar di TASKA, TABIKA dan TADIKA kelolaan KEMAS. Di sana mereka diajar tentang Tuhan dan cara berdoa oleh ustazah. Nilai-nilai agama rasmi telah diterapkan kepada mereka sejak mereka berusia 2 tahun. Hanya sekali dalam seminggu mereka berkesempatan untuk belajar tentang Musa, Daud dan Yesus apabila mereka ke Sekolah Minggu. Itupun kalau ibu bapa mereka bawa mereka ke gereja.

Dari Tadika ke Sekolah Rendah
Selepas TADIKA, mereka masuk ke sekolah rendah tempatan. Di sana mereka belajar tentang Islam dan sumbangan bangsa serta parti politik tertentu dalam pembentukan bangsa Malaysia dalam kelas Sivik dan Kajian Tempatan mereka. Walaupun Esther seorang Iban dan Joshua seorang Dusun, mereka tidak dapat ambil Bahasa Iban atau Kadazan sebagai subjek elektif mereka. Sebaliknya mereka harus belajar Bahasa Arab. Beberapa ibu bapa komplain tetapi mereka diberitahu oleh Guru Besar tidak ada guru Bahasa Iban atau Kadazan walaupun mereka tinggal di komuniti Iban dan Dusun! Ustaz dan ustazah dari Semenanjung juga mengajar mereka Jawi, J-Qaf dan ayat-ayat dari Al-Quran.

Alam Sekolah Menengah
Selepas 6 tahun di sekolah rendah, mereka masuk ke sekolah menengah. Untuk 5 tahun berikutnya, mereka belajar lebih mendalam tentang Islam dan sumbangan bangsa serta parti politik tertentu di Malaysia melalui Kurikulum Baru Sejarah. Ibu bapa mereka kata sejarah yang mereka belajar lain daripada apa yang mereka belajar dulu. Bangsa lain juga terlibat dalam perjuangan kemerdekaan Malaysia. Tapi Esther dan Joshua tidak tahu apa yang ibu bapa mereka katakan. Mereka hanya tahu apa yang diajar dalam kelas Sejarah mereka.

Di Tingkatan 4, mereka belajar tentang sejarah Gereja. Tapi agama Kristian digambarkan sangat negatif sekali. Mereka belajar tentang Zaman Kegelapan di Eropah, di mana Gereja hanya tahu mengekploitasi sumber-sumber alam bangsa lain, menjajah mereka kemudian membiarkan bangsa pribumi yang dijajah dalam kemiskinan.

O ya, ada subjek elektif yang mereka dipaksa ambil – Tasawur Islam. Ada beberapa guru Kristian yang cuba memulakan Bible Knowledge sebagai satu subjek, tetapi beberapa bulan kemudian guru itu ditukar ke tempat lain dan usaha itu terbengkalai. Selepas SPM, mereka belajar dengan lebih mendalam tentang tamadun Islam dan Melayu dalam Sejarah Tingkatan 6 mereka. Sejarah adalah subjek wajib lulus untuk SPM dan STPM. Jadi mereka harus tahu sejarah Malaysia dan Islam untuk lulus!

Sekarang mereka lebih tahu tentang Islam daripada agama mereka. Sangat susah untuk mendapatkan Alkitab. Ada teman- teman Joshua yang terpaksa membayar RM 68.00 untuk senaskah Alkitab Indonesia. Ibunya kata Alkitab sangat susah didapati sejak akhir 1980-an. Dia kata ada banyak halangan untuk membawa masuk Alkitab dari Indonesia. Joshua menerima Alkitabnya yang pertama dari pastornya selepas dia dibaptis. Tapi dia tidak dapat memahami sepenuhnya bahasa itu. Jadi Alkitab Indonesia itu pun disimpan di almari untuk kutip debu.

Pasca SPM
Esther tidak ke Tingkatan 6. Keputusan SPMnya yang cemerlang menem-patkan dia di program Pra-U di sebuah universiti tempatan. Sejarah Islam menentukan 25% daripada skor keseluruhannya. Tamadun Islam adalah subjek wajib. Kerana format peperiksaan dalam bentuk objektif, dia harus tahu sepenuhnya Sejarah Islam dan Tamadun Islam untuk menjawab 100 soalan dalam 2 jam.

Tidak lama kemudian, dia mula tertarik dengan beberapa jejaka Melayu. Beberapa Kakak yang peramah mula menemaninya kerana dia adalah satu-satunya pelajar bukan Islam di asrama. Kini dia dapati dia lebih banyak memakai baju kurung, dan kadang-kadang dia memakai tudung ketika mengikuti mereka menghadiri beberapa ceramah agama.

