Obor Belia Buku 25: Menjawab Isu-Isu Sukar

1496

SEKS bukanlah sesuatu yang berani dibicarakan secara terbuka di dalam gereja. Jadi kita selalu mendapatkan maklumat tentangnya daripada sumber-sumber yang salah. Pernahkah anda melihat dengan teliti filem-filem yang menghiburkan kita pada masa sekarang? Ia tidak menunjukkan apa-apa perbezaan sama ada ia datang dari Hollywood di Amerika, Bollywood ataupun Hong Kong dan Taiwan. Semuanya menunjukkan jenis nilai yang sama di mana perbuatan-perbuatan moral seksual selalu sahaja menjadi tema yang diketengahkan.

Belia Kristian dikhuatiri juga menerap semua nilai ini kerana sudah menganggap ianya sesuatu yang diterima oleh masyarakat. Melakukan seks sebelum berkahwin atau di luar hubungan perkahwinan, bertukar-tukar pasangan dengan meniduri teman wanita atau teman lelaki seseorang, menjalani kehidupan sebagai pasangan (tanpa mengira jantina), dan sebagainya. Siri TV yang popular seperti Glee juga mempamerkan kehidupan seks remaja dan sejenis yang longgar! Tidak cukup di TV dan filem, buku-buku dan majalah juga mengagungkan cara hidup orang kaya dan terkenal dengan tema seks bebas dan rambang.

Jadi bagaimana kita harus mendidik anak-anak muda Kristian di zaman teknologi yang mencabar sekarang? Hanya ada satu jawapan… sekiranya kita mahu mereka bertahan dan bertumbuh dengan tidak mengalami apa-apa pencemaran pengaruh seksual yang tidak bermoral yang begitu berleluasa di sekitar mereka, kita perlu mempersiapkan mereka sebagai umat Tuhan yang suci mulai sekarang. Mereka perlu tahu ukuran Allah dalam seluruh aspek moral seksual dan menjadikan Alkitab sebagai kayu ukuran untuk menjalani serta memimpin kehidupan mereka.

Buku terakhir dalam siri OBOR Belia ini cuba mengetengahkan isu-isu sosial yang sukar dan selalu dielakkan oleh gereja. Buku ini bertujuan untuk membantu para belia Kristian memahami tujuan TUHAN Allah menciptakan lelaki dan perempuan, dan di manakah Dia menempatkan seks dalam hubungan yang dipersetujui-Nya.

Sesi 1-3 akan membicarakan tentang seks, pornogarfi dan budaya homoseksual. Sementara sesi 4-7 akan melihat beberapa penyimpangan gaya hidup dan bagaimana kita sebagai umat Tuhan harus meresponinya. Ini termasuklah percabulan dan rogol, sumbang muhrim dan homoseksualiti, fenomena bunuh diri yang meleluasa sekarang, serta penerangan tentang AIDS.

Anak-anak muda kita harus didedahkan dan dicabar untuk memikirkan sendiri isu seperti ini. Mereka mungkin tidak menghadapi masalah ini secara peribadi, tetapi sekurang-kurangnya ia akan membantu mereka untuk lebih berjaga-jaga dan lebih bersedia dalam memberikan respon apabila mereka berdepan dengan orang-orang yang terperangkap dalam situasi seperti itu.

Semoga buku ini akan mencabar para belia Kristian untuk menjadi lebih mengambil berat tentang apa yang sedang berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Dan semoga ia membantu untuk membentuk jiwa besar yang mempunyai perasaan belas kasihan untuk individu-individu yang terlibat, tidak kira sama ada mereka adalah mangsa atau tidak. Semoga mereka juga akan tahu kebebasan yang datang daripada mengenali-Nya dan menjadi patuh untuk menjalani kehidupan yang suci, kudus dan menyenangkan untuk-Nya.

“Ia sendiri telah memikul dosa kita di dalam tubuh-Nya di kayu salib, supaya kita, yang telah mati terhadap dosa, hidup untuk kebenaran. Oleh bilur-bilur-Nya kamu telah sembuh.” (1 PeTt 2:24)