Obor Belia Buku 5: Mengharung Arus Kebiasaan

1701

Buku ini memberi tumpuan kepada masalah-masalah yang sering dihadapi oleh pemuda-pemudi dalam masyarakat kita. Pengaruh sahabat, gengsterisme, merokok, minuman keras, berjudi, dadah dan permainan komputer yang berlebihan dibincangkan dalam buku ini. Ia diharapkan akan berguna untuk bimbingan dan mendidik para belia. Kita perlu menyiapkan belia kita untuk menghadapi isu-isu seperti ini agar mereka tidak terjerat dalam perangkap ketagihan.

Buku ini dimulakan dengan mengupas pengaruh daripada teman sebaya kerana ini menjadi pengaruh yang kuat dalam kehidupan para belia. Banyak belia (termasuklah belia Kristian) mungkin sedang mengharung pelbagai arus kebiasaan yang tidak menguntungkan, dan mungkin sedang putus asa kerana masih dibelenggu olehnya. Sebagai umat Tuhan, dapatkah kita bertahan dalam melawan arus kebiasaan yang lumrah dilakukan oleh orang di sekitar kita?

Fahaman dan landasan Alkitab diberikan untuk setiap topik. Tuhan menyayangi kita semua walaupun Dia membenci dosa-dosa ketagihan dan kebiasaan buruk kita. Buku ini cuba membantu bagaimana kita boleh mengatasi masalah serta bagaimana memberi respon yang tepat ketika diperhadapkan dengan isu-isu kebiasaan ini. Pelbagai kes atau kisah benar dipaparkan untuk pengkajian para belia agar mereka dapat memahami situasi yang sebenarnya.

Sesi terakhir mengkaji persahabatan yang baik menurut Alkitab. Ini bertujuan supaya para belia tahu mencari teman yang sejati dan menjauhkan diri daripada kelompok-kelompok yang mempunyai kebiasaan dan pengaruh yang negatif.

“Siapa bergaul dengan orang bijak menjadi bijak, tetapi siapa berteman dengan orang bebal menjadi malang” (Amsal 13:20)