Joshua dan Esther akhirnya berjaya masuk ke menara gading. Tamadun Islam terus menjadi subjek wajib lulus. Kini mereka mempunyai lebih banyak kawan Melayu daripada kawan Kristian, kerana budaya mereka lebih dekat kepada Melayu daripada budaya Cina atau India. Ini tidak dapat dinafikan kerana mereka telahpun belajar cara “berdoa” ketika mereka di TABIKA dan TASKA. Mereka belajar Bahasa Arab di sekolah rendah. Mereka mempelajari sejarah Islam dan Melayu di sekolah menengah. Dan mereka mendalami tamadun Islam di universiti.

Pasca Menara Gading
Kini, selepas keluar dari universiti dan mula bertugas di jabatan kerajaan, mereka harus duduk peperiksaan Biro Tata Negara (BTN) pula sebelum mereka disahkan jawatan. Dan dalam BTN, sekali lagi mereka harus mengetahui tamadun Islam serta sumbangan bangsa dan parti politik tertentu dalam pembentukan bangsa Malaysia dalam konsep Satu Malaysia.

Hanya tinggal selangkah saja lagi untuk mereka memeluk agama Islam dengan mengucapkan kalimah syahadat atau berkahwin dengan orang Islam yang mereka pacari!

Membangun Iman Anak-anak Kita
Bayangkan semua “Esther dan Joshua” di Sabah dan Sarawak. Mereka mewakili kanak-kanak Kristian di pedalaman. Mungkin saja mereka adalah anak saudara anda, anak teman anda, ahli gereja anda, atau anak anda sendiri. Bayangkan tekanan teman sebaya yang mereka hadapi. Bayangkan kegoyahan iman mereka… dan bayangkan setiap hari iman mereka dicerobohi oleh kepercayaan dari agama sebelah.

Dan di kebanyakan gereja di bandar, kita berdoa untuk kebangunan iman dan revival di Malaysia. Tetapi kita tidak sedar bahawa generasi pelapis kita sedang diserang, dan mereka dibiarkan tanpa dilengkapi secara rohani. Mereka adalah satu batalion tentera Tuhan yang tidak berpedang, tidak bertali pinggang, tidak ada perisai atau helmet! Sebaliknya, mereka adalah target pembantaian secara agresif dan halus (serta tersembunyi) pengislaman di sekolah!

Cabaran dan Tanggungjawab
Jadi bagaimana kita dapat menguatkan dan membangun iman kanak-kanak serta muda-mudi kita? Bagaimana kita boleh mempersiapkan satu generasi pelapis Gereja yang kuat dan teguh imannya?

Perkembangan anak memberitahu kita apabila seorang anak meningkat dari tadika ke sekolah rendah, apa yang mereka pelajari di sekolah akan menjadi lebih masuk akal. Cerita-cerita yang mereka pernah dengar atau diberitahu kepada mereka sejak mereka belajar bercakap, sekarang akan mula terkumpul menjadi satu realiti dalam otak mereka. Sebab itulah pendidikan agama sangat penting dan kritikal dalam golongan usia mereka.

Dari kecil kanak-kanak diajar prinsip asas seperti “Yesus cinta kamu” dan “Alkitab adalah Firman Tuhan.” Walaupun mereka mendengar puluhan kali cerita yang sama dan menghafal ayat-ayat Alkitab, apabila seorang anak mencapai umur 5 atau 6 tahun, dia mula mendengar cerita tersebut dari sudut yang lain, dan mengertinya dengan konsep baru yang mereka pelajari dalam hidup.

Pada masa inilah orang Kristian dewasa mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membantu membina satu asas iman Kristian anak-anak mereka. Ini harus dilakukan dalam zaman kanak-kanak mereka. Jika kita gagal, maka satu sistem nilai yang tersirat secara diam-diam dalam sistem pendidikan sekolah kita akan mula menggantikan semua nilai-nilai Kristian yang kita pegang.
Bagaimana kita dapat membangun asas iman tersebut? Kita boleh lakukannya dengan menerapkan kebenaran Firman Tuhan di zaman kanak-kanak mereka

Menaburlah!
Ketika proses iman itu suatu yang sangat menakjubkan, ia tidaklah semisterius yang kita fikirkan. Yesus menerangkan ini dalam perumpamaan-Nya tentang si penabur (Matius 13:1-23). Pengajaran yang diterima tanpa pemahaman akan membunuh buah tersebut. Iman yang berakar cetek akan layu dan mati. Gangguan, kebimbangan dan keinginan benda lain akan mencekik Firman tersebut. Tetapi orang yang mendengar Firman Tuhan dan mengertinya akan berbuah. Yesus menyimpul perumpamaan-Nya dengan berkata, “Orang yang menabur benih di tanah yang subur adalah orang yang mendengar Firman itu dan mengerti. Dia akan membuahkan buah yang banyak . Ada yang sehingga 100 kali ganda, ada 60 kali ganda, dan ada yang 30 kali ganda.” (Matius 13:23).

Pohon yang bagaimanakah yang anda ingin tanam dalam kehidupan anak-anak anda?

(Artikel ini diambil dari Berita Rakan Penabur, Q3 2011. Foto-foto oleh Bob Teoh)