Obor Belia Buku 15: Penyelamatan: Yakin & Percaya

1223

Semua orang pernah bergumul dengan persoalan serta keraguan mengenai Tuhan dan iman. Augustine, seorang sarjana terkemuka abad ke-4 mengalami pergumulan yang sama ketika dengan akalnya yang terbatas, cuba untuk memahami hubungannya dengan Allah yang tanpa batasan. Dalam karyanya yang berjudul Confessions, beliau menulis, “Saya ingin diciptakan di dalam kepastian sama seperti saya pasti bahawa tujuh tambah tiga ialah sepuluh.”

Adakah anda juga menghadapi pergumulan sedemikian? Biasanya kita tidak berpeluang mengutarakan persoalan-persoalan yang mengganggu fikiran kita. Kita juga takut untuk mengajukan soalan sedemikian kerana bimbang akan pandangan orang lain terhadap kita.

Empat sesi pertama dalam buku ini akan membincangkan soalan-soalan yang sering dihadapi bukan sahaja oleh mereka yang baru dalam iman, tetapi juga oleh mereka yang berasal dari keluarga Kristian generasi kedua hingga keempat. Dengan terjawabnya keraguan- keraguan tersebut, adalah diharapkan satu dasar kerohanian dan kebenaran yang berasaskan firman Allah akan terbentuk dalam hidup mereka.

Gail MacDonald, isteri kepada Gordon MacDonald, seorang penulis Kristian dan pastor pernah menulis bahawa “api yang tidak dijaga tidak akan menghasilkan apa-apa kecuali longgokan abu”. Demikian juga api kerohanian yang membara di hati para belia tidak boleh dibiarkan untuk menyala tanpa dikipas. Kita mempunyai tanggungjawab bukan sahaja memberitahu mereka tentang Yesus, tetapi juga membantu mereka membentuk satu asas keimanan yang kukuh agar tidak rapuh dan dapat berdiri teguh ketika menghadapi dugaan hidup.

Empat sesi seterusnya akan memperkukuhkan lagi apa yang kita percaya, dan diharapkan akan membuka minda kita semua bagaimana Allah mengenapi rancangan-Nya dari awal penciptaan hingga akhir dengan mengutus anak-Nya Yesus untuk menebus kita dan memberikan kita satu kehidupan yang baru.

Yesus berkata: “Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorangpun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku.” (Yohanes 14:6)