Obor Belia Buku 20: Pengikut Kristus Harus Berbeza!

1712

Ada pepatah Afrika yang mengatakan, “Saya tidak dapat mendengar sepatah perkataanpun darimu kerana anda hanyalah satu jeritan yang kuat di telinga saya.” Kita boleh mendapatkan semua pengajaran dan ajaran-ajaran yang baik, tetapi jika kita hidup bukan menurut apa yang kita percaya, kita tidak akan ada mesej yang ingin disampaikan kepada seluruh dunia. Perkataan tidak mempunyai kuasa kecuali jika ia disertai oleh perbuatan untuk membuktikan bahawa ia adalah benar.

Dunia sentiasa memerhatikan orang-orang Kristian untuk melihat adakah kenyataan tentang apa yang kita perkatakan tentang Yesus itu dinyatakan dalam kehidupan seharian kita. Satu cara yang berkuasa untuk menunjukkan kebenaran kepercayaan kita adalah melalui kehidupan kita. Apakah tanda-tanda yang membezakan orang-orang Kristian? Dalam cara apakah kita perlu menjalani kehidupan kita supaya bila orang lain melihat kita, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengakui bahawa ada sesuatu yang berbeza, bahawa memang benar Yesus adalah nyata.

Sesi 1-4 akan membincangkan empat ajaran Kristus yang melawan arus budaya kehidupan dunia. Apakah sikap kita tentang dendam dan pengampunan? Kenapa kita diajar untuk berkorban dalam membantu orang lain? Mengapa kita mesti terus memaafkan sehingga sampai tujuh puluh kali tujuh kali? Kenapa kita harus melayani dan bukan dilayani? Dan apa ertinya hidup sebagai orang kudus?

Sebagai manusia biasa, orang Kristian juga tidak terkecuali dalam menghadapi pelbagai masalah baik rohaniah ataupun bukan. Bagaimana kita menghadapi masalah kerisauan? Atau kesepian? Adakah Tuhan akan membantu kita sesuai dengan janji Firman-Nya? Sesi 5 dan 7 akan memberi bantuan kepada para muda-mudi dengan sumber rohaniah bagi menangani masalah keruncingan dan kesepian yang mereka hadapi.

Berbohong juga menjadi satu masalah yang lumrah di kalangan muda-mudi. Jadi kita harus faham bahawa biarpun berbohong mungkin diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan oleh setengah budaya, tetapi pandangan Tuhan terhadapnya amat berbeza.

Sikap berprasangka terhadap sesuatu kaum ada di mana-mana sahaja kita pergi. Dalam masyarakat kita yang berbilang bangsa dan budaya, masalah perkauman harus ditangani kerana Tuhan mencipta kita sesuai dengan imejnya tanpa melihata latar belakang bangsa dan keturunan. Sesi 8 diharapkan akan dapat membantu para belia untuk menemukan sifat prasangka terhadap kaum yang wujud dalam diri mereka secara semula jadi.

“Tetapi kamulah bangsa yang terpilih, imamat yang rajani, bangsa yang kudus, umat kepunyaan Allah sendiri, supaya kamu memberitakan perbuatan-perbuatan yang besar dari Dia, yang telah memanggil kamu keluar dari kegelapan kepada terang-Nya yang ajaib” (1 Petrus 2:9)