Obor Belia Buku 16: Mengenali Rancangan dan Panggilan Tuhan

1514

Setiap tahun kita menghantar ramai anak muda kita ke universiti, kolej, mahupun ke dunia pekerjaan dengan hati yang penuh debaran dan bukannya optimis: adakah anak-anak muda ini mampu mempertahankan kehidupan rohani mereka? Walaupun jumlah sebenar tidak diketahui, namun daripada pemerhatian, ramai belia Kristian meninggalkan iman mereka atau tidak lagi bersemangat dan berkomitmen untuk melayani Tuhan sejurus sahaja mereka berkesempatan untuk berjauhan dari rumah.

Apa yang sudah terjadi dengan ‘produk’ aktiviti-aktiviti pemuda-pemudi, kem-kem belia dan program pemuridan yang telah dijalankan semasa mereka masih di kampung? Adakah kita telah gagal? Mungkin masalah utama bukan pada masalah program kita tetapi kurangnya persiapan yang mencukupi sebelum mereka keluar dari ‘sarang terlindung’ keluarga mereka, rakan-rakan seiman dan persekutuan pemuda pemudi.

Sebab itu generasi muda kita perlu dipersiapkan terlebih dahulu untuk mengenali segala kemungkinan dan cabaran yang mereka perlu hadapi apabila mereka masuk ke alam kolej atau pekerjaan. Dalam masa yang sama, mereka perlu tahu bahawa tidak mudah untuk bertumbuh dan bertahan terutama dengan keadaan persekitaran yang baru. Kita perlu menyediakan sesuatu untuk anak-anak muda ini tentang apa yang mereka perlu miliki, agar di manapun Tuhan menempatkan mereka, tidak kira di kolej mahupun di tempat kerja (terutama di Semenanjung), mereka tetap menjadi saksi dan duta kepada Tuhan Yesus kita.

Mereka harus yakin bahawa Tuhan telah memanggil mereka sesuai dengan rancangan-Nya. Di saat ramai yang membaca horoskop harian untuk mencari bimbingan yang mudah-mudahan dapat menolong mereka untuk berhadapan dengan masalah yang membelenggu hidup mereka, orang Kristian mungkin akan mencari bimbingan itu di dalam Alkitab. Tidak sedikit yang berpendapat bahawa mengetahui rancangan Tuhan itu sukar dan membingungkan. Ada juga yang tidak pasti apakah Tuhan mempunyai rancangan untuk mereka atau tidak.

Buku ini akan membantu para belia (terutamanya dari Sabah & Sarawak) mengetahui beberapa persiapan dalam menghadapi cabaran hidup di kolej, universiti atau alam pekerjaan. Ramai anak-anak muda Sabah & Sarawak yang datang ke Semenanjung untuk melanjutkan pelajaran atau bekerja. Mengenal Dia dan menjadi seperti-Nya ialah rancangan Tuhan yang paling utama dalam kehidupan mereka.

Mereka akan mengetahui bahawa Tuhan mempunyai rancangan yang tertentu bagi setiap mereka tetapi mereka harus mempunyai sikap yang benar untuk mengetahuinya dengan jelas. Mereka juga akan dapat mempelajari banyak cara yang Tuhan akan pakai untuk membimbing mereka bagi mengetahui rancanganNya, khususnya tentang apa yang mereka kerjakan.

“Aku hendak mengajar dan menunjukkan kepadamu jalan yang harus kau tempuh; Aku hendak memberi nasihat, mata-Ku tertuju kepadamu.” (Mazmur 32:8)